19.8.10

Nota Ramadan #7

Saya rasa saya masih ingat wajah pakcik itu. Matanya layu, berbaju kemeja. Warna sudah lupa. Sedikit gempal. Atau kurus. Entah, itu pun saya kurang ingat. Yang pasti, saya mahu namakan dia Pakcik Baik Hati.

Saya tidak akan lupa saat berbuka puasa bersama Pakcik Baik Hati. Waktu itu saya bersama dengan tiga (atau empat) rakan yang lain. Dalam gigil kecil akibat hembusan pendingin hawa, masing-masing melepas lelah sampil menanti azan berkumandang.

Manis. 

Manis juadah yang kami nikmati. Manis lagi memori dan budi yang dikongsi.

Kadang-kadang rasa lucu pun ada. Maklum sajalah, empat (atau lima) orang yang berbeza - masing-masing meladeni juadah yang sama sambil bertukar senyum dan pandang. Syukur terukir di bibir.

Saya sudah lupa nama kuih itu.

Saya sudah lupa nombor bas yang sama-sama kami naiki.

Yang saya ingat, jabir jernih di tangan Pakcik Baik Hati ada tiga biji kuih. Kami bertiga (atau berempat) berkongsi sebiji. Pakcik Baik Hati tawarkan satu lagi. Kami tak sampai hati.

Yang saya ingat, kami mereguk air hanya selepas sampai ke destinasi. 

Yang saya ingat, Pakcik Baik Hati sempat menjeling ke arah kami seraya mengangguk kecil sebelum menuruni tangga bas dan berlalu.

18.8.10

Majlis Berbuka Puasa

Sambil menaip, sambil menepis gerombolan nyamuk yang tidak henti-henti berlegar dan hinggap pada batang tubuh saya. Semakin hampir maghrib, semakin banyak. Ada yang sudah mula menggigit. Bintat sana-sini.

Di mana agaknya majlis mereka esok, ya?

Padan Muka

Siapa suruh terlepas sahur?

Pukul 11 pagi sudah terkulat-kulat.

17.8.10

Kispen 1: Saman


Di negara itu ada satu tabiat yang benar-benar digemari iaitu saman-menyaman. Pantang ada terlanggar bahu, terlebih kuah berbanding sudu - jumpa di mahkamah.

Tidak terkira banyaknya bilangan peguam pembela di negara itu. Maklumlah, hari-hari ada yang menyaman dan disaman. Saman malu, saman fitnah, saman tutup mulut, saman buka rahsia. Macam-macam.

Sekalian rakyat jelata, sehinggalah ketua negara itu - tidak ada yang terkecuali daripada disaman dan menyaman. Bangunan dengan ruang parkir paling sesak di negara itu? Faham-faham sendirilah.

Minggu lalu, Menteri Duit Kertas & Syiling menyaman Timbalan Menteri Orang Muda kerana menuduh beliau berkahwin dengan anak dara orang tanpa izin. Ini semua dusta, kata Menteri Tanaman. Dia mesti bayar 150 juta!

Tiga hari lepas, Persatuan Penanam Bunga Tahi Ayam (Pembutayam) menyaman akhbar Lapor Dulu kerana menuduh mereka muflis. Mana ada kami muflis, ujar Presiden Pembutayam yang kacak berbaju batik berlengan pendek ketika sidang media. Itu Persatuan Pembikin Baja Tahi Ayam (Pembitayam). 'Bi' dan 'bu' pun tak boleh beza? Bayar 78 juta.

Semalam, Syella Qaseh, pelakon drama bersiri Cinta Suci Bertudung Di Bawah Kasih Tuhan Membawa Ke Syurga Abadi naik mahkamah lagi. Kali ini dia saman penjaga lif Menara Bank Kaya - namanya terlalu panjang, tapi orang panggil Abang Shahrukh. Sudah tiga kali mengenyit mata pada Syella. Gangguan seksual! Bayar 150 ribu.

Hari ini, rakyat ini berpusu-pusu ke bangunan dengan ruang parkir paling sesak itu. Penuh. Padat. Bersebati hamis dan manis. Khabarnya, saman terbesar bakal dikemukakan.

"Siapa nama kamu?" Ujar Hakim Mung Kinadil.

"Saya Mat." 

"Mat saja?"

"Ya. Mat Saja bin Kamil Haikal Daniel Iskandar."

Terburai ketawa. Hakim Mung Kinadil tidak marah. Di negara itu, ketawa dibenarkan dalam bangunan tersebut. Malah, bangunan itu sendiri pun selalu ditertawakan.

"Siapa yang kamu mahu saman, Mat Saja?"

"Saya mahu saman semua penduduk negara ini! 326,880 juta!"

"Kenapa?" Hakim Mung Kinadil mencapai pensel dan menggaru kepalanya yang tidak gatal.

"Kerana sepanjang saya hidup di negara ini, belum pernah ada orang yang menyaman saya. Itu tanggungjawab. Sekarang saya mahu saman mereka kerana tidak menyaman saya! 326,880 juta! 326,880 juta! 326,880 juta!"

Seisi bangunan sepi. 

Nota Ramadan #6



A mother's love is patient and forgiving when all others are forsaking, it never fails or falters, even though the heart is breaking - Helen Rice.

Antara memori awal saya tentang Ramadan - ketika saya berusia tujuh tahun. Darjah satu. Sekolah Kebangsaan (ketika itu masih Sekolah Rendah Kebangsaan) Sentul. Bangunan sekolah agam itu masih belum ada.

Waktu sarapan pagi (ya, bukan sahur) biasanya mama akan hidangkan dua keping roti mengapit sapuan jem strawberi di tengah-tengah. Itu kegemaran saya. 

Sambil membetulkan kolar saya yang (selalu) herot, mama pesan itulah sahur. Sampai pukul berapa saya puasa? Itu saya lupa. Rasanya menjelang jam empat setengah petang, perut saya sudah berkeroncong. Akhirnya menjamah nasi sambil bersila di hadapan televisyen. Tonton Voltron.

Mama sentiasa gigih memujuk saya berpuasa. Alhamdulillah, darjah dua sudah mula puasa penuh. 

Sebab itu sekarang saya tidak pernah kekok andai sekali-sekala menyediakan sahur untuk mama. Ala kadar sahaja. Kata orang, ingatan yang dikira. 

Saya harap Ramadan ini Tuhan mencurahkan rahmat-Nya yang berganda-ganda buat mama. Sabar dan tegar mama mendepani hidup, tak terkalahkan dan tak akan mampu saya balas. Tak akan.

Selamat berpuasa mama!

15.8.10

Nota Ramadan #5



Sungguh mulia mencari juadah berbuka puasa di bazar Ramadan. Apatah lagi jika dibeli untuk seisi keluarga, malah mungkin dikongsi bersama jiran tetangga. 

Namun dalam arus manusia selisih selirat, lepaskanlah sekali-sekala tangan pacar yang digenggam erat. 

Bimbang nanti dalam mengejar pahala sunat berbuka puasa awal dengan juadah manis - sepanjang itu jualah tak putus menuai dosa.

Jangan ambil hati. Sekali-sekala menyambung sabda dalam senda, apa salahnya?

Nota Ramadan #4



Saya pasti, di mana-mana sekolah berasrama, sahur itu fiesta. Amat langka sekali ditemukan penghuni asrama yang dibuai lena tanpa mempedulikan hiruk-pikuk rakan-rakan yang (cuba) mengejutkan mereka. Kecuali bagi individu-individu yang memang tersohor sebagai penidur. 

Setiap asrama, paling tidak pasti ada seorang. Pasti. (Penidur asrama saya dulu - merangkap rakan sekelas dan teman yang amat rapat)

Kebanyakan tukang kejut ini, kalau musim peperiksaan, memang tidak tidur pun sesudah terawih. Masing-masing menelaah (atau mengacau orang yang menelaah) sehingga waktu sahur tiba - seraya bermulalah hingar-bingar. Bangun! Bangun! Sahur! Sahur!

Fiesta sahur ini juga ditentukan oleh masa dan kelompok-kelompok yang wujud dalam asrama. Biasanya, kelompok pelajar yang berdisiplin akan tidur awal usai terawih dan menelaah. Sekitar lima pagi, berjejallah mereka ke dewan makan. 

Yang lain? Macam-macam. 

Ada yang bersahur awal: makan beramai-ramai sekitar jam satu atau dua pagi. Menu wajib, mi segeralah. Kalau di asrama saya dahulu, ada rakan yang menjual nasi lemak telur mata kerbau dan burger goreng dari luar. Amat laris. Kumpulan ini pasti menyambung lena sehingga subuh. Atau terlepas subuh.

Ada yang kurang berselera dengan hidangan dewan makan. Nasi goreng dengan ikan bilis dan sosej dihiris nipis yang perlu dicari dan digali persis harta karun di sebalik butir-butir nasi , ditolak perlahan-lahan melalui tenggorokan dengan teh suam tawar.

Jadi, apa lagi? Fly! Saya fikir, istilah semesta ini tidak perlu dilabun. Pelik juga istilah sama digunakan di mana-mana sekolah berasrama untuk menghuraikan tindakan pelajar keluar dari asrama (biasanya lewat malam) tanpa kebenaran warden.

Bukannya ada apa-apa pun, keseronokan melanggar peraturan tanpa ditangkap itulah sebenarnya deruan adrenalin yang dicari. Kalau sekolah berasrama di kawasan pedalaman atau pinggir bandar - apalah sangat yang ada di luar sekolah?

Barangkali satu atau dua kedai makanan segera, restoran mamak, atau gerai-gerai bersidai di pinggir jalan - roti canai, sate, mi-mihun-kuetiau sup. Itu saja. Bukannya fly untuk menikmati foie gras atau trio risoto bersafron-udang galah-ravioli berkaviar dengan limau.

Pulang dari fly, menyambung hiruk-pikuk dengan melintasi dewan makan sambil mencebik kumpulan berdisiplin yang masih belum menemukan ikan bilis dan hirisan sosej dalam nasi goreng.

Sekarang, hiruk-pikuk itu sudah tiada. Hingar-bingar semakin langka. Saya amat rindu. Barangkali sebab itulah sahur di rumah ala kadar sahaja. Pagi tadi: dua keping nuget udang dan segelas Milo.

14.8.10

Salah Taip Lirik



Andai semua menjaga dan tiada yang berduka
Andai semua bercinta dan tiada yang berdusta
Andai semua sama rasa tanpa takbur bangga
Pasti tiba masa manusia hidup selama-lamanya

If Everyone Cared

Komposer: 
Daniel Adair, Michael Kroeger, Chad Kroeger, Ryan Peake

13.8.10

Menerima Kasih

35 questions.

Millions of answers.

Thanks, dear.

Di Benua Buta - Mana Sikana



"Keris itu masih berdarah, kerana yang dibunuhnya ialah Melayu." - Mana Sikana, Anekdot #14, Di Benua Buta.

Saya mula kenal dengan nama Mana Sikana (Dr Abdul Rahman Napiah) ketika berusia 13 tahun. Terjumpa buku berjudul Keris Laksamana Bentan - kumpulan cerita lakonan untuk pelajar sekolah menengah, terbitan Fajar Bakti. Kalau tidak silap, Mama pinjam dari perpustakaan sekolahnya. 

Pengalaman membaca skrip drama mengenai kisah seulas nangka dan sultan yang murka dari perspektif Mana Sikana sememangnya menakjubkan. 

Terbaru, saya temukan buku ini: Di Benua Buta (ISBN: 978-983-62-9602-3). Oh, sebelum itu, saya ingin memberi ingat bahawa ini bukan ulasan buku. Bukan. Saya cuma berkongsi rasa kagum tentang buku ini, seraya menganjurkan mana-mana rakan yang meminati sastera Melayu untuk mendapatkannya.

Mesti baca. Mesti. 

Di Benua Buta memuatkan 100 anekdot karya Mana Sikana. Ringkas. Tajam. Padat. Ada yang hanya memuatkan satu ayat. Setiap satu mempunyai maksud tersirat yang dalam. Amat dalam.

Ketika coretan ini ditulis, saya selesai membaca anekdot ke-31. Barangkali sempat meladeni beberapa anekdot lagi sebelum solat Jumaat.