22.3.12

Kispen 93: Lewat

Cahaya lampu kamar masih belum padam. Hazri duduk di pinggir katil. Songkok baldu diriba. Dia tersenyum sambil hela nafas dalam-dalam. 

Segalanya wangi di kamar ini.

Pintu terbuka. Amalin melangkah masuk. Wajahnya lesu, namun pipi masih memerah. Atau barangkali baru saja bertukar merah saat melihat suaminya yang baru beberapa jam dinikahi.

"Penat?" Hazri angkat kening. Itu saja yang mampu terletus di bibir sesudah seharian tersenyum melayan sekalian tetamu. Matanya sudah berpinar digomol denyar lampu kamera.

Amalin melabuhkan punggung di sisi Hazri. Tanpa sedar tangan mereka saling menggenggam.

"Alin, oh Alin!"

Pintu kamar diketuk. Pengantin baru tersentak.

"Ada apa mak?" Amalin meluru ke pintu. Nafasnya mendengus, berbaur kecewa.

"Keluar kejap. Pakai baju bersanding tadi. Ni ha, Pak Ngah kau satu family baru sampai. Orang jauh, Lin. Nak ambil gambar dengan pengantin. Cepat ya."

Mata Hazri terbelalak. Songkoknya masih diriba.

2 ulasan:

  1. sejak kebelakangan nie, saya sering mengunjungi blog ini. jika tiada entry baru, saya akan membaca entry2 lama terutamanya bahagian kispen. sangat menarik.

    saya juga ingin mencuba menulis kispen di blog saya. dengan kata 'jangan takut untuk mencuba sesuatu yang baru', saya telah menghasilkan kispen pertama saya sebentar tadi.

    saya budak baru belajar.

    =)

    BalasPadam
  2. Terima kasih. Teruskan menulis :)

    BalasPadam