25.8.10

Telanjang

Saya pernah juga berkira-kira untuk menghidupkan kembali KNB seperti di Wordpress dahulu. Bersama teman-teman meladeni karenah politik semasa.

Bukannya ada orang baca sangat. Lontar komentar sesama sendiri saja.

Tapi, saya mual dan muak. Politik Malaysia, yang itu-itu jugalah. Menyelar para politikus sama saja seperti melaung pada si tuli. Mencebik pada si buta.

Apatah lagi suara-suara dari blog daif ibarat iklan ubat kuat di bucu ruang iklan koran. Mereka jebeh saja. Angry young men, kata YB Sukah Ati sambil membetul-betulkan busjaket.

Biarlah. 

Ramai lagi tukang blog politik yang mahu dan punya nafsu menelanjangkan para politikus. Dan lebih ramai yang gian dan giur membaca ketelanjangan mereka.

Hakikatnya, di dunia bernama Internet - semua orang suka pada telanjang. 

Yang gemar bersenam seorang dalam pekat zulmat, terbelalak dijamu aksi tunggang tungging. Sekali-sekala menyeka keringat berbintik.

Tidak kurang yang memenuhi tuntutan hidup menjaga setiap bucu kain selebriti. Penyanyi mana ditelanjangkan hari ini? Syella Qaseh bercinta dengan siapa? Sudah ada ayah-gula lainkah? Masih darakah?

Sebab itu saya memilih untuk berhenti menelanjangkan politikus. Saya sendiri mahu bertelanjang. Berkongsi kisah dan resah. Mencoret angan dan kenangan. 

Saya mahu memuaskan nafsu dengan indah bahasa yang masih belum selesai saya rakusi.

Dan saya gembira, kerana ramai juga teman-teman yang sudi bertelanjang bersama.

3 ulasan:

  1. abg bonsai - cadangan saya boleh tak tulis etri tentang debat. i mean, ape2 sajja pasal debat . boleh? baik untuk mereka yang baru melangkah kaki ke alam debat :P

    BalasPadam
  2. raymelala: Telah dan akan diselit dari masa ke masa, andai ada kesempatan :)

    BalasPadam
  3. abg bonsai - khidmat anda amat diperlukan. btw, saya suka entri yang latest. penggulungan tuh. :) haha terima kasih!!

    BalasPadam