2.12.12

Kispen 123: Tahanan

Dia depang tangan. Cahaya mentari dibiar menyimbah muka, malah seluruh anggota. Dia tarik nafas dalam-dalam sambil tutup mata.

Dalam hangat penuh tenang itu, andai Tuhan pinta nyawa sekali pun, akan diberi penuh rela.

Dia puas.

"Okey, dah."

Dia kembali digari.

Itu saja di sini. Menghirup bau sebenar dunia, dua minit sehari.

Kembali ke kamar sempit bertirai jeriji.

Kembali menunggu mati.

Kispen 122: Ketawa

Malam ini dia murung, malah hiba bertalu-talu tiba.

Tiada lagi manis senyum di wajah.

"Kenapa?" sang rakan bertanya.

"Perhimpunan Agung UMNO sudah tamat. Tiada lagi bahan jenaka."

Sesaat TV ditonton, senyum di wajah muncul semula.

"Ah, tak mengapa. Ada Kayveas dan teman-teman. Yang ini boleh tahan lucunya."

1.12.12

Kispen 121: Gantung

"Yang ini sesuai sekali, sayang. Kupilih khas untuk hari ini. E Marinella, jenama tali leher kegemaranmu."

Dia usap wajah kejur sang suami.

Yang tergantung di beranda.

Hanya Sepuluh 137

1881.

Jauh Tuanku pergi memuja umur.

Dirgahayu pelindung agama.

Daulat!


30.11.12

Kispen 120: Pesan

Dia masuk ke perut kereta.

Kunci ditikam. Pulas.

Enjin kereta berderam.

Selepas itu barulah dia terlihat sekeping nota terselit di pengelap cermin kereta.

Ini kau, dari masa depan. Jangan hidupkan enjin kereta. 

Hanya Sepuluh 136

Andai khilaf tuan mahu dimaaf, apa guna undi di tangan?

Hanya Sepuluh 135

Palestin kini negara.

Ini tatih penuh makna.

Demi kembara merdeka.

Anak Kedua Saya


Ya. Karya saya yang kedua dengan Buku Fixi. Judulnya Cerpen. Ada 16 cerita pendek terkumpul di dalamnya. Maaflah, ini saja yang sempat saya conteng untuk teman-teman bagi tahun 2012. Novel penuh saya masih tersangkut. Berbelit-belit benar plotnya. Harus diluruskan dahulu. Kalau bersimpul pun, perlu disemak agar tidak terlalu ketat.

Macam mana nak dapatkan Cerpen?

Kunjungi laman web, laman Facebook, atau tegur saja Buku Fixi di Twitter.

Terima kasih. Jemput beli dan baca ya.

Terima kasih.

29.11.12

Hanya Sepuluh 134

Syaitan dikenali, dipilih Tuhan memimpin manusia.

Selamat datang ke Malaysia.

28.11.12

Kispen 119: Korban

Pesawat melaju. Muncung menjunam menuju maut. Perut pesawat kosong, melainkan Pak Menteri dan pengawal peribadi.

"Hanya ada satu payung terjun, Pak Menteri. Dakap aku. Kita terjun bersama."

"Tidak. Kelak kita menjunam terlalu pantas."

"Jadi?"

"Kan kukhabar pada negara, kau wira paling setia."

Pengawal peribadi ditendang keluar pesawat.