3.4.12

Tentang Bunohan

Pertama, mesti ada klausa keselamatan. Saya bukan pakar filem. Jauh sekali searif Mansor Puteh, Roger Ebert, atau Ajami Hashim. 

Saya cuma seorang penagih filem. Tak pernah muak dan jelak menonton karya sama ada di layar perak, skrin televisyen, atau dari DVD haram dan salinan muat turun filem percuma.

Hujung minggu lalu saya berteleku di hadapan televisyen dan melanggan filem Bunohan. Terima kasih Astro First.

Saya tonton Bunohan tiga kali. Hujung ke hujung.

Apa yang bakal saya coretkan ini semestinya komentar rambang yang berakarkan satu premis - Bunohan antara filem terbaik pernah saya tonton sepanjang hayat.

Ya, tidak ada "tempatan" atau "Melayu" antara perkataan filem dan terbaik.

Sudah pasti, tidak ada karya yang sempurna. Saya cuma mahu kongsi pemerhatian dan pengalaman.

1. Jalan cerita

Saya sangkal komentar sesetengah penonton bahawa jalan cerita Bunohan terlalu sukar difahami. Secara asas, Bunohan memaparkan kembara tiga beradik yang masing-masing punya hala tuju. Ilham sang algojo (Faizal Hussein), Bakar guru haloba (Pekin), dan Adil tukang tomoi (Zahiril Adzim). 

Cuma, Bunohan tidak menyuap penonton dengan segala-galanya. Penonton yang barangkali terbiasa dengan monolog dalaman pelakon yang digemakan selama lima minit atau isyarat rasa yang dilisankan - sudah pasti terlepas pandang permainan emosi atau petanda penting dalam plot filem ini.

Filem komedi dihayati dengan tawa. Kisah cinta diselam dengan rasa asyik berbunga. Bunohan? Perlu ada tumpuan tak berbelah bagi.

Dain Said cuma bercerita dengan garis masa non-linear dalam Bunohan. Itu saja.

2. Dialog

Aspek ini bagi saya antara sisi terkuat Bunohan. Bukan kerana saya anak jati Kelantan, tetapi kepintaran penulis lakon layar mengadun tutur yang ringkas namun sarat makna.

Ketelitian pengarah dan kesungguhan para pelakon dalam memastikan dialek Kelantan dijiwai begitu menakjubkan. Kecuali Mek Yah (Tengku Azura), Awang Sonar (Soffi Jikan) dan Adil yang agak longgar sebutannya, yang lain cemerlang. 

Sama ada kebetulan atau disengajakan, Pok Wah (Nam Ron) seolah-olah diberi banyak dialog yang bermesej tinggi, sinis, dan berunsur nasihat.

Dialog terbaik dalam Bunohan pastinya perbualan antara Adil dan Pok Eng (Wan Hanafi Su). Tindakan Pok Eng yang cuba menjelaskan rahsia silam dibentak halus oleh Adil:

"Mana ada orang boleh sumbat 23 tahun dalam tiga minit."

Dialog lain yang kekal dalam memori saya ialah leteran Pok Wah kepada Awang Sonar:

"Kau ni kena racun lebih daripada ikan kau."

Satu lagi milik Adil yang menyindir abangnya, Bakar:

"Patah tulang boleh sembuh. Kau tu, patahkan semangat orang."

3. Sinematografi

Memukau dan menakjubkan. 

Dain Said berjaya mengubah rupa pantai, sungai, dan paya di sekitar lokasi penggambaran menjadi pemandangan yang punya roh dan jiwa. 

Gabungan batu nisan, rona putih pasir pantai dan langit berbaur kelabu biru cukup untuk mengundang rasa gelap dan simpati kepada Ilham yang tak berputus asa mencari tinggalan gemulah ibunya.

Pun begitu, adegan perlawanan tomoi kelihatan kurang bertenaga. Barangkali kerana pertukaran shot yang agak perlahan dan helah kamera sederhana kurang berjaya menonjolkan fitrah tomoi yang lincah dan keras.

4. Watak

Saya kurang bersetuju dengan pandangan tuan editor Dewan Sastera yang mengatakan pembangunan watak Bunohan lebih tohor berbanding Songlap.

Konflik keluarga yang dibongkar berasingan melalui tiga watak utama (Ilham, Bakar, dan Adil) barangkali menjadikan setiap karakter 'tipis' secara permukaan tetapi apabila jalan cerita semakin berkembang, kemelut jiwa dan konflik rasa setiap watak dilihat lebih jelas.

Bagi saya, Adil sedikit tenggelam berbanding Ilham dan Bakar. Saya harap Faizal Hussein tercalon untuk FFM akan datang. Dialognya minimum, tetapi gerak tubuh dan tafsiran Faizal Hussein terhadap watak Ilham begitu berkesan.

Gandingan Bakar dan Jolok (Hushairy Hussain) sebagai antagonis juga saya gemari. Bakar bertindak sebagai mastermind yang dilihat bersih, cuba merampas tanah ayahnya sendiri dengan Jolok ditugaskan melakukan segala tugas kotor.

Yang mengecewakan saya hanyalah watak Mek Yah pada hujung filem. Saya tak mahu bercerita panjang, nanti spoiler pula. Cuma lakonan Tengku Azura terlalu lemah untuk mengangkat karakter Mek Yah yang bukan sahaja ibu kepada Ilham dan Adil, malah tunjang kepada tema Bunohan.

Keseluruhannya, saya kagum dengan Dain Said dan seluruh tenaga kerja Bunohan.

Sebuah filem tempatan yang menyemarakkan rasa yakin saya bahawa industri filem Malaysia masih punya pelbagai warna dan citra.

3 ulasan:

  1. Rasa macam nak tengok setiap hari.

    BalasPadam
  2. saya masih belum berpeluan untuk menonton filem ini. nampaknya banyak yang anda berjaya teliti satu per satu.

    BalasPadam
  3. sy sedang melakukan kajian mengenai filem ini mengenai tanda dan makna dlm bunohan....blh tlg terangkan pd sy apa maksud ending cerita dia?selain itu, apa motif dain tunjukkan piramid, buaya putih ye?tlg ye.

    BalasPadam