29.9.12

Hanya Sepuluh 128

Kenapa si gila senyum?

Dia lihat syukur hilang di matamu.

Hanya Sepuluh 127

Sekalian anaknya terpamer di rak.

Kelak ke bandar, dibeli lagi.

Hanya Sepuluh 126

Dalam sujud, nyamuk ditampar.

Sambil menyembah Dia aku jadi pembunuh.

23.9.12

Hanya Sepuluh 125

Nota mati ditemukan sang kekasih:

Ambil tali ini. Susuli aku.

Hanya Sepuluh 124

Dia hampa.

Di pentas itu dia yang ditertawa.

Bukan jenakanya.

22.9.12

Kispen 113: Basikal

Dia mengalah. Tangis anak saban hari runtun hati jadi hiba tanpa henti. Walau dengan upah paling sedikit, dia simpan andai berbaki.

Cukup wang dalam uncang, dia ke kedai besi buruk. Dia cari dan gali sendiri walau tauke berkali-kali halau herdik.

Dia cuma mahu cari basikal untuk Arif, anak tunggalnya.

Akhirnya ditemukan rangka tanpa pemegang dan roda.

Lapan ringgit, kata tauke. Baki dua ringgit disimpan dalam kocek.

Minggu depan dia ke kedai sama. Dia jumpa pemegang. Tak mengapalah lebar sedikit. Kelak boleh dikimpal. Minta tolong teman di tapak bina.

Pulang dari kerja, dia temukan timbun roda di hujung tapak bina. Diambil sepasang penuh ria. Kelak basikal tersedia, Arif pasti gembira.

Saat melintas jalan menuju setinggan usang, dia ditabrak kereta. 

Arif di pintu rumah terlongo. Basikalnya hampir bernyawa.

Diganti nafas sang bapa.

Hanya Sepuluh 123

Dalam hujan kumenangis. Biar tak terlihat hiba menitis.

- Charlie Chaplin

19.9.12

Selamat Jalan, Teman

Ketika saya berpelukan dengan Daud di Annexe Central Market sewaktu novel sulung saya dilancarkan, air mata saya bergenang. Saya beritahu padanya, "This is too early."

Hanya dia seorang, dan saya tahu hanya dia seorang, yang akan balas ayat itu dengan jawapan:

"No, this is too late."

Malam ini dia akan terbang jauh. Ya, macam lagu Kaka dan Zizan.

Kali ini kita pergi lebih lama, pergi lebih jauh.

Dia memang sudah mangli kembara di bumi asing. Cuma kali ini lebih lama. Cari ilmu di sana. Doa saya, semoga semuanya baik-baik belaka.

Kalau ada hujan wang dari langit, boleh saya tumpang bercuti bersama.

Jaga diri, Daud.

16.9.12

Hanya Sepuluh 122

Empat tahun lalu, kokoknya tersangkut di rongkongan.

Selamat Hari Malaysia.

14.9.12

Kispen 112: Tebus


Dia persetankan dentum irama yang mengisi udara. Panah laser rencam warna dibiar hinggap menggaris kemeja lusuhnya. Semakin hampir dengan pentas kecil di tengah-tengah medan mabuk, dia rehatkan punggung di satu-satunya kerusi tanpa penghuni.

Nama penari seterusnya dipanggil.

Dewi.

Yang dia tahu, di kelab tarian bogel ini, tiada yang punya nama. Segala pudar, sembunyi dalam gelar samar. 

Aneh sekali saat Dewi mula goyang dada, dia mengalih pandang walhal penenggek pentas lain sudah berjejeh liur. Sudah rancak fikir diatur. Sudah mula wang lebur.

Minuman yang baru tiba dihirup perlahan-lahan sambil dia cuma mengelak bau parfum dan keringat Dewi yang sudah mula sebati di kulit, terdedah buat semua.

Penonton terus segar, sambung sergah siul. Masing-masing pasang impi kelak bergelinjang dengan Dewi di sempadan sedar-mimpi.

Kecuali dia yang hanya sekali-sekala menjeling. 

Akhirnya, dia angkat beg bimbit yang sejak tadi setia menemani kaki kerusi. Pada pemegang beg bimbit ditambat tanda nama yang tertulis: Untuk Dewi.

Dia pastikan Dewi memandang beg itu sebelum dia beredar. Dewi makin galak mengelus tubuh di tiang dan mengenyit mata padanya.

Dia keluar dengan hati lega.

RM500,000 tunai di dalam beg bimbit. Cukuplah. Sekurang-kurangnya dia tahu, Dewi satu-satunya penari dengan nama sebenar.

Nama yang diselit pada bungkus kain bersama-sama anak yang ditinggalkan di pintu masjid, 20 tahun yang lalu.

3.9.12

Tentang Bendera

Isu kibaran Sang Saka Malaya pada malam Merdeka benar-benar meruntun saya untuk berkongsi sesuatu di sini. Sudah pasti saya tidak menafikan hak sesiapa untuk mengibar apa saja yang mereka mahu pada mana-mana hari sekali pun, namun setiap tindakan perlu ada batas.

Kita bukan haiwan liar, berlari dan melolong rawak di rimba. Bahkan sekalian mergastua pun tunduk taat pada undang-undang rimba. Kalau ada yang benar-benar mahu menggugur martabat, apa boleh buat?

Hujahan tentang Sang Saka Malaya sebagai "bendera asal" negara, merujuk kepada perjuangan PKMM dan beberapa lagi parti politik berhaluan "kiri" ketika zaman pra-Merdeka, saya tidak sanggah.

Namun, kesungguhan untuk mengibarkan bendera ini pada malam kita meraikan ulang tahun kemerdekaan, saya ragui. Sudah pasti, sang pelaku mahukan perhatian. Ya, alasan "biarlah masyarakat belajar sejarah" kelihatan matang dan berani, namun benarkah ini yang tersembunyi dalam hati mereka?

Andai benar, moleklah. Biar rakyat tahu bahawa "pejuang kemerdekaan" tidak hanya tertakluk kepada Parti Perikatan yang meraih kemerdekaan daripada British. Biar sejarah, sebagai sekeping syiling, terlihat kedua-dua sisi oleh masyarakat - dan mereka sendirilah sisi mana yang ingin dijadikan tiang seri hidup.

Tindakan ini, walau bagaimanapun, tidak boleh dikaburi dengan niat "menghargai sejarah" semata-mata. Umum mengetahui bahawa ide untuk menukar bendera sedia ada sekarang sudah menular di Internet. Malah beberapa bloggers dan ahli politik turut menyuarakan pendapat sedemikian. Tak perlulah saya namakan. Boleh tanya sendiri pakcik Google.

Maka, adalah hampir mustahil untuk masyarakat umum mengabaikan fakta sedemikian dan memandang tindakan mengibar Sang Saka Malaya sebagai tindakan neutral dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.

Hujahan bahawa penggunaan bendera sedia ada, yakni Jalur Gemilang, sebagai tidak patriotik dan tidak sesuai kerana mirip bendera Amerika Syarikat bagi saya merupakan pendapat paling dungu. Tahukah anda terdapat banyak sekali negara-negara dunia yang mirip antara satu sama lain?

Contoh paling hampir, bendera Indonesia dan Singapura yang mirip sekali dengan Sang Saka Malaya. Malah jalur merah putih sebegitu juga digunakan oleh negara Monaco dan Poland (jalur putih di atas jalur merah). Jika kita ikut teori "siapa tiru maka tidak patriotik" ini, maka negara Singapuralah yang paling tidak patriotik kerana bendera negara itu digunakan secara rasmi pada tahun 1959 berbanding Indonesia (1945), Poland (1919), dan Monaco (1881).

Teori aneh ini boleh juga digunakan untuk menghukum Andorra, Chad, Romania, dan Moldova kerana menggunakan bendera yang hampir serupa iaitu jalur tegak biru, kuning, dan merah. Antara empat negara ini, sang peniru paling tidak patriotik sudah pasti Moldova yang hanya menggunakan bendera negara bermula pada tahun 1990 diikuti Andora (1971) dan Chad (1959). Hanya Romania yang patriotik sebagai pengguna terawal corak tersebut, pada tahun 1848.

Malah saya lebih jijik apabila alasan penukaran bendera ini dikemukakan oleh pemimpin pembangkang. Saya tidak ada masalah dengan tokoh parti pembangkang yang sentiasa berusaha tampil sebagai alternatif kepada Barisan Nasional yang, dalam beberapa aspek, tidak mampu dilindungi lagi busuk dan kohong korupsi mereka.

Namun, kemahuan menukar bendera andai berjaya ke Putrajaya ini langsung tidak masuk akal. Apa faedahnya menukar bendera? Apa penyataan yang mahu disampaikan kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa dengan tindakan ini? Apakah kesan penukaran bendera kepada patriotisme rakyat Malaysia?

Saya harap para politikus ini punya jawapan yang barangkali mampu menukar pandangan saya, malah pada hemat saya, ramai lagi anggota masyarakat yang bingung dan tertanya-tanya tentang kegilaan baru ini.

Kita sudah lebih 50 tahun membesar dan menghirup udara Merdeka di bawah teduhan Jalur Gemilang. Kita sudah hidup dengan merah-putih-biru-kuning itu. Kalau kemaruk benar ingin jadi populis dan memenangi hati rakyat, ada banyak lagi isu lain yang mampu kalian juarai.

Bukannya dengan perjuangan menukar bendera. Ini gila.

Saya juga geli hati membaca beberapa kicau di Twitter tentang "apa ada pada bendera" oleh beberapa tokoh politik, malah orang awam. Bendera tidak boleh dipandang enteng. Ini simbol dan maruah sebuah negara. Malah dalam upacara antarabangsa, terdapat protokol ketat yang perlu dipatuhi untuk memastikan bendera dikibar pada posisi dan keutamaan tertentu.

Sekalipun peraturan "duniawi" ini tidak boleh diterima, saya rasa teman-teman Muslim pasti maklum tentang kisah kesungguhan Ja'far Abi Thalib mempertahankan panji Rasulullah SAW sewaktu Perang Mu'tah. Hal yang sama dilakukan oleh Thariq ibn Ziyad ketika berhadapan tentera Sepanyol dan Salahuddin Al-Ayyubi dalam Perang Salib.

Saya tahu, pasti ada yang beranggapan tulisan saya ini sesat kerana mana mungkin panji Rasulullah disamakan dengan bendera kita yang dihasilkan daripada satu pertandingan yang kemudiannya diluluskan oleh King George VI pada tahun 1950?

Saya sekadar seorang jahil yang berpendapat bahawa tidak ada salahnya menghormati dan mencintai bendera yang sudah menjadi simbol dan panji negara sejak zaman merdeka. Bukankah ada simbol bulan sabit yang mewakili Islam sebagai agama rasmi Persekutuan? Lupakah kita tentang pesan Nabi bahawa mencintai negara juga sebahagian daripada iman?

Setebal mana pun kebencian anda terhadap bobrok dan rontok kerajaan Barisan Nasional, janganlah pula dilempiaskan kepada bendera Malaysia. Kita semua, tak kira bangsa dan agama, sudah lama menjunjung rasa hormat kepada bendera ini. Kita semua menangis bangga di hadapan kaca televisyen, saat bendera ini berkibar setiap kali atlet negara memenangi acara sukan.

Malah, kalau tidak silap saya, demonstran Bersih juga bersungguh-sungguh mengibarkan Jalur Gemilang sambil berlari mengharung jejal manusia dan gas pemedih mata.

Ide aneh sebegini tidak perlulah disebarkan. Sejarah sememangnya menjadikan kita lebih manusia, namun usahlah semangat cinta negara terluntur dengan niat mahu mengubah segala-galanya atas nama sejarah. Cintailah Jalur Gemilang, dan berusahalah menjadikan Malaysia sebagai negara yang lebih bahagia.

2.9.12

Kispen 111: Dendam

Tali leher itu dia gunting berkali-kali. Tiap cebis bersisi kemas gugur, melayang lemah. 

Baju kemeja dicarik-carik. 

Dia capai botol kaca berisi cecair jernih. Dituang semua. Yang berbaki cuma aroma sengit.

Jasad telanjang berlumur merah di lantai direnung lama-lama. Sisa dan perca pakaian yang bertaburan seolah hiasan di atas kek hari lahir.

Sambil mancis dinyala dan dicampak ke tubuh yang lantas disambar marak api, tanda celaka itu sekali lagi terlihat.

Kesan gincu di kolar baju.

Sudah bertahun-tahun dia diam bisu, pendam sendu.

1.9.12

Kispen 110: Jumpa

Sudah tiga kali Kadir panggil pelayan. Isi semula air jernih dalam cawan berkaki. Pendingin hawa, walau bikin selesa, mencipta jua dahaga.

Pandangannya mengitari restoran. Di hotel lima bintang, pelanggan yang ada semuanya serupa. Bersandar selesa bukan untuk menjamu selera.

Sekadar mahu bertemu mata, membanding mata, dan membina dinding agar tak terlihat marhaen di luar jendela.

Kecuali Kadir.

Dia cuma mahu memuaskan hati orang yang bakal ditemui. Sebab itu, restoran ini dipilih buat medan temujanji.

Kadir makin resah menanti. Entah hilang, entah tiba ke sini.

Anak lelaki, yang sudah 20 tahun ditinggal sepi.

Hanya Sepuluh 121

Tukar bendera.

Demikian bukan laku sang wira.

Bahkan sang gila.