2.8.11

Nota Ramadan #36

Saya cuba menghindar rasa cemburu beberapa jam sebelum berbuka semalam, tapi gagal. Hati saya diserang iri bertalu-talu.

Cemburu dengan kecekapan teman saya, Azmi, memasak.

Semalam perut saya diisi galak dengan gulai ayam dan ikan goreng ala-apa-saya-tak-tahu. Sekali tambah, berkali-kali kenyang.

Dia cekatan benar di dapur. Dua tiga kali juga perut saya meronta dan merusuh setiap kali aroma bugar masakannya terbang ke ruang tamu.

Terima kasih teman.

1.8.11

Nota Ramadan #35

Terlepas sahur.

Nota Ramadan #34

Ini entri Nota Ramadan pertama untuk 1432 Hijri. Semoga kali ini Ramadan mengajar kita semua tentang kerendahan hati.

Saya tidak setuju, malah kurang selesa apabila ramai yang cuba melabel Ramadan sebagai bulan 'berlagak alim', yakni Muslim tiba-tiba insaf dan rajin beribadah.

Pada hemat saya, biarlah kita mula merapatkan diri dengan Sang Pencipta walau apa cara sekali pun. Lewat atau cepat, bermusim atau tekun - tidak perlulah pantas kita menuding jari.

Malam terlalu lewat, sehingga merangkak ke awal pagi. 

Menu sahur saya masih kosong. Tengoklah, saat terjaga kelak.

Buat semua pembaca Salah Taip, selamat berpuasa!

31.7.11

Hanya Sepuluh 82

Sepurnama tanpa syaitan.

Hanya kita, gejolak jiwa dan rahmat Tuhan.

Kispen 81: Rindu

"Mak, dah nak berbuka ni." Adila separuh melaung dari dapur. Lengan bajunya masih tersingsing.

Dua-dua Abang suka, bisik hati Adila. Dia tak sabar menunggu senyum suaminya, Hatta, sesudah menjamu selera dengan juadah kegemaran.

Nik Leha tangguhkan kerja-kerja menjahit. Menantunya yang seorang ini rajin benar, bahkan cekatan di dapur. Kalau dia yang memasak, Nik Leha biarkan saja. Adila biasanya enggan dibantu.

Tiba di dapur, Nik Leha tercengang merenung meja makan.

Lima kerusi, lima mangkuk berisi pengat pisang. Di tengah-tengah meja, sepinggan onde-onde yang diapit dua piring, masing-masing berisi sotong sumbat dan popia basah.

"Ala kadar, Mak." Adila tersenyum, seraya menjemput Nik Leha duduk.

Nik Leha masih tercegat. Dia lantas memeluk Adila erat-erat dan menangis semahu-mahunya.

Di matanya masih terbayang tanah kubur anak dan dua cucu perempuannya yang masih merah. Kemalangan itu mengubah segalanya.

30.7.11

Puasa Dah Dekat

Ramadan hampir tiba. Maknanya topik "Nota Ramadan" akan kembali aktif. Nantikan entri-entri bersadur erang lapar dan (barangkali) sehama insaf, bulan puasa nanti.

Kispen 80: Upah

Kamalia merenung wajah Thaqif, anak sulungnya yang tekun menonton Discovery Channel. Kepalanya tersandar pada perut bocah Lokman yang sudah lena.

Bahu Thaqif dicuit.

"Kenapa, Ma?"

"Along kena puasa esok. Boleh?" Kamalia tersenyum. Thaqif beralih dari hadapan televisyen, menghadap ibunya.

Tiada jawapan dari Thaqif.

"Papa pun puasa, tau?" Telunjuk Kamalia tepat membidik Lokman yang sudah mula bergema dengkurnya.

Thaqif masih membisu.

"Okey. Macam ni, Thaqif puasa sehari, Mama bagi hadiah RM2."

Thaqif geleng.

"RM5?"

Geleng.

"RM10?"

Geleng.

"Thaqif nak apa, sayang? Cuba bagitau Mama." Kamalia usap kepala anak sulungnya.

"Nak pahala." Thaqif sengih paling lebar. Kedua-dua telapak tangan ditadah pada Kamalia.

Lokman terjaga.

Kispen 79: Akhir

"Dah?" Reza angkat kening. Ini bukan kali pertama. Rutinnya sebagai pengawal penjara, sama. Serah borang pada banduan untuk diisi. Biar mereka berfikir dalam tenang.

Memilih hidangan terakhir bukan mudah. Seolah menghimpun segala mimpi ke alam nyata.

"Dah." Zali hulur borang. Dia pasti yang dicoretnya tepat. Reza baca semula setiap ruang yang terisi. 

Keesokan harinya, Reza tiba di bilik menunggu. Zali berdiri kaku menghadap dinding. Saat-saat hujung sebelum ke tali gantung.

"Makan cepat." Dulang dari tangan Reza mendarat ke meja di tengah-tengah bilik. Dua lagi pengawal bersenjata di pintu memerhati tanpa kerdip.

Sekeping roti bakar sendirian di tengah-tengah dulang dengan wajah diselaputi mentega kacang.

Zali dekati meja. Roti dicapai, dilipat. Semerta hidangan terakhir lenyap. 

Tiba-tiba wajah Zali merah padam. Nafasnya tersekat-sekat. Tangannya menggenggam leher. Zali rebah dan menggelupur.

"Panggil doktor cepat!" Reza mengarah. Salah seorang pengawal bersenjata berlari keluar. "Kau allergic ya? Kenapa kau minta makan benda ni?"

Zali cuba bersuara, namun hanya bibir menutur makna. Kalau aku kena mati, biar aku sendiri yang ambil nyawa. Bukan kau. Bukan siapa-siapa.

29.7.11

Nota Debat

Saya telah memindahkan semua entri berkenaan debat dan pengucapan awam ke blog Nota Debat. Semoga saya lebih rajin (angan-angan) menambah sedikit demi sedikit sehama pengalaman saya untuk para pembaca.

Jemput singgah!

27.7.11

Kispen 78: Copet

Kamsan meraba kaki lima dengan hujung tongkat. Dia sudah tiba di pinggir jalan. Telinganya menjala segala bunyi. Tiap derum berbeza. 

Mercedes S320, Honda C70, Perodua Alza - semuanya ada.

"Biar saya tolong pakcik, ya."

Kamsan mengesan sentuhan di tangannya. Ada yang mahu membantunya melintas jalan. 

"Terima kasih, nak. Nama siapa?"

"Talib."

Lampu isyarat berbunyi, tanda pejalan kaki boleh melintas. Telinganya menjala segala bunyi. Tiap derap berbeza.

Manolo Blahnik, selipar getah, Vincci - semuanya ada.

"Dah sampai, pakcik."

Kamsan pantas mengangkat tongkat. Wajah Talib dilibas sekuat hati. Dia rebah. Kamsan sebat tangan Talib kiri kanan. 

"Kenapa ni pakcik? Gila ya?" Talib mengerang tahan pedih.

"Aku ni buta, bukan bodoh." Kamsan tusuk hujung tongkatnya ke halkum Talib. "Bagi balik dompet aku, sebelum aku panggil orang kat sini belasah kau."