12.7.13

Nota Ramadan #54

Hari ini saya gagal menjejak masa.

Saat ralit menyunting cerpen-cerpen untuk kumpulan cerpen FOBIA terbitan Roman nanti, saya dipanggil oleh Abah.

"Long, jom solat Jumaat."

Saya terlongo. Jadi saya soal Abah semula.

"Hari ni hari Jumaat?"

Abah cuma senyum dan berlalu. Saya keliru sesaat dan menyemak semula kalendar di komputer riba. Memang betul. Hari ini hari Jumaat.

Saya rasa akal saya cuba menafi kerana saya cuma ada baki sehari saja lagi berpuasa di kampung. Esok sudah pulang semula ke Shah Alam. 

Aduh.

10.7.13

Nota Ramadan #53

Ramadan saya tahun ini bermula dengan sahur penuh rusuh. Saya dan rakan serumah bersungguh-sungguh mahu sahur bersama. Kami bangun sekitar jam lima pagi. Kononnya mahu hadap sepinggan nasi di luar.

Anggaran masa kami meleset. Kalau di rumah, 30 minit sebelum imsak masih mampu berenak-enak dengan kuap dan geliat kerana hidangan di dapur sudah tersedia. 

Kalau di kedai, bergulat dengan pengunjung lain demi mengisi perut.

Nyata kami terlewat. Tiba di kedai makan, yang ada cuma nasi putih dan sisa sambal nasi lemak. Penyedap hati - ikan bilis dan kacang goreng. 

Kami telan juga. Ini rezeki Yang Maha Esa demi menghurung hari pertama puasa.

Selesai sahur, kenyangnya serupa dengan makan bermewah-mewah. Serupa. Barangkali yang dicari sang perut, berkat juadah sehingga azan bergema mengisi merah senja. Bukan timbun hidangan yang dijolok ke dalam tembolok penuh gelojoh.

Paling bahagia, berbuka puasa bersama keluarga. Saya ambil peluang untuk pulang dan berehat di Kelantan sesudah bertungkus-lumus dengan majlis pelancaran rumah penerbitan baru saya, ROMAN.

Mama pilih gulai kawah, ikan tenggiri masak merah, dan kerabu mangga jadi menu berbuka. Kesemuanya kami beli di Yati Ayam Percik, singgahan sesudah saya dijemput di lapangan terbang.

Sambil berkongsi tawa dan cerita, suapan saya terhenti seketika dengan luahan hati Mama.

"Tahun ni rasa sunyilah terawih. Tok Penghulu dah tak ada."

Saya terkesima. Penghulu kampung saya rupa-rupanya sudah meninggal dunia. Saban tahun kami patuh di dalam saf menuruti setiap kilas takbirnya selaku imam.

Solat terawih dan solat sunat hari raya.

Iftar saya tidak rusuh, malah penuh tenang. Bersama Mama dan Abah, kami singkap kembali kisah dengan Tok Penghulu. Banyak juga yang saya masih ingat.

Apa pun, selamat berpuasa untuk semua pembaca. Nota Ramadan kembali lagi!