14.7.12

Kispen 104: Belum

Langkah Azhar terhenti. Dia terdengar erang kecil.

Celaka. Dia belum mati?

Azhar kembali ke kamar. Mata isteri masih terpejam namun dadanya berombak. Azhar mundar-mandir. Barangkali dos racun dalam picagari tadi tidak cukup. 

Dia tiada pilihan kedua. Segalanya sudah disiapkan. 

Khairaa perlu mati.

Azhar bertinggung di hadapan peti besi. Tombol dengan senggat bernombor dipulas hingga terdengar bunyi klik.

Sepucuk pistol kini di tangan. 

Azhar benam muncung pistol ke bantal yang memekup wajah Khaira. 

"Azhar! Azhar!" 

Jari Azhar terhenti di picu. Entah siapa yang melaung dan mengetuk pintu rumahnya jam 2:47 pagi. Dia bungkam dengan hasrat si pengacau beredar.

"Azhar! Azhar! Buka pintu ni."

Celaka. Dia belum pergi?

Azhar tinggalkan kamar dan turun ke ruang tamu. Pintu dibuka. Di hadapannya berdiri seorang lelaki dengan baju kemeja kumal. 

"Rizqi. Kau buat apa datang rumah aku pagi-pagi buta ni?"

"Kalau ya pun, ajak la aku masuk." Nafasnya tengik. 

"Banyak sangat minum ni," Azhar papah temannya masuk.

Rizqi ditinggalkan di sofa. Azhar ke dapur. Sambil tunggu titis-titis hitam mengisi teko kaca di mesin pembuat kopi, dia sambung rencana. Tak mungkin Rizqi dihalau. Dia teman paling karib. Malah dia yang bantu Azhar pikat Khairaa di universiti dahulu. 

Apa akan jadi andai Rizqi tahu Khairaa kini separa sedar di ranjang, menunggu maut menjelang?

"Azhar, aku tidur kat rumah kau malam ni boleh?"

Azhar kembali ke ruang tamu dengan segelas kopi.

"Malam? Dah pagi ni, Riz. Nah, minum dulu."

"Khairaa mana?"

"Tidur. Kau je yang berjaga, datang ceroboh rumah orang." Azhar cuba senyum namun otot bibir seakan kebas.

"Kau untung dapat dia tau? Kalau bukan sebab aku, kau entah hidup dengan siapa sekarang." Rizqi cuba kawal oleng kepala. Mata dilingkar kantuk dan mabuk. Kopi yang diberi Azhar langsung tak dihirup.

"Ya. Kau tolong aku. Dah, minum kopi ni dulu. Freshen up. Nanti aku ambil tuala. Lepas tu aku hantar kau balik."

"Azhar, kalau kau nak tau, aku bagi can. Khairaa tu, aku dah rasa. Sedap," Rizqi jilat bibir. Dia mahu capai gelas di meja namun tubuhnya liang-liuk. Dia rebah di sofa lalu ketawa.

"Riz, kau dah mabuk sangat ni."

Tam!

Azhar tersembam ke lantai. Kepalanya berlumur merah, ditabrak peluru.

"Khairaa," Rizqi tergamam.

Di tangga, Khairaa terhuyung-hayang dengan sepucuk pistol di genggaman.

"Dia nak bunuh aku, Riz."

Mereka berdakapan di ruang tamu. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan