7.8.12

Nota Ramadan #49

Seperti biasa, saya lalai mengemas kini blog. Kadangkala saya simpati dengan para pembaca yang hampa setiap kali tiba di Salah Taip tanpa entri baru.

Minggu lalu saya berbuka puasa di McDonald's dan terlihat gelagat pelanggan yang sungguh mengharukan.

Seorang ibu dengan dua anak kecil beratur membeli makanan. Seorang merengek di kaunter tentang mainan pilihan Happy Meal.

Seorang lagi meragam di dukungan.

Usai pekerja memenuhi pesanan, dulang si ibu sarat. 

Dengan pantas, seorang wanita Eurasia (barangkali pelancong kerana dia menggalas beg Deuter nan agam) mencuit bahunya dan menawarkan diri untuk mendukung anak si ibu.

Mereka berempat berjalan bersama-sama ke meja makan.

Bukti hemah budi dan peduli tak kenal sempadan diri. 

Manis. Sungguh manis.

27.7.12

Kispen 108: Tasik

"Eh, peliknya."

"Apa yang pelik?"

Langkah Nana dan Megan terhenti. Sambil tercungap-cungap, mereka kesat dahi dan leher lencun keringat. Jelingan pengunjung ke arah baju T dan seluar trek mereka yang mencengkam tubuh langsung tak dipedulikan.

"Cuba kau tengok kat hujung sana," Nana tuding jari pada seorang tua sekitar 70-an yang duduk tegak di bangku kayu. Dia merenung muka tasik. Kaku.

"Kenapa? Looks normal to me," Megan sudah bersedia sambung larian. Baru dua kali mereka mengelilingi trek larian tasik itu.

"Kau ni memang tak alert. Kita jogging kat sini tiap-tiap minggu. Takkan kau tak perasan, pakcik tu duduk dengan wife dia. Pegang tangan. Lepak sampai pukul 9:00, lebih kurang."

"Oh, I know. My mom pernah cerita, diorang memang duduk kat situ since forever. Semua orang kat sini macam dah tau. Kalau hari Ahad, no one even dare to sit there."

"Tapi mana wife dia?"

"Beli air kot. Whatever. Jom. One more lap. You have a date lepas ni. Jangan lupa." Megan kuak lengan. Biar otot teregang sebelum larian disambung.

Dua sahabat kembali berlari-lari anak. Sebaik sahaja melintasi bangku lelaki tua itu, Nana memperlahankan langkah.

"Sorang je hari ni, pakcik? Makcik mana?" Nana pamer senyuman paling manis. Dia sedar Megan sedang mengeluh di belakang.

Lelaki tua itu terbatuk kecil. Tongkat yang disandar di bangku dicapai.

"Tu," hujung tongkat dituding ke arah tasik.

Nota Ramadan #48

Bulan puasa juga sebenarnya cerita tentang disiplin dan kekuatan. Kadangkala kita terlepas pandang sebab sudah terbiasa. 

Misalnya beberapa minit sebelum berbuka. Bukan mudah untuk merenung juadah rencam warna dan rasa sambil menahan diri dari menjamahnya.

Tapi kita mampu.

Kerana kita sudah begitu hampir ke garis penamat. Selang dua tiga minit, tamatlah sehari lagi dalam Ramadan. 

Sayang sekali, dalam kehidupan kita terlupa untuk bersikap begitu. Seringkali saya (dan barangkali kalian juga) mengibar bendera putih saat cabaran hidup sudah hampir benar diselesaikan. Kerana tergoda, tersungkur, keliru, bosan, lesu, atau apa saja.

Mungkin minit-minit terakhir sebelum berbuka ini akan terus mengajar kita sesuatu.

26.7.12

Hanya Sepuluh 116

"Aku yang kentut, kenapa kau pula keluar saf?"

"Busuk sangat."

Nota Ramadan #47

Ironinya, makanan yang paling tepu mengisi kotak fikir kita pada bulan puasa. Bukankah lebih molek yang sebaliknya? Gila.

Yang gila ini, termasuk sayalah.

Aduh.

25.7.12

Hanya Sepuluh 115

Anak menerima anugerah ternama.

Ayah menonton di televisyen, dari penjara.

Kispen 107: Kejar

"Ramzi, kau dah kena kepung. Keluar sekarang!" Inspektor Alena bersedia di muka pintu dengan sepucuk pistol.

Sunyi.

Inspektor Alena angguk kecil. Salah seorang anggotanya yang berjaket denim mara. Pintu ditendang.

Imej pertama singgah di anak mata Inspektor Alena - mayat Ramzi terkujur di ruang tamu. Mulutnya berbusa.

Dua anggota siasat segenap kamar dan ruang di apartmen. Petugas forensik mula berkampung. Ada yang mahu merapati gemulah Ramzi namun dihalang Inspektor Alena.

"Kamu periksa tempat lain dulu. Cari bukti kalau-kalau dia ada simpan mayat kat sini."

Inspektor Alena amati mayat di hadapannya. Ada tatu di dada Ramzi namun terhalang oleh kemeja yang menyarung tubuh. Cuma beberapa huruf kelihatan. 

Sepasang sarung tangan dicopet dari beg kelengkapan forensik yang ditinggalkan di lantai. Satu-persatu butang kemeja Ramzi ditanggalkan. Jujuk kata membentuk rangkap pesan tercacah di dada.

Aku cuma hidup sesudah melihat mati
Apatah lagi diburu sang bidadari
Sejak kau mengejar aku berlari
Bukan gentar namun penuh berahi
Kini kupersembahkan yang abadi
Bahawa nyawaku tiada erti
Kecuali kau terus memburu diri
Alena, kau kekal di hati

Pandangan Inspektor Alena perlahan-lahan kabur sebelum dia terlentang.


Nota Ramadan #46

Ada satu lagi perkara yang jadi teladan ketika Ramadan. Kita semua merindui nikmat segelas air kosong. Ya, keindahan yang tak mampu kita kecapi pada bulan lain.

Segelas air kosong pada bulan lain dianggap terlalu biasa malah sering saja tak disedari. Tapi oleng tari jernih di muka gelas pada bulan puasa, berbeza sekali.

Ah, abaikan saja entri ini. Saya sudah mabuk air kosong. Entah berapa gelas sudah direguk sebelum menaip.

23.7.12

Kispen 106: Berus

"Awak dah check semua?"

"Dah,"

"Sure?"

"Ish, abang ni. Semua saya dah masukkan dalam beg. Jom, kita dah lewat." Syara cuit bahu suami. Dia tinggalkan meja makan dan terus ke ruang tamu. Beg tangan di penjuru meja kopi disambar.

Akram habiskan sisa kopi. Ada setitis tertinggal di birai cawan. Akram capai napkin di sisinya. Cawan dikesat sungguh-sungguh sebelum dibawa ke sinki.

"Abang, cepatlah. Kawan saya dah call. Kata nak konvoi."

"Ya, ya. Saya datang."

Sambil memandu, Akram dan Syara tidak banyak bergebang. Mereka cuma biarkan penyampai radio berbicara. 

Sepanjang perjalanan, dahi Akram berkerut. Matanya terpaku pada pelekat di cermin kereta di hadapannya. Kereta milik teman Syara yang sudah bersetuju untuk bersama-sama mereka ke Cameron Highland.

Pelekat itu senget. Kalau diikut hati, mahu saja dia paksa teman Syara berhenti di bahu jalan dan betulkan pelekat sebelum tiba ke destinasi.

Tiba di Cameron Highlands, mereka daftar masuk di rumah percutian. Akram langsung tak mempedulikan Syara yang masih asyik bersembang dengan teman di lobi. Dia ambil beg pakaian dan segera ke kamar.

Akram geledah beg pakaian di kamar. Beg alatan mandi ditemukan. Zip ditarik. 

"Aku dah agak!" Jerkah Akram dihambur pada ranjang dan dinding.

Berus gigi kegemarannya tiada. Yang ada cuma berus gigi baru yang masih berbungkus. Mana mungkin dia hidup dengan kuman menari-nari di segenap celah gigi?

Akram kembali ke lobi.

"Mana kunci kereta?"

"Nah. Abang nak pergi mana?"

"Ada barang tertinggal."

Hampir lima minit Akram berdiri di ruang parkir sebelum dia hela nafas dalam-dalam dan buat keputusan.

Enjin kereta dihidupkan. Akram memecut ke Kuala Lumpur. Imej berus giginya yang tegak berdiri di dalam gelas jernih dengan penutup plastik melindungi bulu berus terbayang di mata.



Hanya Sepuluh 114

Kuih mahal dibeli juga, berbungkus akhbar tercetak slogan:

Rakyat didahulukan.