"Na ingat...Na ingat lagi..." Nafas Ibu makin tersekat. Tangannya meraba-raba, mencari jemariku yang hampir benar.
"Bawa mengucap, Hasnah." Mak Long pintas soal ibu. Dia usap dahi Ibu.
"Aku nak cakap dengan Nana. Kau jangan kacau,"
Aku merapati ibu. Tanganku digenggam kemas-kemas. Barangkali sambil memeta sisa wajahku dalam ruang minda. Kali terakhir Ibu lihat wajahku, 15 tahun lalu. Sebelum diabetes meragut matanya.
"Ibu?"
"Ingat lagi cerita yang Na suka dengar sebelum tidur? Yang Ibu baca."
"Ingat."
"Ibu nak..."
"Hasnah, rehat dulu. Mengucap,"
"Jangan kacau aku, Long."
Buku cerita ayam dan musang itu sudah entah berapa dekad aku tinggalkan di rumah Ibu. Entah ada atau tidak dalam almari di bucu kamar. Belum sempat bingkas dan beredar, Ibu capai tanganku.
"Na nak pergi mana?"
"Cari buku tu,"
"Kalau ada pun, bukannya Ibu boleh baca."
Seloroh Ibu bergema hiba, di celah-celah sipongang bacaan doa dan Yasin. Orang kampung mahu Ibu kebah dari sakit tenat.
Aku kembali ke sisi Ibu. Hujung jemarinya temukan dahiku. Usapan yang pernah melindungi aku saban malam, kembali semula. Aku dakap Ibu rapat-rapat.
"Biar Ibu cerita,"
Kemudian tiap kata yang terbit dari bibir Ibu itu tiada walau sepatah tertinggal. Kisah ayam dan musang; seperti tercetak aksara, sempurna dan sediakala.
Sesudah kisah dinoktah, Ibu bersyahadah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan