31.3.13

Hanya Sepuluh 144

Bilakah kali terakhir kau benar melihat api membakar belanga juadahmu?

Nota London #3

Kita jumpa lagi.

Selesai saja taklimat dan majlis pelancaran KEMBARA, saya kembali semula ke lobi Hotel Sama-Sama untuk menyudahkan beberapa e-mel dan menyemak akaun Facebook dan Twitter.

Ini rutin masa kini. Jadi hamba dunia maya yang cuma diwakili gambar dan kata-kata. Betapa hiba, kita tidak lagi bergebang dan bersentuhan di depan mata.

Kemudian saya cari Gina di WhatsApp. Katanya, rombongan sudah mula bergerak ke KLIA. Saya bergegas ke sana dan terus ke kaunter daftar masuk Emirates. 

Tapi geng KEMBARA yang lain tiada.

Rupa-rupanya saya sampai awal. Mereka menyusul kemudian. Kami beratur di laluan kelas ekonomi. Masing-masing sibuk menanda beg dengan rencam penanda dan tali. Entah bimbang hilang atau sukar dikesan kelak tiba di Heathrow.

Saya cuma melawan kantuk yang semakin beraja di mata.

Ela tak sabar ke balai berlepas. Kami ke balai berlepas dengan Aerotrain yang mengangkut penumpang dari KLIA ke terminal berlepas.
Kami di balai berlepas. Anjung hijau di belakang kami menampilkan konsep KLIA sebagai lapangan terbang dalam taman, taman dalam lapangan terbang. Satu-satunya lapangan terbang di dunia yang menerima anugerah Green Globe.
Selesai urusan daftar masuk, kami ke balai berlepas. Tidak seperti lapangan terbang antarabangsa lain, KLIA pada hemat saya tidaklah terlalu intrusive dalam pemeriksaan keselamatan. Yang sedang-sedang saja.

Saya ditempatkan di kerusi 59G, sebaris dengan Eja, Hanif, dan Gina. Nombor penerbangan EK347. Menjelang panggilan terakhir untuk penumpang masuk, kami semua sudah berada di dalam perut Airbus A380-800, pesawat penumpang terbesar di dunia. 

A380 mula digunakan dalam operasi komersil oleh Singapore Airlines, jiran kita. Namun Emirates - syarikat penerbangan Emiriah Arab Bersatu - menempah bilangan A380 tertinggi di dunia setakat ini iaitu 90 buah.

Dian sudah memeluk bantal walau kapal terbang belum berlepas.
Pada awalnya saya terlena, bahkan tak tersedar saat tayar kapal terbang bergeser meninggalkan landasan. Entah beberapa lama, saya terjaga dan menonton filem melalui ICE (Information, Communication, Entertainment) - saluran interaktif yang disediakan Emirates.

Sepanjang penerbangan dari Kuala Lumpur ke Dubai, saya sempat menonton dua filem. Hitchcock lakonan Anthony Hopkins dan Helen Mirren; dan Argo lakonan (serta arahan) Ben Affleck. 

Kedua-duanya menakjubkan walaupun saya tak sempat menghabiskan Argo kerana mata saya tumpas selepas menikmati makan malam di udara: nasi dengan ayam masak merah (yang sedikit hambar), salad tuna, ban dengan keju dan coklat gelap, biskut kering, jus oren, dan air mineral.

Eja dan Hanif saya lihat ralit juga berhibur dengan ICE. Cuma Gina yang lebih kerap memejam mata.

Kami tiba di Dubai lebih kurang enam jam kemudian.

Itu cerita lain pula. Kita sambung lain kali.

29.3.13

Temple Run 2 dan Nyawa

Semalam saya berbuka puasa dengan Shahrul Nizam a.k.a Bonat. Teman segila saya dalam debat dan pengucapan awam. 

Kami pilih Sri Hainan Kopitiam di Seksyen 9, Shah Alam. Bonat pesan nasi ayam. Saya mahu cuba mi wantan. Sambil tunggu azan, Bonat pinjam telefon bimbit saya dan mula tenggelam dengan permainan Temple Run 2.

Saya biarkan saja. Tumpuan saya lebih terarah kepada sekumpulan pelajar MSU yang meriah menyambut hari lahir salah seorang daripada mereka. Tujuh meja dicantum panjang. Sebutir kek jadi tumpuan acara, bersama gadis hari lahir yang manis tersenyum dalam kerudung ungu.

Kembali pada Temple Run 2. Saya pesan pada Bonat, permainan itu - di telefon saya - sudah digodam. Ada lebih 2 juta keping emas dan 2 juta keping zamrud. Saya tahu, ada pembaca yang sudah kepeningan.

Dalam Temple Run 2, pemain dikehendaki mengawal karakter yang berlari tanpa henti menyusuri pelbagai rintangan (jurang, tanah runtuh, hambur api, sungai deras, landasan kereta api lama) sambil mengutip emas. Andai kecundang, "nyawa" karakter boleh disambung dengan zamrud dalam simpanan.

Jadi saya pesan pada Bonat, menekuni permainan itu di telefon bimbit saya sudah hilang ujanya. Tiada thrill sebab setiap kali mati pun, pasti boleh disambung dengan bekal lebih 2 juta zamrud.

Ketika itulah Bonat mengangkat wajahnya seraya berkata:

"Patutlah Tuhan beri kita satu nyawa saja ya?"

Saya tergamam.

Nota London #2

Okey. Kita sambung.

KEMBARA dimulakan dengan taklimat dan majlis pelancaran di Hotel Sama-Sama. Orang marhaen macam saya, terlongolah saat tiba di lobi hotel itu. Maklum saja, hotel lima bintang. 

Hotel Sama-Sama betul-betul bersebelahan dengan KLIA. Kalau berjalan menerusi jejambat udara yang menyambung kedua-dua bangunan agam itu, cuma lima minit.

Oh, kembali kepada lobi. Memang mewah. Marmar dengan corak geometri jadi lantai. Paling ketara, gabungan motif bulatan dan segitiga yang menguasai ruangan tengah lobi. 

Yang megah menunjang siling, tiang-tiang gergasi rona hijau dengan kemasan di hujung bermotif daun palma, barangkali sempena tanah Sepang yang dijajah sawit.

Saya tiba awal. Lebih kurang sejam sebelum majlis bermula. Jadi saya bermalasan di ruang kiri lobi yang menempatkan jujuk sofa empuk. Semak laman sosial dan balas e-mel.

(Dari kiri) Faiz, Syukri, dan Azri menunggu taklimat. Mereka ini macam The Three Musketeers. Setia segandingan.

Sebelum taklimat bermula, saya berkenalan dengan peserta lain di ruang menunggu. Itulah kali pertama saya bertemu dengan Faiz, Syukri, Eja, Ela, Hanif, Shamsul, dan Azri. Dua orang lagi peserta, saya sudah kenal sebelum ini. Dian pernah bergelar pendebat universiti.

Seorang lagi, Gina. Rakan penulis saya di rumah penerbitan Buku Fixi. Yang saya cemburui juga sebab dia pantas betul menulis dan kerana saat saya menaip entri ini, dia sedang bercuti di Melbourne. Amboi.

Taklimat diadakan di Bilik Boeing 1 dan 2. Ya, bilik taklimat di hotel ini dinamakan sempena model kapal terbang. Bilik Airbus pun ada. Pengarah Urusan ITBM, Encik Khair Ngadiron dan Presiden PENA, Dr Saleeh Rahamad - kedua-duanya memberi ucapan.

Pengarah Urusan ITBM, En Khair, memberi ucapan.
Presiden PENA, Dr Saleeh Rahamad, khusyuk mendengar ucapan. Saya berharap benar dapat ketemu dia lagi. 

Saya terkesan sekali dengan kata-kata Dr Saleeh tentang amanah berkarya. Tentang para sasterawan dan karyawan masyhur yang sudah pun menghasilkan adikarya atau masterpiece pada usia muda. Salina, misalnya, dihasilkan oleh A. Samad Said dalam usia 20-an.

Sungguh, saya berasa amat kerdil dan sarat kekurangan. Betapa papanya kantung karya saya. Perlu lebih banyak belajar dan terus belajar untuk menulis dengan lebih hemah dan ilmu.

Usai ucapan, kami diperkenalkan seorang demi seorang kepada pihak media. Saya sukar memberi tumpuan ketika sesi bergambar kerana hidangan minum petang di hujung dewan sudah mula merembes aroma tak terelakkan.

Kemudian kami menjamu selera. Saya rasa sungguh bertuah kerana sempat bergebang dengan Dr Saleeh sambil menggomol skon yang dibalut krim putar. 

Ketika itulah saya sedar bahawa hanya tinggal beberapa jam lagi sebelum penerbangan ke London bermula. Saya sedar, barangkali inilah peluang untuk saya memenuhkan kantung karya yang papa. Dengan KEMBARA.

Supaya saya - sekali pun tidak bisa ke langit seperti bintang yang saya puja - mampu berdiri di tangga malam tertinggi, bernyanyi di bawah cahaya mereka.

Kita jumpa lagi di entri seterusnya. Ciao!

27.3.13

Nota London #1

Ini tanda orang pemalas. Sudah lebih seminggu program tamat, barulah terhegeh-hegeh mahu mengarang entri blog. Tapi tak mengapalah. Bukankah lewat itu lebih baik berbanding tiada?

Saya diberi peluang oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) untuk menyertai Kembara Penulis Muda ke United Kingdom (KEMBARA).

Muda? Ya, saya tahu saya sudah tidak tergolong dalam kategori itu. Tak mengapalah. Yang penting, peserta program itu muda-muda belaka, kecuali saya. Ada yang baru saja menerima keputusan SPM tempoh hari. Elavarasan dan Hanif, kalau tak silap saya.

Kami berkampung di London 10 hari. Ya, lamalah juga. Jadi saya pun mahu rakam sesuatu dalam Salah Taip, sebagai tanda ingatan saya kepada semua yang terlibat dalam KEMBARA, terutama sekali Encik Wan Hulaimi dan Puan Zaharah yang menjadi tulang belakang kami sepanjang tempoh berada di sana.

Sepasang suami isteri yang sudah lebih 30 tahun mendiami bumi Inggeris. Mereka kaya pengalaman. Mewah hilai tawa.

Mahu tulis travelog di sini, tapi saya kurang arif. Lagi pun, apa yang saya tahu tentang London dalam masa sepuluh hari? Setakat berkisah tentang kawanan merpati di Marble Arch atau sup panas Pret A Manger, tanya Google pun boleh.

Jadi, saya siapkan Nota London di Salah Taip. Ini catatan rawak saja. Tentang kisah dan sudut pandang yang masih bersisa dalam memori, buku catatan, dan contengan yang dahsyat benar kehodohannya di aplikasi S Note.

Juga gambar, dari tujuh kamera. Ya, lebih 36GB semua sekali dalam simpanan cakera keras saya. Kami memang berahi berfoto.

Semoga siri ini mengekalkan rindu dan kenangan kami semua di sana.

(Dari kiri) Baris atas: Encik Anuar, Faiz, Azri, Syukri, Syamsul, Eja, Puan Nasriah. Baris bawah: Ela, Dian, Encik Jefri, Encik Hulaimi, Nizam, Hanif, Gina. 

Kembali

Februari (dan Mac juga sebenarnya), Salah Taip tak tersentuh. Selepas menghadiri Kembara Penulis Muda ke London anjuran Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), saya kembali menemui semangat untuk mengisi blog ini.

Encik Hulaimi dan Puan Zaharah benar-benar menggilai perkongsian pengalaman dan uja penulisan melalui blog. Saya terkesan.

Malah Encik Hulaimi berkali-kali mengulang ayat ini:

Facebook kills all the talents.

Saya setuju juga. Well, partially.

Jangan risau, semangat ini bukannya lama. Roh malas akan kembali merasuk bila-bila masa dan Salah Taip akan kembali sunyi. Itu memang tabiat saya. Malangnya.