7.9.10

Kispen 18: Baca (Betul-Betul)

"Ujian semester dah dekat. Jangan lupa ulangkaji, ya?" Profesor Zadri mengemas fail yang sedikit berserak. Komputer riba dimasukkan dalam beg.

"Prof, boleh saya tanya sesuatu?" Ameera senyum nakal.

"Apa dia?"

"Selain nota Prof dan buku teks yang Prof cadangkan, boleh tak saya baca nota dan buku lain untuk ujian?" Ameera terkernyih. Tabiatnya dikenali semua.

"Tak boleh!' Mata Profesor Zadri terbeliak.

Seisi Dewan Kuliah A sunyi.

"Apa salahnya nota saya? Kenapa awak tolak kebenaran nota saya dan dewa-dewakan yang lain? Nota siapa awak baca? Profesor Madya Syamsuri? Puan Lee? Siapa?" 

Suara Ameera terketar-ketar, "Saya cuma nak..."

"Nak apa?" Pintas Profesor Zirda, "Nak buktikan saya salah? Nota saya ada salah? Hah, nota pensyarah lain pun banyak juga silap! Saya boleh tunjuk!"

"Saya rasa baik kita dengar dulu apa kata budak ni, tak begitu bang?" Dr Junainah muncul di pintu Dewan Kuliah A, menunggu giliran kelasnya.

Profesor Zadri gumam. Ah, Jun. Di mana-mana pun kau ada. Dia mengangguk pada Ameera, dari tadi menggetap bibir. Ameera berdiri.

"Bukan begitu maksud saya, Prof. Saya cuma mahu baca semua nota yang ada. Mahu tambah ilmu. Saya tak pernah kata Prof punya salah. Saya tak pernah tolak pun. Prof juga yang pesan pada kami, jadi pelajar berilmu. Cari pengetahuan di mana-mana."

Dr Junainah melangkah perlahan ke arah Profesor Zadri. Dia berbisik sesuatu. Profesor Zadri sambut dengan angguk.

"Baiklah kelas," muka Profesor Zadri mencuka, "kita jumpa minggu depan."

Pelajar bersurai.

2 ulasan:

  1. boleh buat selingan kuiz tak ?

    soalan : apakah yang dibisikkan oleh Dr. Jun kepada Prof. Zadri ?

    BalasPadam