13.8.11

Kispen 85: Kereta

"Ibu, ni tahun lepas punya kan?" Farehah cebik bibir sambil belek langsir di ruang tamu. Takbir raya sayup bersipongang dari surau lama singgah ke telinganya.

"Ya. Kenapa?" Haidar pura-pura tak peduli. Tangannya masih sibuk memindahkan biskut dari kotak ke balang kaca warna-warni.

"Kenapa tak tukar?"

"Entah. Tanya ayah kau." Haidar tutup balang pertama yang penuh. Biskut emping jagung bersalut madu. Matanya sekali-sekala menjeling suami, Jalal, yang tenang menghirup teh sambil mengisi sampul duit raya. Rasa geram mendongkol.

Keesokan pagi, sesudah solat Subuh, Jalal sekeluarga bersalaman. Ucap maaf saling berganti.

"Eh? Mana ketupat, kuih semua? Kan awak dah siapkan semalam?" Jalal ternganga setibanya di dapur. Meja makan kosong.

"Oh, ya. Saya dah hidang semua dalam kereta baru awak. Pergi la, beraya kat dalam tu. Rugi beraya dalam rumah, kalau duit habis beli kereta!" Jawab Haidar penuh puas.

Takbir raya yang sayup bersipongang hampir ditelan nyaring suara Haidar.

9.8.11

Nota Ramadan #42

Sudah dua hari berturut-turut terlepas sahur. Ini tidak bagus. Tidak bagus.

7.8.11

Ludah Langit

Petang Ahad yang malas dihabiskan dengan menonton filem Heart, lakonan Nirina Zubir, Irwansyah, dan Acha Septriasa.

Ya, filem itu sudah lama kesohor. Saya saja yang ketinggalan, baru sempat menonton.

Sisi romantisnya tipikal, tapi berkesan. Dilema memilih dua manusia, cumbu cinta atau teman setia. Penyakit kronik jangan lupa.

Ironinya, saya kerap benar memperolok dan mengejek teman-teman yang sentiasa meladeni filem dan novel sebegini. Mass-produced love stories.

Tapi, saya tidak boleh menipu diri dan berasa sezarah haru dan hiba ketika menonton adegan meruntun jiwa. Bahawa Tuhan sejak azali menanam benih cinta dalam hati kita semua.

Saya berkira-kira, molekkah jika saya buat karya eksperimen - sebuah novel cinta?

Ada teman karib dan rakan Twitter yang mengusulkan. Setakat ini, masih dalam neraca minda. Belum tentu hujung pangkalnya.

Cuma andai dikarang, saya akan mengetawakan diri saya sendiri seumur hidup. I have to eat my own words, and so far, I'm not up for it.

Tunggulah.

Kispen 84: Mainan

Bunyamin dan anaknya, Yusri, berpimpin tangan ke kaunter. Pelayan dengan tanda nama 'Melissa' tersenyum manis. Soalan pertama, mahu makan di sini atau bawa pulang. Bunyamin mengesan alun sinis dalam suara Melissa.

Mentang-mentang bulan puasa.

"Take away, please." jawab Bunyamin. Dia mengerling jam tangan - 1:45 petang.

Melissa senyum lagi. Kali ini dia bertukar pandang dengan rakan di kaunter sebelah. Kening diangkat, menghantar tawa dalam hati.

"Yus nak Happy Meal yang mana?" soal Bunyamin sambil pegang bahu anaknya.

"Mana-mana pun boleh. Papa yang nak makan, kan? Yus nak toy tu je."

Bunyamin kelu. Suara nyaring Yusri mengundang pandang seisi restoran.

Nota Ramadan #41

Salah satu tabiat Abah waktu berbuka, makan kurma dan kuih dengan segelas air suam dan terus solat Maghrib. Sesudah itu, barulah dia menjamah hidangan utama.

Dia pantang benar kalau saya dan adik-adik makan nasi sebaik saja azan berkumandang.

Malah, andai sesiapa dijemput berbuka di rumah, tetamu perlu mematuhi rutin itu. Walau selazat mana pun hidangan utama, mesti tunggu.

Andai tidak berbuka puasa di rumah, saya selalu langgar pantang Abah. Saya makan apa saja saat Maghrib menjelang.

Hasilnya?

Apabila saya dihurung culas untuk solat atau termengah-mengah ketika sujud, saya terlihat wajah Abah tersenyum sinis.

6.8.11

Nota Ramadan #40

Entri ini ditaip kira-kira lapan minit sebelum iftar.

Masih terngiang-ngiang di telinga saya sepotong ayat dari khutbah Jumaat semalam. Kata khatib - perjuangan melawan nafsu adalah rahsia antara hamba dan Tuhannya.

Sehingga kini saya masih terpana, mencari maksudnya.

Ah, aroma murtabak dan mi goreng semakin galak menerawang. Kita jumpa lagi ya?


5.8.11

Nota Ramadan #39

Pembaca setia Salah Taip sedia maklum, saya memang malas kemas kini blog ini. Jadi, kalau kalian tertanya-tanya mengapa ada sampai lima entri semalam - saya tidak ada jawapan.

Barangkali kerana enaknya cucur udang yang saya nikmati sewaktu buka puasa.

Boleh jadi udara semalam kurang hingar.

Atau saja Ramadan menghadirkan tenang yang manis, untuk patah kata dikarang tulis.

Ini mungkin khayalan saya semata-mata, tetapi langkah masa, andai kakinya pada detik saat - pantas benar berlari pada penghulu segala bulan ini.

4.8.11

Hanya Sepuluh 85

Bisakah kita menari semula, atau lantai tarinya telah retak sejuta?

Hanya Sepuluh 84

Saya, sang jahil, bertanya: bolehkah diintip, dirusuh rumah ibadah lain?

Kispen 83: Mertua

"Ahhh!" Ikmal terjaga. Tubuhnya lencun, peluh di segenap liang roma.

Pintu biliknya terbuka. Salina meluru masuk.

"Sayang dah sedar? Rehat okey." Salina duduk di pinggir katil. Ikmal baring semula perlahan-lahan. Nafasnya naik turun, melaju. Tangan suaminya dipegang, dielus perlahan.

"I had a bad dream. Saya mimpi mak awak datang, then kita gaduh dengan dia. Pasal tanah tu. Lepas tu, saya...saya...saya tikam dia."

Salina tersenyum.

"Awak bukan mimpi. Lepas awak tikam dia tadi, awak pengsan. Darah banyak sangat." Salina ketawa kecil.

Ikmal kaget. Semakin lebar Salina tersenyum, semakin meremang bulu tengkuknya.

Hanya Sepuluh 83

8TV, bukankah fitrah media, ramai memerhati? Waspada, jangan main api.

Nota Ramadan #38

Setiap kali tiba waktu sahur, saya rasa malu pada Tuhan. Malu yang sungguh-sungguh. Terutama sekali di penghujung sahur. 

Saat azan Subuh berkumandang.

Kenapa?

Sebab hanya pada bulan Ramadan saya tekun merenung muka jam memastikan waktu Subuh benar-benar tiba lantas tunggang tunggit bersolat.

Kalau tidak, ikut bunyi jam. Kalau jadi manusia, maka awal. Kalau jadi syaitan maka lewat atau terlepas langsung.

Saya malu.

Semoga Ramadan terus mengajar kita. Semoga kita tidak pernah jemu memohon ampun pada Tuhan.

3.8.11

Kispen 82: Sorok

Kasyful perlahan-lahan mendekati kabinet dapur. Pintu kabinet di bawah sinki dibuka.

"Ha!" Kasyful melompat-lompat tanpa henti. Dia tahu adik bongsunya, Anas, mesti sembunyi di situ.

"Tak aci. Along tengok masa Adik datang sini kan?" Anas cebik bibir sambil mengekori Kasyful.

"Mana ada. Along tutup mata tadi."

Dua beradik tiba di kamar Kasyful.

"Angah mana?" Anas melompat ke atas katil, berguling-guling. Dia tahu abangnya, Mursyid, pandai bersembunyi. Jarang benar tewas.

Kasyful tarik lengan Anas. Pantas dia berbisik, "Along dah nampak dia. Ada bawah katil. Biar dia kat situ lama-lama."

Tubuh Kasyful tegak di pinggir katil. Dia berdehem dua kali, tanda lakonan bermula. "Entah. Dah puas Along cari dia satu rumah. Jom kita masuk bilik Papa."

"Jom." Anas tersengih-sengih tahan tawa.

Belum sempat mereka melangkah, pintu kamar terbuka.  

"Angah kat belakang langsir kat ruang tamu la. Lama dah tunggu. Along tak jumpa pun." Mursyid tercegat di depan pintu dengan senyum melebar.

Along dan Adik kejur, kaku. 

Nota Ramadan #37

Waktu berbuka puasa semalam, mata saya tertumpu pada sebuah meja yang dihuni tiga kanak-kanak. Dua lelaki, satu perempuan.

Riuh, masing-masing berebut kurma, ayam goreng, dan burger. Lebih comel, mereka hanya mahu cup saja. Bukannya makan pun.

Semuanya tertib menunggu azan menerobos udara.

Sebaik sahaja suara bilal bergema, mereka tadah tangan beramai-ramai. Abang paling sulung, pada hemat saya, mulut kumat-kamit baca doa.

Dan mereka jamu selera, tanpa suara. Hanya sekali-sekala tawa terselit.

Oh ya, mereka ditemani sang ibu yang mengatur segala. Serta-merta saya teringat Mama.

Ramadan, intim benar dengan manusia bergelar ibu. Yang paling tabah mengusir kantuk dari mata, demi anaknya terjaga dan bersahur. Yang paling gusar akan juadah yang dikecap anaknya di perantauan.

Maka ayuh, kita pulangkan selaut kasih ini, paling tidak, dengan setitis ingat.

2.8.11

Nota Ramadan #36

Saya cuba menghindar rasa cemburu beberapa jam sebelum berbuka semalam, tapi gagal. Hati saya diserang iri bertalu-talu.

Cemburu dengan kecekapan teman saya, Azmi, memasak.

Semalam perut saya diisi galak dengan gulai ayam dan ikan goreng ala-apa-saya-tak-tahu. Sekali tambah, berkali-kali kenyang.

Dia cekatan benar di dapur. Dua tiga kali juga perut saya meronta dan merusuh setiap kali aroma bugar masakannya terbang ke ruang tamu.

Terima kasih teman.

1.8.11

Nota Ramadan #35

Terlepas sahur.

Nota Ramadan #34

Ini entri Nota Ramadan pertama untuk 1432 Hijri. Semoga kali ini Ramadan mengajar kita semua tentang kerendahan hati.

Saya tidak setuju, malah kurang selesa apabila ramai yang cuba melabel Ramadan sebagai bulan 'berlagak alim', yakni Muslim tiba-tiba insaf dan rajin beribadah.

Pada hemat saya, biarlah kita mula merapatkan diri dengan Sang Pencipta walau apa cara sekali pun. Lewat atau cepat, bermusim atau tekun - tidak perlulah pantas kita menuding jari.

Malam terlalu lewat, sehingga merangkak ke awal pagi. 

Menu sahur saya masih kosong. Tengoklah, saat terjaga kelak.

Buat semua pembaca Salah Taip, selamat berpuasa!