30.11.12

Kispen 120: Pesan

Dia masuk ke perut kereta.

Kunci ditikam. Pulas.

Enjin kereta berderam.

Selepas itu barulah dia terlihat sekeping nota terselit di pengelap cermin kereta.

Ini kau, dari masa depan. Jangan hidupkan enjin kereta. 

Hanya Sepuluh 136

Andai khilaf tuan mahu dimaaf, apa guna undi di tangan?

Hanya Sepuluh 135

Palestin kini negara.

Ini tatih penuh makna.

Demi kembara merdeka.

Anak Kedua Saya


Ya. Karya saya yang kedua dengan Buku Fixi. Judulnya Cerpen. Ada 16 cerita pendek terkumpul di dalamnya. Maaflah, ini saja yang sempat saya conteng untuk teman-teman bagi tahun 2012. Novel penuh saya masih tersangkut. Berbelit-belit benar plotnya. Harus diluruskan dahulu. Kalau bersimpul pun, perlu disemak agar tidak terlalu ketat.

Macam mana nak dapatkan Cerpen?

Kunjungi laman web, laman Facebook, atau tegur saja Buku Fixi di Twitter.

Terima kasih. Jemput beli dan baca ya.

Terima kasih.

29.11.12

Hanya Sepuluh 134

Syaitan dikenali, dipilih Tuhan memimpin manusia.

Selamat datang ke Malaysia.

28.11.12

Kispen 119: Korban

Pesawat melaju. Muncung menjunam menuju maut. Perut pesawat kosong, melainkan Pak Menteri dan pengawal peribadi.

"Hanya ada satu payung terjun, Pak Menteri. Dakap aku. Kita terjun bersama."

"Tidak. Kelak kita menjunam terlalu pantas."

"Jadi?"

"Kan kukhabar pada negara, kau wira paling setia."

Pengawal peribadi ditendang keluar pesawat.

27.11.12

Kispen 118: Renung

Wajah kekasihnya mustahil dilupa. Mata bundar, alis tipis, hidung pesek kemerahan. Cuma hari ini rambutnya berbeza. Lurus.

Dia renung lagi dan tersenyum. 

Ah, kenapa pula sang manis tak kelihatan?

Rupanya ada rerama melintas lensa teropong.

Hanya Sepuluh 133

Minggu ini yang paling Melayu bertemu.

Eh, kedua.

Pertama: Perkasa.

Hanya Sepuluh 132

Andai sering kecewa, hati kebal duka.

Tiada dibeza hiba suka.

Hanya Sepuluh 131

Maafkan kami, Gaza.

Sos lada hitam itu memadam hari hitammu.