31.7.11

Hanya Sepuluh 82

Sepurnama tanpa syaitan.

Hanya kita, gejolak jiwa dan rahmat Tuhan.

Kispen 81: Rindu

"Mak, dah nak berbuka ni." Adila separuh melaung dari dapur. Lengan bajunya masih tersingsing.

Dua-dua Abang suka, bisik hati Adila. Dia tak sabar menunggu senyum suaminya, Hatta, sesudah menjamu selera dengan juadah kegemaran.

Nik Leha tangguhkan kerja-kerja menjahit. Menantunya yang seorang ini rajin benar, bahkan cekatan di dapur. Kalau dia yang memasak, Nik Leha biarkan saja. Adila biasanya enggan dibantu.

Tiba di dapur, Nik Leha tercengang merenung meja makan.

Lima kerusi, lima mangkuk berisi pengat pisang. Di tengah-tengah meja, sepinggan onde-onde yang diapit dua piring, masing-masing berisi sotong sumbat dan popia basah.

"Ala kadar, Mak." Adila tersenyum, seraya menjemput Nik Leha duduk.

Nik Leha masih tercegat. Dia lantas memeluk Adila erat-erat dan menangis semahu-mahunya.

Di matanya masih terbayang tanah kubur anak dan dua cucu perempuannya yang masih merah. Kemalangan itu mengubah segalanya.

30.7.11

Puasa Dah Dekat

Ramadan hampir tiba. Maknanya topik "Nota Ramadan" akan kembali aktif. Nantikan entri-entri bersadur erang lapar dan (barangkali) sehama insaf, bulan puasa nanti.

Kispen 80: Upah

Kamalia merenung wajah Thaqif, anak sulungnya yang tekun menonton Discovery Channel. Kepalanya tersandar pada perut bocah Lokman yang sudah lena.

Bahu Thaqif dicuit.

"Kenapa, Ma?"

"Along kena puasa esok. Boleh?" Kamalia tersenyum. Thaqif beralih dari hadapan televisyen, menghadap ibunya.

Tiada jawapan dari Thaqif.

"Papa pun puasa, tau?" Telunjuk Kamalia tepat membidik Lokman yang sudah mula bergema dengkurnya.

Thaqif masih membisu.

"Okey. Macam ni, Thaqif puasa sehari, Mama bagi hadiah RM2."

Thaqif geleng.

"RM5?"

Geleng.

"RM10?"

Geleng.

"Thaqif nak apa, sayang? Cuba bagitau Mama." Kamalia usap kepala anak sulungnya.

"Nak pahala." Thaqif sengih paling lebar. Kedua-dua telapak tangan ditadah pada Kamalia.

Lokman terjaga.

Kispen 79: Akhir

"Dah?" Reza angkat kening. Ini bukan kali pertama. Rutinnya sebagai pengawal penjara, sama. Serah borang pada banduan untuk diisi. Biar mereka berfikir dalam tenang.

Memilih hidangan terakhir bukan mudah. Seolah menghimpun segala mimpi ke alam nyata.

"Dah." Zali hulur borang. Dia pasti yang dicoretnya tepat. Reza baca semula setiap ruang yang terisi. 

Keesokan harinya, Reza tiba di bilik menunggu. Zali berdiri kaku menghadap dinding. Saat-saat hujung sebelum ke tali gantung.

"Makan cepat." Dulang dari tangan Reza mendarat ke meja di tengah-tengah bilik. Dua lagi pengawal bersenjata di pintu memerhati tanpa kerdip.

Sekeping roti bakar sendirian di tengah-tengah dulang dengan wajah diselaputi mentega kacang.

Zali dekati meja. Roti dicapai, dilipat. Semerta hidangan terakhir lenyap. 

Tiba-tiba wajah Zali merah padam. Nafasnya tersekat-sekat. Tangannya menggenggam leher. Zali rebah dan menggelupur.

"Panggil doktor cepat!" Reza mengarah. Salah seorang pengawal bersenjata berlari keluar. "Kau allergic ya? Kenapa kau minta makan benda ni?"

Zali cuba bersuara, namun hanya bibir menutur makna. Kalau aku kena mati, biar aku sendiri yang ambil nyawa. Bukan kau. Bukan siapa-siapa.

29.7.11

Nota Debat

Saya telah memindahkan semua entri berkenaan debat dan pengucapan awam ke blog Nota Debat. Semoga saya lebih rajin (angan-angan) menambah sedikit demi sedikit sehama pengalaman saya untuk para pembaca.

Jemput singgah!

27.7.11

Kispen 78: Copet

Kamsan meraba kaki lima dengan hujung tongkat. Dia sudah tiba di pinggir jalan. Telinganya menjala segala bunyi. Tiap derum berbeza. 

Mercedes S320, Honda C70, Perodua Alza - semuanya ada.

"Biar saya tolong pakcik, ya."

Kamsan mengesan sentuhan di tangannya. Ada yang mahu membantunya melintas jalan. 

"Terima kasih, nak. Nama siapa?"

"Talib."

Lampu isyarat berbunyi, tanda pejalan kaki boleh melintas. Telinganya menjala segala bunyi. Tiap derap berbeza.

Manolo Blahnik, selipar getah, Vincci - semuanya ada.

"Dah sampai, pakcik."

Kamsan pantas mengangkat tongkat. Wajah Talib dilibas sekuat hati. Dia rebah. Kamsan sebat tangan Talib kiri kanan. 

"Kenapa ni pakcik? Gila ya?" Talib mengerang tahan pedih.

"Aku ni buta, bukan bodoh." Kamsan tusuk hujung tongkatnya ke halkum Talib. "Bagi balik dompet aku, sebelum aku panggil orang kat sini belasah kau."

Hanya Sepuluh 81

Tahniah. Kalian telah buktikan, bahawa empayar muda ini terus bernyawa.

22.7.11

Hanya Sepuluh 80

Bahawa mata pembicara paling petah. Tiap renung punya kias kisah.

Hanya Sepuluh 79

"Pernah mencuri?"

"Tak pernah. Haram."

"Pernah download MP3 percuma?"

"Erm..."

14.7.11

Kispen 77: Motivasi

Wajdi betulkan kotnya. Dewan Merdeka ditenung yakin. Segenap kerusi terisi. Dia semakin masyhur, kini sesi motivasinya perlu dibikin di pusat-pusat konvensyen utama, termasuklah Pusat Dagangan Dunia Putra.

"Assalamualaikum dan selamat malam semua." Wajdi buka gelanggang bicara.

Ucap balas salam bergema. Seribu doa, sejuta wang.

"Malam ini kita semua akan mengembara, kita semua akan mengenal?" Wajdi dekatkan telapak tangan ke telinga, isyarat pinta jawapan paling gempita.

"Kuasa minda!" Dewan Merdeka bergegar. Sekalian pengunjung jawab dalam sorak.

"Kita mahu hidup bahagia dengan keluarga, kita mahu senang dalam kerjaya, kita mahu segalanya." Wajdi turun semula ke pentas utama sesudah berlegar dalam kalangan pengunjung.

"Sebelum saya mula, ada sesiapa yang nak tanya soalan?" Wajdi senyum lebar. Para pembantunya mula berlegar dalam dewan, bawa mikrofon.

Seorang wanita berdiri di barisan paling belakang, paling atas. Wajdi kerut dahi, cuba melihat wajahnya dari pentas.

"Boleh perkenalkan diri?"

"Abang tak kenal saya? Tak nampak ya dari bawah tu? Kenapa abang tinggalkan saya? Tinggalkan anak-anak? Lepas tu nak mengajar orang lain sekarang."

Seisi dewan sunyi.

13.7.11

Hanya Sepuluh 78

"Bang, derma."

Aidid renung pengemis, buka beg. "Ni kawasan aku."

Hanya Sepuluh 77

Makin dicari jalan ke hatimu, makin aku sesat. Sayang, pandulah.

12.7.11

Hanya Sepuluh 76

Lina asah pisau, siang daging. Suaminya dalam lima baldi, segar.

Kispen 76: Racun

Sheikh Nawar mundar-mandir. Tiadalah hari melainkan hari ini yang benar-benar membawa walang dalam segenap sudut hati, malah terserlah pula muram durja.

"Akan mengapakah wajah Sheikh sedemikian? Khabarkan pada hamba, andai tiada usai masyghul di dada, setidak-tidaknya sanggup hamba menadah telinga." ujar Zamin, pengikut Sheikh Nawar paling setia.

"Semakin hari, semakin kurang pengikutku di sini. Apa yang kurang? Kuajar segalanya. Silat, tarekat, malah pahala mudah andai memujaku siang malam." kerut kening Sheikh Nawar makin ketara, ibarat dua ayam bersabung hampir bertemu paruh kedua-duanya.

"Tidakkah tiba pada pengetahuan Sheikh, bahawa Tuanku Sultan sudah bertitah bahawa tiada moleknya bergurukan Sheikh di bumi Melaka ini. Segala sesat, segala bangsat."

"Biadap!" Sheikh Nawar hunus keris ke udara. "Harus kita bertindak, jangan dibiar Tuanku Sultan bermaharajalela."

Malam itu, seluruh pengikut Sheikh Nawar berjejal umpama laut manusia di laman rumahnya. Ada juga yang tak ketahuan, sengaja mengekor dek dijanji orang jamuan percuma. 

Bahkan segenap pengikutnya tiada yang diam melainkan bertempik marah. Marah pada Sultan, marah pada dunia. 

"Dengarkan wahai pengikutku. Hanyasanya yang aku ingin khabarkan, bahawa seisi istana membenci kita semua. Kononnya kita pembawa faham sesat, kononnya aku mahu menjatuhkan Tuanku Sultan. Ini semua dusta!"

Sheikh Nawar. Sheikh Nawar. Sheikh Nawar. Laungan gegak gempita.

Zamin tampil dari dalam rumah dengan dulang berisi bekas air dan pisang rebus.

"Aku mahu kalian menjamu selera dahulu. Kemudian akan kukhabarkan apa yang perlu kita lakukan. Silakan." Telunjuk Sheikh Nawar menuding ke arah jujuk meja di pinggir laman rumah. Segala makanan yang terbayang di minda, terhidang di depan mata.

Namun pengikutnya tidak berganjak. Ajaran Sheikh Nawar, biar dia menjamah hidangan dahulu, barulah yang lain menyusul.

Dia reguk air perlahan-lahan, kemudian terbatuk-batuk. Darah hitam merah pekat terpercik keluar dari rongga mulut.

"Lihat! Lihat! Ini pasti angkara panglima rahsia Tuanku Sultan. Sanggup meracuni pisang rebusku. Ayuh sekalian pengikut, amuk ke istana. Merusuh ke sana!" Sheikh Nawar meramas dada, tersandar pada tiang rumah.

Pengikut Sheikh Nawar berlari keluar. Jamung, parang, tombak, segala dijulang. 

Kecuali seorang anak kecil yang tercegat di laman rumah. Matanya terkandung seribu soal.

"Wahai Sheikh yang hamba puja, kata Sheikh, Tuanku Sultan meracuni pisang rebus. Tapi, tidak pula hamba terlihat Sheikh menjamah pisang itu, melainkan seteguk air."

Zamin terlongo. Sheikh Nawar menusuk renung bengis padanya. Helah bahlul dipercayai sekalian pengikut, kecuali cilik paling pintar.

Hanya Sepuluh 75

Batil tetap batil, walau ada lebih batil, tak menafikan kebatilan.

11.7.11

Kispen 75: Adegan

Ruang tamu mulai penuh. Di tengah-tengahnya jenazah terbujur dalam kafan. Pengunjung mengelilingi jenazah, masing-masing tekun mengalunkan bacaan Yasin. 

Atau mana-mana ayat suci yang masih terlekat di cepu kepala.

Bacaan Yasin semakin nyaring. Isteri si mati menangis sedu-sedan sendiri, sambil ditenangkan teman dan jiran.

"Cut!" Brando angkat tangan. "Bagus. Bagus. Kita wrap dulu hari ni."

Anis lap air mata. Bukannya sukar menangis di depan kamera. Dia sudah mangli, bahkan digelar Ratu Air Mata Baru dalam gelanggang filem.

Pelakon tambahan bersurai. Anis mendekati tunangannya, Azril yang masih terbujur kaku.

"Baby, dah habis la." bahu Azril digoncang. Dia masih terbaring.

"Baby, jangan main-main. Tadi kata nak dinner sama-sama, kan?" Degup jantung Anis seraya deras. "Baby, bangun! Bangun!"

Anis menangis semahu-mahunya. Brando berlari masuk semula ke rumah. Jarinya pantas mengesan nadi di pergelangan tangan dan leher Azril. Telinganya mendarat ke dada Azril.

Azril masih kejur. Brando geleng kepala.

Malam itu, ruang tamu penuh semula. Jenazah sama di tengah-tengah para pengunjung.

Bezanya, alunan Yasin bergema tanpa kamera.

10.7.11

Kispen 74: Ros

"Dapat lagi, Amrul?" Hariz ketawa besar sambil lintas kubikel teman pejabatnya.

Amrul buntu. Entah berapa kali kepala digaru. Setiap kali dia tiba di pejabat, pasti ada sekuntum ros putih di meja pejabatnya. Puas dia bertanya rakan-rakan, tiada yang mengaku.

Sudah hampir dua minggu begitu. Kalau anginnya baik, dia bawa pulang ros ke rumah. Diletakkan dalam pasu kaca berisi air. 

Kalau tidak, Amrul buang saja ros putih ke dalam bakul sampah. 

"Nah, kopi." Hariz kembali ke kubikel Amrul. Gelas merah dengan tulisan Nescafe bertukar tangan. "Kalau kau nak tau siapa yang bagi kau bunga ni, senang. Malam ni kau stay kat ofis. Tunggu sampai dia datang."

Amrul terlongo. Ada juga benarnya. Lagi pun, dia sentiasa membawa pakaian lebih di dalam kereta.

Malam itu, Amrul menahan kantuk dengan menyemak kertas kerja dan mengisi beberapa borang penting. Malam berganti pagi. Tiada tanda sesiapa berkunjung.

Amrul terlena dalam gelita, yang tinggal cuma cahaya dari skrin komputer riba.

Waktu Amrul terjaga, ros putih terlayah tepat di depan mata. Namun kali ini dengan sekeping nota. Sambil menghalau kantuk, Amrul baca nota perlahan-lahan:

TERIMA KASIH. SAYA GEMBIRA SEPANJANG MALAM BERSAMA AWAK. 

9.7.11

Hanya Sepuluh 74

Hari ini sejarah. Doa saya pasrah, agar penghujungnya bukan merah.

7.7.11

Hanya Sepuluh 73

Angkara warna, senegara gila. Tak dihirau titah baginda, kuasa maharajalela.

Hanya Sepuluh 72

Rahsia bukan isi, namun dengan siapa kata dikongsi. Hubaya hubaya.

6.7.11

Kispen 73: Cari

"Kau kena cari Mulya. Ibu suka dia." Ruhani renung wajah anak sulungnya dalam-dalam.

"Itu semua cerita lama, Ibu. Zaman budak-budak. Dah 20 tahun saya tak jumpa dia. Entah-entah dia dah kahwin, dah beranak-pinak." Padli tunduk. Dia sudah habis daya bertegang urat dengan Ruhani.

"Ibu yakin, dia tunggu kau." Ruhani senyum lantas meninggalkan ruang tamu.

Keesokan harinya, Padli bingung. Rumah agamnya tiba-tiba saja diisi puluhan wanita jelita. Rata-rata berperawakan serupa - mata coklat, rambut lurus separas bahu, dan bertahi lalat di dagu.

"Apa semua ni, Ibu?" Padli tanggalkan tali leher. Lelahnya di pejabat masih belum surut.

"Mulya kamu ada kat sini. Cari cepat. Bawa mereka pergi taman belakang rumah. Interview satu-satu."

Padli geleng kepala. Pasti saja wanita-wanita ini datang. Siapa tidak mahu bersuamikan anak Tan Sri Aman dan Puan Sri Ruhani.

Padli tunggu seorang demi seorang tiba di buaian yang diteduhi pohon beringin. Mahu saja dia halau semua namun ibunya masih tercegat di pintu dapur. 

Gebang demi gebang. Padli sudah mual, sehinggalah tiba seorang gadis.

"Awak ingat kita lagi, Li?"

Padli terlopong. Sinar mata gadis ini benar-benar benar. Ini Mulya. Jantung Padli berdetak pantas.

"Li tak percaya, kan? Ini Mulya." ulas senyum Mulya seolah bercahaya.

"Tapi, ini mustahil. Tak mungkin." tangan Padli menggeletar.

"Apa yang mustahil?"

"Tak mungkin kau ada di sini, Mulya. Aku dah tanam kau di sana." telunjuk Padli tegak, menuding ke arah perdu pohon beringin. 

2.7.11

Hanya Sepuluh 71

Elok demam. Biar tubuh rehat, biar lebih acap Tuhan diingat.

1.7.11

Ganti

Versi bahasa Inggeris cerpen ini, The Replacement, telah disiarkan di Selangor Times keluaran ke-30 (24-26 Jun 2011). 

Aida hela nafas paling panjang. Baru dua minggu dia bekerja, ini kali kedua dia dipanggil masuk ke bilik bos. Kali pertama, sewaktu temuduga. Pintu bilik diketuk tiga kali. Rambutnya ditocang kemas.

“Masuk.”

Pintu bilik dibuka. Fakarudin sibuk menaip. Kerut di dahinya seolah berdenyut senada dengan hentaman jemari di papan kekunci.

“Tiya cuti hari ni. Ada emergency. So awak kena ganti dia. Ada interview.”

Kali ini dahi Aida pula berkerut. Setahunya, Tiya pengarang majalah Siasat – majalah terbaru terbitan Karangkraf. Tak ada kena-mengena dengan dia yang baru bertugas di Media Hiburan.

“Interview apa, bos?”

“Kamu ingat kes bunuh di Puchong tahun lepas? Abi Nazrel, dia tembak tiga orang perempuan dalam bas. And he was acquitted. Guna alasan insanity. Lawyer dia kata, dia ada skizofrenia. Dia dengar suara orang lain dalam kepala, katanya suruh dia bunuh perempuan tu semua. Saya dah e-mail semua details. Cepat. Interview ni sepatutnya minggu lepas dah siap.”

Hanya Sepuluh 70

Separuh tahun sudah berlalu. Kamu semakin manusia, atau seperti dahulu?