29.7.10

Temani Sunyi


Satu lima puluh empat minit pagi. 

Saya menulis hanya semata-mata kerana mata terlalu degil - tidak mahu tidur. Masih banyak lagi nama teman di Facebook dengan ikon bulatan kecil berwarna hijau pada sisi kiri.

Maknanya masih online

Masih bergebang. Atau membiarkan komputer riba di sisi sambil bersendiri.

Setiap orang punya pengalaman hanyut dalam sunyi pagi. Tiada resah. Tiada gelisah. Hanya dingin pagi membawa minda pergi jauh daripada bergelut kemelut. Terdengar deras kipas berputar. Cicak galak berlegar. Cengkerik melarik hingar.

Itu semua sebenarnya teman. Bukti bahawa kita tidak pernah mampu keseorangan. Sedar atau tidak, kita sentiasa mencari teman di sekeliling - walau zahir tampak sendirian. Ada yang memilih bunyi: kipas, cicak, cengkerik - atau lebih klise, alunan lagu dari fon telinga/fon kepala. 

Itu sebenarnya teman.

Ada yang lebih selesa berteman garis dan aksara. Meniti helai demi helai lenggok kata sususan manusia lain. Atau mengadun bahasa sendiri buat tatapan manusia lain. Atau menatap lukisan yang disusun lucu, cemas, atau hiba dalam kotak-kotak kecil.

Itu sebenarnya teman.

Paling kerap, meneroka daerah terluas kurniaan Ilahi. Membelek-belek memori tak terpadam. Mengusik rasa dan silu yang terpendam. Menyorot rasa dan cita nan diidam. Menebar gebar atau menyala bara pada api dendam. Membayang sesal dan melayang sebal pada dosa sepahit jadam. 

Itu semuanya teman.

Dua dua puluh satu minit pagi. 

Saya menjenguk kembali Facebook. Bilangan ikon bulatan kecil hijau sudah berkurang. Semakin ramai lena berteman. Selesai saja pos ini ditaip, saya perlu mencari teman lain kerana mata masih enggan beradu. 

26.7.10

Tanpa Petanda Masa


Kalau anda perhatikan Facebook betul-betul, anda akan sedar bahawa tidak ada sebarang petunjuk masa sama ada bagi setiap status yang dikemaskini, komen yang dikirim, gambar yang dimuat naik - apa saja. 

Tidak ada petunjuk masa. Yang ada hanyalah tempoh atau sela masa antara aktiviti tersebut dan waktu anda mengakses. 

3 hours ago.

About an hour ago.

Mengapa, ya? Barangkali jaringan Facebook terlalu besar dan terlalu rumit untuk mengkatalog masa bagi setiap butir komen dan status - belum lagi dikira soal perbezaan waktu antarabangsa.

Apa pun alasan Encik Zuckerberg dan rakan-rakannya, saya yakin ketiadaan petunjuk masa yang tepat telah berjaya menjadikan sebahagian manusia hanyut dan tidak sedar setiap detik yang terpeluwap begitu sahaja. 

Termasuklah saya.

25.7.10

Ibu Mertuaku



Jujurnya, saya lupa berapa kali filem Ibu Mertuaku (1962) sudah saya tonton. Barangkali lebih 50 kali. And so do my fellow movie buffs, kan?

Dialog Nyonya Mansoor (Mak Dara) sama ada herdikan pada Sabariah Mansoor (Sarimah) mahu pun sesalan di tepi pusara usai memperdaya Kassim Selamat/Osman Jailani (P. Ramlee); masih lagi diulang-ulang sebagai satira atau homage dalam industri hiburan tanah air.

Beberapa hari yang lalu, saya sempat mengemas kini status Facebook berkenaan beberapa babak dalam Ibu Mertuaku, di samping menegaskan pendapat bahawa filem ini merupakan antara filem Melayu terbaik sepanjang zaman. 

(Senarai The Best Malay Movies of All Time saya juga memuatkan Tiga Abdul, Kala Malam Bulan Mengambang, Perempuan Isteri dan Jalang, Cinta, Kaki Bakar, dan Buli. Rakan pembaca yang ingin berkongsi senarai kalian, tinggalkan di ruang komen ya?)

Anyway, ada rakan Facebook yang bertanya - apa yang kau suka sangat dengan Ibu Mertuaku? Ini pendapat saya:

22.7.10

Datin Seri Ros, De Niro, dan Twilight

Saya pasti, Datin Seri Rosmah Mansor sudah menjadi isteri Perdana Menteri paling masyhur dalam sejarah Malaysia. Masyhur - terpulang pada definisi kalian. Boleh jadi molek, boleh jadi jelek. Ghandhi terkenal, Hitler dan Stalin juga popular. Terpulang.

Semenjak tampil sebagai Wanita Numero Uno Malaysia, banyak sekali sumbangan dan berita yang memaparkan nama Datin Seri Ros sebagai tajuk utama. Tak terkira. Yang pasti, jasa Datin Seri Ros lebih banyak daripada isteri Ketua Pembangkang. Nanti dulu, kalau isteri Perdana Menteri digelar Wanita Pertama - apa pula gelaran isteri Ketua Pembangkang, ya?


Ya, Robert De Niro yang itu.