Ini tanda orang pemalas. Sudah lebih seminggu program tamat, barulah terhegeh-hegeh mahu mengarang entri blog. Tapi tak mengapalah. Bukankah lewat itu lebih baik berbanding tiada?
Saya diberi peluang oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) untuk menyertai Kembara Penulis Muda ke United Kingdom (KEMBARA).
Muda? Ya, saya tahu saya sudah tidak tergolong dalam kategori itu. Tak mengapalah. Yang penting, peserta program itu muda-muda belaka, kecuali saya. Ada yang baru saja menerima keputusan SPM tempoh hari. Elavarasan dan Hanif, kalau tak silap saya.
Kami berkampung di London 10 hari. Ya, lamalah juga. Jadi saya pun mahu rakam sesuatu dalam Salah Taip, sebagai tanda ingatan saya kepada semua yang terlibat dalam KEMBARA, terutama sekali Encik Wan Hulaimi dan Puan Zaharah yang menjadi tulang belakang kami sepanjang tempoh berada di sana.
Sepasang suami isteri yang sudah lebih 30 tahun mendiami bumi Inggeris. Mereka kaya pengalaman. Mewah hilai tawa.
Mahu tulis travelog di sini, tapi saya kurang arif. Lagi pun, apa yang saya tahu tentang London dalam masa sepuluh hari? Setakat berkisah tentang kawanan merpati di Marble Arch atau sup panas Pret A Manger, tanya Google pun boleh.
Jadi, saya siapkan Nota London di Salah Taip. Ini catatan rawak saja. Tentang kisah dan sudut pandang yang masih bersisa dalam memori, buku catatan, dan contengan yang dahsyat benar kehodohannya di aplikasi S Note.
Juga gambar, dari tujuh kamera. Ya, lebih 36GB semua sekali dalam simpanan cakera keras saya. Kami memang berahi berfoto.
Semoga siri ini mengekalkan rindu dan kenangan kami semua di sana.
(Dari kiri) Baris atas: Encik Anuar, Faiz, Azri, Syukri, Syamsul, Eja, Puan Nasriah. Baris bawah: Ela, Dian, Encik Jefri, Encik Hulaimi, Nizam, Hanif, Gina. |
Bila mengenangkan sdr Nizam saya tak pernah mengaitkan dia dengan Kelantan sebab dia macam ada macho KL. Tapi bila membaca nota di atas: 'Kami memang berahi berfoto' baru saya ingat. Guano demo ggitu? Ya saya sungguh gembira bertemu dengan kalian. Satu pengalaman yang tak dapat saya lupakan, menceriakan dan memanaskan suasana kesejukan di sini. Semoga berhasil berkarya, dan saya akan membacanya dengan megah dan gembira.
BalasPadamSengaja diletakkan berahi itu :)
PadamSemoga tunjuk ajar Awang Goneng dan isteri membantu kami.