20.8.12

Hanya Sepuluh 120

"Benar sangkaku. Hanya perlu dua hari, kuberaja semula." Ujar nafsu.

18.8.12

Salam Aidilfitri

Salam Aidilfitri untuk semua pembaca Salah Taip.

Tenang sajalah. Tak perlu ghairah sangat macam kamu tak pernah menyambut Syawal.

Nota Ramadan #52

Saat saya menaip entri ini, seluruh ahli keluarga sedang asyik menonton televisyen. Sukar juga mendengar kandungan siaran sebab lohong telinga disumbat bunyi mercun yang tak putus-putus.

Ramadan sudah pergi, dan seperti tahun-tahun sebelumnya, saya mempersiakan bulan itu.

Esok rutinnya pasti biasa. Solat Subuh dan sepinggan nasi dagang sebagai sarapan wajib. Masakan Mama yang tidak pernah saya tinggalkan sepanjang ingatan meneman usia.

Dentum mercun masih bersahutan.

Saya doakan agar ada yang kudung pagi esok.

Barulah malam menjelang Syawal lebih tenang. Tapi itu mustahil. Dan mengapa saya meminta yang buruk sebegitu pada hujung bulan nan mulia?

Bodoh.

Otak saya berkali-kali menyuruh saya berhenti menaip entri ini, bimbang saya meracau lebih parah.

Yalah. Kadang-kadang kalau hati terlalu bising, pada akal kita ambil pusing.

15.8.12

Hanya Sepuluh 119

"Mengapa dia kau bunuh?"

"Kerap benar rungut keluh. Aku jenuh."

Hanya Sepuluh 118

Setem dilekat. 

Kad disisip.

Sampul dikatup.

Ditulis padanya alamat sendiri.

Nota Ramadan #51

Saya bukan sufi. Jarang sekali suci hati. Jadi apabila tiba hujung Ramadan, saya tidak boleh menipu diri dengan mengatakan saya hiba.

Tidak.

Tapi saya rasa kosong. Ya, macam judul lagu gadis itu.

Sebab apa kosong? Entah. Keghairahan menyambut Syawal sudah lama hilang. Selepas solat sunat dan ziarah pusara, saya jadi terpinga-pinga.

Barangkali penyakit anti sosial saya merebak hingga tidak gemar berkunjung ke rumah sanak saudara. Ini perangai jelik.

Apatah lagi, tahun ini pertama kali saya bakal sambut Syawal tanpa Tok Ayah.

Ah, kita habiskan puasa dulu dan tiru apa orang lain buat - menggila di pasar raya membeli apa yang tidak perlu asalkan tampak gembira.

7.8.12

Kispen 109: Mahu

Perlahan-lahan dia masuk tanpa disedari sesiapa. Bahkan terlalu mudah. Jirannya sentiasa saja meninggalkan kunci rumah kalau mereka ke mana-mana.

Mereka percaya pada Nabila.

Kalau mereka ada kecemasan dan perlu keluar, Nabila akan dipanggil untuk jadi pengasuh. 

Kali ini si ibu dan dua anak lelaki pulang ke kampung. Yang tinggal cuma suami yang Nabila tahu sedang berdengkur di kamar. 

Dia ke dapur terlebih dahulu. Guni yang tergulung rapi di tangannya sejak tadi dibuka. Malam ini dia mahu ambil semua yang sudah lama diidamkan. Sejak dia kerap keluar masuk rumah pasangan ini, dia sudah pasang ingin untuk mendapatkan itu ini.

Yang pertama terjun ke dalam guni; mesin pengisar kopi. Hujung minggu andai Nabila diajak bersarapan bersama, mesin inilah yang dilihat jadi tumpuan pasangan suami isteri yang bergelak ketawa sementara menanti titis hitam kafein memenuhi teko.

Dia ambil semua pisau termasuk papan pemotong. Balang-balang kecil berisi rempah ratus juga dikebas. Resipi yang diajar si isteri masih Nabila ingat. Kelak memasak, rempah inilah yang beraksi.

Tiba di ruang televisyen, Nabila ambil semua DVD. Semua. Lebih 200 judul filem disusun mengikut abjad di dalam kabinet khas. 

Bersama dua anak lelaki mereka, Nabila sering tonton koleksi kartun Upin Ipin dan beberapa siri animasi Nickelodeon. Andai diajak bermaraton filem dengan pasangan suami isteri itu, mereka selalu asyik dengan genre aksi.

Namun Nabila ambil semuanya.

Tiba di kamar tidur, Nabila melangkah penuh hati-hati. Tuan rumah, si suami, masih ada. Masih lena di ranjang. Nabila dekati ranjang dan renung wajah tuan rumah rapat-rapat.

Bibirnya makin dimuncung. Wajah mereka hampir bertemu. Hembus nafas panas terasa. Dia cuma mahu satu kucupan.

Saat itu juga Nabila sedar guninya kosong. Tiada isi. Dan dia pulang ke rumahnya yang tak berpenghuni. Walau sunyi, lebih molek di sana menyambung impi.


Rupa Baharu

Kata orang, usah dihakim isi pada kulit.

Ah, apa salahnya sekali-sekala bertukar pesona?

Nota Ramadan #50

Berbuka puasa dengan anak-anak yatim seharusnya dilakukan lebih kerap. Terselit juga sesal dalam hati kerana saya jarang menyertai program sebegitu.

Beberapa hari yang lalu saya berbuka bersama mereka di sebuah surau. Makan bersila dengan juadah dihidang di dalam talam.

Sebelum berbuka, sempat juga saya bergebang dengan mereka. Suara mereka riang, malah sering terbit hilai apabila rakan-rakan turut sama berkongsi cerita.

Namun dalam mata mereka, andai benar-benar direnung, seolah ada pancar sepi yang tak tergambarkan. Semerta saya jatuh belas.

Semoga Tuhan melindungi mereka. Semoga tabah dan tega mereka jadi perisai hati paling hadapan.

Hanya Sepuluh 117

Wahai tuan, biar kami menilai bakti.

Usah didesak balas budi.

Nota Ramadan #49

Seperti biasa, saya lalai mengemas kini blog. Kadangkala saya simpati dengan para pembaca yang hampa setiap kali tiba di Salah Taip tanpa entri baru.

Minggu lalu saya berbuka puasa di McDonald's dan terlihat gelagat pelanggan yang sungguh mengharukan.

Seorang ibu dengan dua anak kecil beratur membeli makanan. Seorang merengek di kaunter tentang mainan pilihan Happy Meal.

Seorang lagi meragam di dukungan.

Usai pekerja memenuhi pesanan, dulang si ibu sarat. 

Dengan pantas, seorang wanita Eurasia (barangkali pelancong kerana dia menggalas beg Deuter nan agam) mencuit bahunya dan menawarkan diri untuk mendukung anak si ibu.

Mereka berempat berjalan bersama-sama ke meja makan.

Bukti hemah budi dan peduli tak kenal sempadan diri. 

Manis. Sungguh manis.