23.8.10

Penjelajah Internet Belum Mati

Statistik jenis pelayar laman sesawang yang digunakan oleh pembaca Salah Taip (ihsan Statcounter):

Musang Api 35.4%
Krom 33.6%
Penjelajah Internet 23.4%
Lain-lain 7.6%

Saya sudah lupa kali terakhir saya menggunakan Penjelajah Internet. Dah lama jadi orang Krom.

Nota Ramadan #12

Enam empat puluh lima petang.

Bunyi hon kereta bertubi-tubi kedengaran dari luar rumah. Saya jenguk keluar. Tok Ayah keluar dari perut Nissan lama.

Aneh. Tubuhnya lencun.

Sambil termengah-mengah, Tok Ayah mengadu. Pohon medang di hadapan rumahnya tumbang. Menimpa dahan rambutan dan manggis. Laluan keretanya tertutup.

Saya dan abah bergegas ke rumah Tok Ayah. Segalanya bercempera. Wayar bekalan elektrik putus lantas melilit dahan rambutan yang bertindan dengan dahan manggis.

Daun berserak. Buah rambutan menjajah tanah basah, bertaburan merah. Di celah-celahnya, hitam manis manggis. 

Ayah Su tiba dengan gergaji rantai kecil. Dahan medang yang tak mampu dipikul - dikerat, kemudian diusung sama-sama.  Terjirik juga buah rambutan yang bergelimpangan.

Terlalu banyak. Tak mampu dielak.

Tujuh sembilan minit malam.

Aroma nasi ayam menusuk nafsu. Sambil menggenyeh tangan yang masih cemar, saya teringat rumah Tok Ayah yang putus bekalan elektrik.

Berkali-kali diajak berbuka bersama-sama di rumah, tapi dia enggan. Katanya gelap sebentar saja. Nanti datanglah orang elektrik membaiki.

Nota Ramadan #11

Sudah dua hari bersahur dengan pisang. Ampuh juga. Perut terasa penuh hingga waktu berbuka. Patutlah pemain tenis ramai yang makan pisang waktu interval. Banyak kalori.

Kali Ini

Dua empat puluh lapan pagi.

Terima kasih. Baru kutahu. Maafkan aku kerana menyimpan harap.

22.8.10

Nota Ramadan #10

Semalam, kira-kira lapan minit sebelum berbuka, saya sempat bergebang dengan seorang teman di Yahoo Messenger. Ah, tidak tepat. Bukan teman. Dia adik saya. Kadangkala kakak. Ibu tiri pun ada. 

Aku tahu kau sedang baca entri ini. Haha.

Katanya, dia berbuka seorang diri. Baru pulang dari kerja. Rakan serumah tiada. Menu: mi segera tom yam, dengan pelakon tambahan cili potong dan telur.

Seraya saya terkenang saat pertama kali berbuka seorang diri. Janggal juga rasanya. Kebetulan, ketika itu saya juga menghadap mi segera. Tapi yang betul-betul segeralah. Cap rendam. Mana ada cili potong.

Menunggu azan bersipongang tanpa teman sememangnya pengalaman luar biasa, tidak kira sekerap mana kita menghadapinya.

Daerah akal tiba-tiba meluas, menerobos sudut-sudut kecil yang selalunya kita lupakan saat hilai tawa beramai-ramai di hadapan juadah seribu rasa.

Saat bersendiri, tanpa sedar kita menguis hidangan (mi segera atau apa sajalah) sambil memutar semula memori paling manis saat berbuka.

Senyum dalam hati. Senyum terbit tanpa sesiapa di sisi. 

Betul juga kata Nietzsche, "Perhaps I know best why it is man alone who laughs; he alone suffers so deeply that he had to invent laughter."

Hening sekeliling membuat kita menghisab diri. Kembali sedar bahawa kita dalam Ramadan. Denyut lapar lebih bererti. Hanyut sedar terus ke hati.

Yang masih belum pernah mendiami daerah ini, silalah berkunjung. Putuskan seketika hubungan dengan jaringan sosial. Matikanlah telefon bimbit seketika.

Hanya anda dan hidangan berbuka. 

21.8.10

Kispen 4: Lari

Entah berapa lama Zani terbaring di situ.

Sudah berkali-kali dia cuba bingkas tetapi tubuhnya seolah lumpuh. Kaki dan tangan tergawang, tetapi tubuh tidak mahu menurut. Dicuba berbalik tetapi tubuh tidak mahu juga. Berat.

Dia menjerit namun segenap penjuru langit mentertawakannya semula. Mengejek-ejek. Sekali laung, dua kali laungnya dipulangkan. Langit ketawa lagi. Kali ini lebih nyaring, berbaur bising entah apa. 

Hamis. Hanyir. Hapak. Haring.

Ah, celaka. Bau apa pula? Dia cuba menutup hidung peseknya tetapi entah kenapa tangan tak sampai. Semakin lama bau semakin sinis dan menerobos hingga ke tenggorokan terus ke paru-paru.

Serta-merta Zani dijajah loya dan muntah di situ juga. Cairan putih membuak dari pinggir bibir mengalir rusuh di seluruh pipi. Setitis dua terus ke lubang telinga.

Ahhh!

Dalam payah dia mengangkat kepala untuk melihat kakinya. Semut api. Banyak sekali. Bahkan sudah tidak kelihatan lagi jari-jari kakinya. Semut api sudah berkampung dan berpesta.

Nanti dulu. Ini bukan semut api. Kepalanya terlalu besar. Ahhh! Di hujung kepala itu tersembul dua taring, persis milik babi hutan. Bukan. Bukan. Ahhh! Ini bukan semut api.

Ribuan tentera merah merayap ke seluruh tubuhnya. Suara Zani sudah hilang. Dia bertempik sunyi sambil memejam mata rapat-rapat. Gigi dikacip kuat-kuat. Air mata makin deras, berbaur dengan muntah yang mula berkeruping di pipi.

Ahhh! 

Betis, lutut, paha, antara paha, perut - semuanya. Setiap inci isi Zani dihiris taring semut-babi hutan itu. Kulitnya lelas. Darah sudah bermanik. Tangan dan kaki hanya tergawang. Langit ketawa lagi. Kali ini lebih nyaring, berbaur bising entah apa.

Ekor mata Zani sempat menangkap sesuatu sedang berlari pantas ke arahnya. Siapa itu? Apa itu? Semakin dekat. Ah, bukan berlari. Tapi merang--

Ahhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhh!

Merah di mana-mana. Zani hanya ingat ekor bersisik yang melibas-libas. Itu sahaja. Sedar-sedar tangan kanannya sudah tiada. Daging berjurai. Tulang berjerojol. Merah berjejeh. 

Tolong! Tolong! Suara Zani sudah hilang. Tolong!

Entah berapa lama Zani terbaring di situ.

Cadar sudah lencun. Di hujung katil bergumpal kain pelekat. Peluh merenik diseka. Zani hela nafas panjang-panjang. Hembus. 

Zaniah sudah tiada di sisi. Pintu terkuak lebar. Barangkali dia pun sudah bertemu dengan semut-babi hutan itu. 

Tidak jauh dari pondok Zani, Zaniah berkaki ayam berlari deras. Dia masih ingat di mana pohon itu. Air mata berjujuh sederas derapnya. Langit tidak ketawa. Hitam. Hujan menggila.

Nota Ramadan #9

Sekarang kita semua sudah sampai ke fasa "tak sahur pun tak apa". Biasanya mata makin berat. Setiap kali tubuh mahu bingkas, hati akan memujuk halus agar menyambung lena.

Mujur perut saya tidak (baca: belum) tergoda. Kantuk ditepis. 

Sekeping roti dan segelas Milo panas. Alhamdulillah.

Bukankah sahur yang membezakan antara puasa kita dan puasa ahli kitab?

20.8.10

Kispen 3: Api

Di negara itu, ramai sekali yang gemar bermain api. Kebakaran sana-sini. Tiap-tiap bulan Bomba Negara rekrut ahli baru.

Buat temuduga seluruh negara. Asal sihat tubuh badan, celik huruf - layak untuk ujian. Mesti tahan panas, tahan api.

Memang ramai lulus sebab di negara itu rakyat diajar main api sejak kecil lagi. Di sekolah, masing-masing dibekalkan sekotak mancis. Hari-hari mesti bawa. 

Terpulang pada sekolah juga. Ada yang guna Cap Lada Kuning, ada yang pakai Cap Cengkerik. Kalau sekolah yang berwang, diberi pada pelajar pemetik api. Tahan lama. Kalau terkena air sedikit pun tak apa.

Masuk universiti pun ada diajar cara-cara main api. Lebih majulah berbanding sekolah. Bukannya gores dan sua sahaja. Banyak lagi cara lain untuk main api.

Tapi, dalam banyak-banyak pemetik api dan mancis, ada dua yang selalu saja jadi rebutan pemimpin negara itu.

Yang ini, kata Yang Berhormat Sukah Ati, apinya tidak terlihat. Tahu-tahu saja sudah hangus.

Di dada akhbar keesokan hari, terpampanglah jenama pemetik api dan mancis tersebut. Cap Agama dan Cap Kaum.

Senyum Jumaat

Banyak juga blog kawan-kawan (dan orang asing) yang mencuit hati. Terima kasih kerana beri modal ketawa.

Kadangkala kebodohan pun melucukan, tahu?

Kispen 2: Monolog Yang Satu Lagi

Baju dan seluar sudah terlipat rapi. Beg itu bagai merayu-rayu agar diangkat dan dibawa keluar. Tolonglah, ayuh kita berangkat! Tempat kita bukan di sini. Kau pun tahu, bukan? 

Aku tahu, tapi kenapa aku masih mundar-mandir dalam kamar ini? Baju dan seluar sudah terlipat rapi. Apa tunggu lagi? Tidak. Tidak. Aku tidak boleh pergi begitu saja. Sama sajalah aku keluar berbogel sambil mengibar tuala putih. 

Sampai ke anak cucu pun kau akan mentertawakanku.

Termasuk anak dan cucuku sekali.

Ah, sama saja. Anakku. Anakmu.

Aku perlu meludahi wajahmu. Ya, ludah haring bergumpal biar melekat pada batang hidung. Melekat pada hati. Biar diingat sampat mati. Ayuh!

Tapi kenapa aku masih mundar-mandir dalam kamar ini? 

Keadilan katamu. Bangsat. Sudah mahu jadi Tuhan ya? Kau fikir klinik agammu itu dunia dan sekalian jururawat genit, lampu halogen, deretan pisau kecil; makhluk ciptaanmu? 

Ya, biar kupulangkan pemberianmu. Biar aku pergi sebagaimana ditulis Tuhan. Bukan kau. Aku tidak mahu berhutang denganmu. Aku tidak mahu mengemis walau sesen darimu. Aku sudah puas mengemis. Aku sudah puas dikasihani.

Mengapa tidak kau hiasi dinding kamar ini dengan tombak dan tekpi? Tak mengapalah. Yang ini tajam. Hujungnya lancip.

Tangan sudah disilang, aku sudah sedia. Aduh, mengapa tiba-tiba wajahnya bergentayangan? Aku tahu, aku masih belum puas menatap anggunmu. Kasihmu terlalu syurga. Tuhan, sungguh kau hantar cinta walau di mana aku berada.

Biarlah walau bertelanjang sambil mengibar tuala putih.

Kucapai beg yang sudah berhenti merayu. Pintu terkuak perlahan. Kau masih menunggu rupa-rupanya. Kaget. Kaku. Perempuan tua itu entah apa yang diraung sambil menggelupur.

Biarkanlah mereka. Aku masih belum puas menatap peromanmu, Chombi. Aku masih belum puas.