11.9.10

Belas Sebelas September

Sembilan tahun lalu, ketakutan manusia terhadap Islam dinyalakan kembali. Momok di mana-mana. Islam agama maut. Dogma ganas.

Robohnya dua menara itu mencarik luka pada mangsa dan keluarga, jua sayat pada hati Muslim yang tiada henti dituding jari.

Ini bukan lagi masa mencari kepul asap berwajah syaitan timbul saat dua menara menyembah bumi. 

Ini bukan lagi masa merungut rengek tentang zalim-jahil-angkuh kerajaan terbesar di dunia menyerang buta tuli demi menuntut darah yang tidak pernah menjadi miliknya.

Ini masa kita tunjukkan wajah sebenar Islam yang sekian lama dihijab oleh musuh, malah lebih hiba, oleh Muslim sendiri.

Ini masa kita kenang dan amal kembali kasih sayang dan cinta Nabi sesama manusia, menyebar agama penuh hikmah dan saksama.

Ini masa kita tegap tegas berdiri melindungi agama, pun begitu bukan pula agama itu menghalalkan darah manusia ditagih semberono.

Ini masa kita hadir ikhlas pamer belas pada mereka yang tidak tahu tentang Islam, bikin mereka faham. Buang faham, nyah ragu.

Saya tahu, mesej ini sudah jenuh kita baca di mana-mana. Sama saja. 

Nah, bukankah mesej ini jualah yang dibawa Nabi selama dua puluh tiga tahun? Bukankah mesej ini jualah yang disambung oleh para sahabat, tabiin, dan sekian ramai agamawan Islam ratusan tahun hingga kini.

Hingga kita lahir dan belajar kenal syahadah. Hingga kita besar dalam keluarga dan sekolah yang mengajar ibadah. Hingga kita mengerti akhlak nan indah.

Mesej ini sudah jenuh kita baca di mana-mana. Sama saja.

Malang, masih ramai dalam gelita. Buta.

Tonjolkan, biar mereka tahu.

Bahawa Islam agama rahmat dan kasih sayang.

Andai mereka mahu bakar kata-kata Ilahi, usah kita balas dengan herdik hamun tanpa arah tuju.

Seorang teman berpesan pada saya, langkah terbaik melawan api ini, dengan kembali membaca kata-kata Ilahi.

Setiap helai yang terbakar, setiap helai itulah yang kita tancap dalam hati!

Simpati buat sekalian mangsa tragedi 11 September. Semoga dunia bisa lebih aman.

3 ulasan:

  1. dalam filem 'my name is khan' salah satu bait dialog nya mengatakan, peredaran masa dunia pada asalnya terbahagi dua iaitu BC dan AD. Selepas 11 sept, ia kini menjadi 3. bgmana ?

    BalasPadam