27.8.10

Kispen 8: Tulis

(Satu empat puluh lima pagi, Tingkat 42, Menara Tinggi Melangit.)

Ke hadapan...

Ini terlalu kuno. Zaman dulu bolehlah. Lagipun mana ada orang kisah. Ke hadapan, ke belakang. Sama saja. Yang penting boleh dibaca.

Renyuk kertas.

Setakat ini sajalah pertemuan kita. Aku tak sanggup...

Ini terlalu romantis. Aku mahu tulis nota, bukan novel. Nanti terlebih selam rasa, berleluasa. Jangan mula yang tak mampu dihenti.

Gumal kertas.

Di dalam akaun Bank Kaya Raya milikku ada RM 15,326,880. Kelak semuanya kau...

Ah, mereka semua sudah banyak wang. Setakat wang simpanan ini, dijebeh saja. Ini bukan soal duit. Ini soal aku. Aku. Mesti tulis fasal aku.

Nota Ramadan #17

Jarak antara rumah saya dan tempat mengaji Quran waktu kecil-kecil dahulu dekat saja. Jalan kaki saja dengan Angah.

Dua kali seminggu kecuali hari minggu - Jumaat dan Sabtu. Mula jam tiga petang.

Guru mengaji saya tidaklah terlalu garang. Dia tok bilal masjid. 

Walau bilah rotan halus itu sentiasa saja di genggaman, tidak pernah pula rotan itu hinggap di tubuh saya, mahupun kawan-kawan.

Paling tidak pun dilibasnya lantai. Itu saja. 

Tapi dia tegas. Jam tiga petang tepat, kami mulakan dengan baca al-Fatihah beramai-ramai. Siapa yang lambat memang tidak akan naik ke rumahnya sehinggalah tamat bacaan itu.

Sudah naik, baca senyap-senyap. Tunduk. Tok bilal hanya akan menjeling. Sepatah pun tidak dimarahi pada yang lewat.

Namun jarang sekali dalam kalangan kami yang lambat. Jarang. Jam tiga, semua sudah berceratuk di ruang tamu tok bilal yang luas. 

Saya khatam Quran dengan tok bilal. Darjah empat. Mama dan Abah bangga betul waktu itu. Tapi tok bilal sudah pesan pada ibu bapa yang hantar anak belajar mengaji dengannya.

Waktu khatam nanti jangan diberinya apa-apa. Pulut kuning, ayam panggang - jangan. Kalau mahu beri wang, dia akan sedekah pada masjid.

Saya rasa berdosa setiap kali Ramadan. Jarang benar baca Quran. Usai solat, adalah sekali-sekala. Sebab itu saya gagahkan juga membaca lebih sedikit pada bulan ini.

Teringat waktu solat jenazah tok bilal. Hiba. Hiba sungguh. Suara parau dan senyum tegasnya mengasak fikir waktu saya di masjid. Empat kali takbir, empat kali pipi saya basah.

Manusia berjejal. Masjid penuh. Jemaah melimpah sampai keluar. Semua mahu bertakbir dan berdoa untuk tok bilal yang ke dunia abadi.

Betapa besar rahmat Tuhan pada mereka yang tegar menyebar keagungan kalam-Nya. 

Ulang tahun turunnya al-Quran ini saya titipkan doa buat arwah tok bilal. Semoga rohnya sentiasa dalam lindungan yang Maha Mengasihani.

Al-Fatihah.

26.8.10

Nota Ramadan #16

Spageti segera sebagai hidangan berbuka sememangnya ide terbodoh. Tidak, lapar tidak menjadikan SEMUA makanan sedap. Kalau mengganggu tunas rasa semata-mata, tidak mengapa. Perut pun meragam juga. Ide terbodoh. Terlepas Terawih di masjid malam ini.

Kispen 7: Durian

Buku jari Pak Seman sudah melecet. Nafas perlahan-lahan diceroboh cungap. Namun dia masih belum puas. Kakinya bertubi-tubi merodok rusuk Jani yang mengerekot di tanah.

"Ampunkan aku, Pak Seman. Ampunkan aku." Suara Jani makin lemah.

"Sekarang kau rasakan! Rasakan!" Ihsan Pak Seman sudah lama menipis.

Sudah seminggu Pak Seman mencari puaka mana yang menyonglap durian di dusunnya yang entah berapa kangkang kera itu.

Dongak ke atas, tampak seperti ada yang sudah luruh. Tunduk ke bawa, ada bekas lubang-lubang pada daun-daun kering bertindanan.

Tapi durian lesap. 

Kispen 6: Singkat

Syella Qaseh menyisih rambutnya yang menutup dahi, diselit semula di telinga. Tanggal pula solekan nanti. Sudahlah ditaja. Dahi licin itu mesti ditayang-tayang. Mesti.

Sudah penat Syella meniti permaidani merah. Senyum buat-buat sudah melekat. Sudah mangli begitu. Mudah. Toleh dan biar denyar kamera menampar-nampar wajah.

Ini harga kemasyhuran. Menahan seksa tumit tinggi dan menghidang segenap inci tubuh untuk diratah di ruang koran dan majalah warna-warni.

Di dalam Gelanggang Bintang-Bintang, Syella Qaseh terlihat dua orang rakan melambai-lambai sambil menuding tempat duduknya. 

Lyra Alynna (nama sebenar: Zalina Hasan) dan Hidayatul Khalidah (nama sebenar: Hidayatul Khalidah). 

Mudah sekali Syella Qaseh meluru ke arah mereka biar dalam gaun maha sendat. Aneka aroma mewah berbaur saat mereka bertukar pagut cium di pipi.

Di negara itu, memang Gelanggang Bintang-Bintang cukup kesohor menganjurkan segala macam pesta puja puji selebriti. 

Dingin. Maklum saja, Gelanggang Bintang-Bintang dibina di celah gunung-ganang. 

Kalau tidak pernah sampai ke Amerika pun, bolehlah khayal ibarat menghadiri karpet merah Hollywood. Khabarnya, tahun depan mahu disembur salju buatan.

Namun, dingin itu tidak menghalang Syella Qaseh bergaun singkat. Singkat sekali. Urat-urat hijau di bawah daging paha gebunya jelas kelihatan. 

Nota Ramadan #15

Sahur ada kesan psikologi juga rupa-rupanya.

Saya sedikit resah sebab tiada pisang untuk sahur hari ini.

25.8.10

Kispen 5: Sudah

Mimpi Maher tertunda. Azan menujah gegendang.

Kemamar campur bingung. Berjam-jam dia sudah lena. Perut bukan lagi berkeroncong. Sudah tukar salsa selang samba. 

Maher rusuh ke dapur. Ah, sudah tidak sempat mahu buka tudung saji. Tukang bang pun sudah mahu makan. 

Maher buka peti sejuk. Sederet botol minuman pelbagai warna aneka rasa terkinja-kinja pinta dicapai. Dia pilih Vanilla Coke. Reguk puas-puas. Berbuka mesti awal.

Dari ruang tamu, rakan serumah berteriak:

"Maher, dah pukul empat lebih ni! Kau tak ke fakulti? Bukankah kau ada kelas ganti jam empat?"

Maher tunduk. Mulutnya masih berlengas.

Telanjang

Saya pernah juga berkira-kira untuk menghidupkan kembali KNB seperti di Wordpress dahulu. Bersama teman-teman meladeni karenah politik semasa.

Bukannya ada orang baca sangat. Lontar komentar sesama sendiri saja.

Tapi, saya mual dan muak. Politik Malaysia, yang itu-itu jugalah. Menyelar para politikus sama saja seperti melaung pada si tuli. Mencebik pada si buta.

Apatah lagi suara-suara dari blog daif ibarat iklan ubat kuat di bucu ruang iklan koran. Mereka jebeh saja. Angry young men, kata YB Sukah Ati sambil membetul-betulkan busjaket.

Biarlah. 

Ramai lagi tukang blog politik yang mahu dan punya nafsu menelanjangkan para politikus. Dan lebih ramai yang gian dan giur membaca ketelanjangan mereka.

Hakikatnya, di dunia bernama Internet - semua orang suka pada telanjang. 

Yang gemar bersenam seorang dalam pekat zulmat, terbelalak dijamu aksi tunggang tungging. Sekali-sekala menyeka keringat berbintik.

Tidak kurang yang memenuhi tuntutan hidup menjaga setiap bucu kain selebriti. Penyanyi mana ditelanjangkan hari ini? Syella Qaseh bercinta dengan siapa? Sudah ada ayah-gula lainkah? Masih darakah?

Sebab itu saya memilih untuk berhenti menelanjangkan politikus. Saya sendiri mahu bertelanjang. Berkongsi kisah dan resah. Mencoret angan dan kenangan. 

Saya mahu memuaskan nafsu dengan indah bahasa yang masih belum selesai saya rakusi.

Dan saya gembira, kerana ramai juga teman-teman yang sudi bertelanjang bersama.

24.8.10

Nota Ramadan #14

14 Ramadan?

Sudah 14 Ramadan?

Tinggal separuh sahaja lagi. Aduh.

Nota Ramadan #13

Ramadan ini banyak sekali rezeki muncul tanpa disangka. Pada semua. Malah, bukan Ramadan ini sajalah. Setiap bulan puasa pun begitu. 

Soal timbunan pahala, tak usah ceritalah. Semua tahu. Sudah dilabun, dikisah sejak kita kecil lagi. Cuma tinggal mahu tidak mahu saja. 

Tapi, rezeki yang saya temukan ini sedikit berbeza. Entahlah. Beberapa hari lalu, saya kerap terjaga. Waktunya hampir sama. Lebih kurang tiga sepuluh pagi. 

Sesudah meraikan sunyi pagi, saya sudah tidak boleh menyambung lena. Terkejap-kejap. Puas mengisar tubuh. Mata tidak pernah tewas. 

Akhirnya, saya kibar panji putih. Saya capai mana-mana buku cempera di atas meja, di atas rak pun sama juga. Tindan rawak yang hanya empunya mengerti aturnya.

Aksara demi aksara, mata bersorak-sorai mengejek saya. Tahu juga kau mengalah, ya? Kau tak akan kantuk lagi hingga sahur. Hingga subuh. Hingga jalak berkokok. Hingga jalak kembali tidur.

Alhamdulillah, Tuhan beri kudrat untuk menunaikan wahyu pertama diserah Jibril pada pundak Rasulullah. Tuhan beri masa. Tuhan beri upaya. Terima kasih, duhai Maha Kaya.

Selagi mana rezeki bernama insomnia ini kekal, selagi itu saya akan membiarkan mata menari girang. Biar dia sentiasa menang.

Ini tewas yang tenang.