6.7.12

Hanya Sepuluh 109

Selamat datang ke siasah Malaysia.

Kita saling membogel, serlah segala.

Hanya Sepuluh 108

Sesudah pinggan kosong, dia baru tersedar.

Bukan ini yang kupesan.

2.7.12

Irama: Bahagian 1

Jon buka butang kemeja hitam satu persatu. Dia masuk ke dapur. Penunu gas dinyalakan. Api biru menari, menggigit hujung kemeja yang dipegang Jon.

Saat api makin marak memamah fabrik, Jon capai bakul sampah keluli di bawah kabinet dapur. Pesta api disambung di dalam bakul sampah. 

Jon tanggalkan seluar seraya dihumban ke lohong sama. Mata Jon tidak beralih. Dia mahu lihat kuasa haba menelan segala, sehingga yang tinggal di dalam bakul sampah hanyalah sisa kain hangit. Dengan hanya bercelana dalam, Jon beredar ke kamar mandi.

Selesai lap tubuh, telefon bimbit berdering. Ada SMS masuk.

Usual place. 11pm.

Jon geleng kepala. Entah berapa kali sudah dipesan. Kalau mahu ketemu, jangan guna telefon. Usah hantar SMS. Dilarang kirim e-mel. Jauh sekali Twitter dan Facebook. 

Jon tak ada akaun laman sosial. Kalau ingin jumpa, datang saja bersemuka. Bukan mereka tak tahu tempat Jon selalu berehat.

Di hadapan cermin, Jon teliti tubuh sasa yang sedikit demi sedikit ditutup kemeja hitam. Jon pilih jeans biru lusuh sebagai padanan. 

Sambil ekor tali pinggang dililit, Jon intai pantulan ranjang di cermin. Di bawah kecamuk selimut, Lia masih lena. Cuma betis dan kaki kelihatan. Mulus. 

Sebelum keluar, dia sempat kucup dahi dan bibir Lia. Ada rengek kecil terletus tapi Lia sambung lena. Pintu rumah dikunci. Jon dongak dan pastikan kamera litar tertutup di pintu berfungsi. Sambil berjalan menuju ke lif, Jon periksa beg galasnya. 

Semua ada. 

Topi besbol di kepala dibetulkan berkali-kali. Ray Ban Aviator dicapai dari kocek kemeja dan dipakai. Tabiat Jon, dia berkaca mata hitam sepanjang masa. Setiap kali melangkah keluar dari rumah.

Dua gadis dengan mekap tebal dan baju tipis bersama-sama tunggu lif dengan Jon. Sekali nafas dihela, sekali Jon pejam mata. Aroma parfum terlalu pekat. Entah bagaimana mahu diharung perjalanan lif ke ruang parkir kelak. 

Ting!

Hanya Sepuluh 107

Dia sibuk mencari pena.

Sebelum gantung diri, harus ditinggal nota.

Hanya Sepuluh 106

Dua cawan serupa.

Dia gugup.

Lupa cawan mana dibubuh racun.

Kispen 101: Lena

"Tidurlah, bang. Pejam mata." Ujar sang isteri.

"Kalau pejam mata, lagi susah nak tidur."

"Kenapa?"

"Bila pejam mata, nampak muka awak. Nanti saya rindu."

Isteri cubit. Suami cunggit-cunggit.

Hanya Sepuluh 105

Van jenazah kaku, sayu.

Sang pemandunya, hari ini jadi penumpang.

21.5.12

Kispen 100: Pasangan

"Welcome to KL Speed Dating!" Sang pengacara tercegat di tengah-tengah dewan. Rambut ikal paras bahu dan mata bundarnya bisa bikin peserta menyimpan hasrat berpacar dengannya.

Sekalian hadirin tepuk tangan. Meja kopi disusun mengelilingi lantai dewan. Setiap meja ditemani dua kerusi. Satu untuk wanita, satu untuk lelaki.

"Caranya mudah. Wanita akan duduk dan tunggu pasangan. Lelaki akan singgah di setiap meja. You have 2 minutes to impress them. All the best!"

Ghazali tersenyum. Dia sudah kenal pasti beberapa susuk yang mengusik jiwa. Meja lain tak berbual pun tak mengapa.

Cincin nikah Ghazali dilurut keluar dari jari, diselit ke dalam kocek.

Sebaik wisel ditiup, mata Ghazali terpaku pada wanita lewat 30-an di meja nombor 18.

Salmah, isteriku.

Semerta Ghazali mual.

19.5.12

Kispen 99: Nombor

"Adik!"

Pak Teh berlari deras. Seorang anak kecil terbaring kaku di atas jalan raya. Sebuah Mercedes C320K paling hampir dengannya, berhenti mengejut.

"Adik, bangun adik. Bangun." Pak Teh cuba sentuh jasad anaknya namun tangannya menggeletar. Darah di mana-mana.

"Masya Allah. Saya minta maaf, pakcik. Saya tak nampak dia keluar simpang tadi," jejaka muda berkemeja putih keluar dari kereta mewah. Di dahinya bertenggek kaca mata hitam.

"Kau bawa kereta macam pelesit. Kau bunuh anak aku!" Pak Teh jerkah dalam hiba. Anaknya diriba.

"Kita pergi hospital, pakcik. Saya uruskan semua. Pakcik minta berapa pun, saya bayar." Sang pemandu terlihat kesal.

"Aku tak mau duit," ujar Pak Teh.

"Habis tu?"

Pak Teh tuding jari pada nombor plat kereta pemuda itu. DBM 2. 

"Aku nak benda tu,"

Anaknya terbatuk-batuk seraya buka mata.

"Kenapa ayah?"

10.5.12

Malam Pertama: Bahagian Akhir

(Bahagian 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 | 7 | 8 | 9)

“Awal sangat nak cakap macam tu. Kalau betul Haji Yahya kenal si mati, tak semestinya dia yang bunuh.”

Tubuh Haji Yahya masih teroleng-oleng.

“Wahai Aish...erm...wahai Salbiyah binti Lijah, wahai Salbiyah binti Lijah, wahai Salbiyah binti Lijah, hendaklah kamu ingat akan janji-janji Allah yang mana kamu ada bawa bersama-sama dari dunia ini. Sekarang kamu telah menuju masuk ke negeri akhirat. Kamu telah mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah, dan bahawasanya Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Ingatlah wahai Aish...erm...Salbiyah binti Lijah, apabila datang kepada kamu dua orang malaikat yang serupa dengan kamu iaitu Munkar dan Nakir, maka janganlah berasa gentar dan takut, janganlah kamu berdukacita dan risau serta janganlah kamu susah hati dan terkejut.”

“Kau dengar tu?” Afnan siku lengan Lee.

“Apa dia?”

“Haji Yahya tersasul.”

Inspektor Edham tiba dengan kereta peronda di tanah perkuburan. Keluar dari perut kereta, dia terus mendekati Afnan dan Lee.

“Tengok ni.” Edham hulur fail perang nipis kepada Afnan.

Afnan dan Lee gali isi fail. Ada rekod pelajar Malaysia yang belajar di Universiti Al-Azhar. Kata Edham, dia minta senarai dari Kementerian Pengajian Tinggi. Dua nama ditanda dengan garis merah; Salbiyah binti Raqib dan Yahya bin Amat.

“Haji Yahya belajar kat sana jugak?” soal Hafizi.

Edham angguk yakin. “Dia buat Master. Nasib baik ada cyber cafe kat kawasan ni. Sempat aku telefon kawan aku kat kementerian, lepas tu print benda ni.”

“Macam mana Tuan boleh tau semua ni?” Afnan menjeling ke arah pusara gemulah Salbiyah. Haji Yahya masih berdoa. Hadirin masih kaku.

Ciut tayar menggeser jalan mengalih pandang pengunjung pusara. Edham tidak terkecuali. Jalil seolah melompat keluar dari dalam kereta, diikuti Rosyan dan Adib.

“Hei, Yahya, kau jangan nak berlakon lagi kat sini!” wajah Jalil disimbah amarah. Dia berdiri betul-betul di hujung pusara.

Pak Maun bangkit menghalang. “Kau gila, ya? Hormat tanah kubur, Jalil.”

“Pak tengok ni. Tengok!” Jalil hulur tiga keping gambar yang ditemukan saat menggeledah meja solek Salbiyah pada Pak Maun yang masih terkebil-kebil.

Mata Pak Maun terbelalak. Wajah Salbiyah tersenyum manja dengan kepalanya dilentuk ke bahu seorang lelaki. Mereka mesra di atas bot, berlatar belakang sungai nan biru. 

Dua gambar lain juga serupa. Salbiyah dan lelaki itu juga. Lelaki yang kini sedikit dikakis umur, bersila kemas di hadapan pusara gemulah isterinya yang baru semalaman dinikahi. Di belakang gambar, tercatat nota berdakwat hijau – aku mahu kau jadi seperti Sayyidatina Aisyah; muda, jelita, dan pintar.

“Apa semua ni, Yahya?” suara Pak Maun bergetar. 

Edham dan soldadunya mendekati kawasan pusara. Mereka mahu elak rusuh. 

“Boleh saya tengok gambar tu?” suara Edham jelas mengarah.

Gambar bertukar tangan.

“Tuan Haji ada kat mana dalam pukul 5:00 pagi tadi?” Afnan soal tanpa tangguh.

Haji Yahya perlahan-lahan berdiri. Mulutnya terkatup rapat. Segenap nisan dirasakan bermata, hunjam pandang padanya.

“Aku cuma nak jumpa dia. Sekali lagi.” Haji Yahya rebah melutut. Dia menangis. Dalam benaknya sarat terisi peristiwa awal pagi. 

Memang aku sudah gila, bertandang ke rumah pengantin pada malam pertama. Aku cuma terlalu rindu pada Salbiyah. 

Haji Yahya tidak menyangka Salbiyah di sini, mengahwini lelaki yang jauh lebih berusia. Tamat pengajian ijazah di Mesir, Salbiyah terus menghilang. Lenyap dengan janjinya untuk hidup bersama. 

Di balai polis, Haji Yahya menghambur pengakuan. 

Aku datang ke rumah Pak Maun. Aku tahu Salbiyah punya insomnia. Aku tahu Salbiyah pasti berjaga. 

Dari ruang dapur, Haji Yahya ceroboh masuk. Dia cuma mahu berbual-bual dengan Salbiyah, namun dihalau. 

Susuk tubuh Salbiyah yang didakap baju kelawar segera mengundang bondong hasut iblis ke telinga Haji Yahya. Dia bergelut dengan Salbiyah hingga ke kamar kosong, dahulunya milik Jalil. Haji Yahya nekad. Dia mahu bersama Salbiyah buat kali pertama dan terakhir namun ronta Salbiyah sukar ditumbangkan. 

Aku cuma tekup wajahnya untuk melemahkan. 

Tanpa sedar, Salbiyah sudah kaku.

Salbiyah sudah kaku.