Memaparkan catatan dengan label Taipan Bersiri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Taipan Bersiri. Papar semua catatan

20.7.12

Irama: Bahagian Akhir

Bahagian ( 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 )

Sorry lambat,”

Klien sudah tiba.

“Semua dah settle?”

Jon angguk. Dia buka mulut beg dan keluarkan iPhone. Lima gambar bergilir-gilir ditayang pada skrin telefon. 

Kesemuanya hampir sama. Kamar mandi dengan lampu suram. Ada tubuh kaku separa tenggelam dalam tab mandi. Mata terkatup. Mulut terlopong. Telanjang.

“Video?”

Jon keluarkan kamera video Legria. Dia sumbat fon telinga pada kamera video dan dihulur pada klien. Simbol play pada skrin kecil ditekan. 

Kliennya kagum dengan sudut kamera. Tubuh Jon langsung tak kelihatan. Lensa kamera cuma tertumpu pada kepala mangsa yang ditekan dan diselam dalam tab mandi. Jerit dan sedak cuma bertahan seketika sebelum mangsa longlai. 

Jon sudah mangli dengan rencam ragam klien. Ada yang cerewet, mahu bukti itu ini sebelum harga dilunas. 

Ada yang tak banyak berkira.

“Bagus,”

Sampul surat sendat dilungsur di muka meja. 

“Separuh lagi aku bagi lepas tengok mayat,”

Jon angguk. Dia angkat tangan pada Fandi. Selang seminit, Fandi tiba dengan dulang kecil berisi sebotol vodka dan dua gelas kecil. 

Klien Jon tuang isi botol perlahan-lahan. Jon cuma geleng kepala apabila dipelawa minum. Jon periksa semula beg galasnya.

Semua ada.

Lagu adunan semula Rain On Me gandingan Marc Anthony dan Pitbull bergema. Seolah segenap inci dinding kelab bergetar. Lantai tari mula diisi kinja dan dansa. 

Jon bingkas. Dia mahu beredar. Kliennya masih ingin meraikan maut musuh. 

Jon merapatkan tubuh pada klien seolah ingin membisikkan sesuatu. Pistol pantas diambil dari dalam jaket. Dua das tembakan di dada tenggelam dalam muncung penyenyap dan dentam irama yang menyumbat telinga segenap pengunjung bar.

Don’t worry. Aku settle. Jangan lupa cut aku.” Fandi melangkah tenang di sisi Jon.

Jon angguk. Dia sudah lewat untuk ketemu klien seterusnya.

18.7.12

Irama: Bahagian 6

(Bahagian 1 | 2 | 3 | 4 | 5 )

Suaranya menjalar bagai racun paling berbisa ke segenap pembuluh darah. Tidak seperti vokalis Runutbunyi yang mengalun indah penawar jiwa. 

Kata mereka cinta dan perang saksama
Namun deminya usah sengketa
Biar bersama biar kita sekata

Jon ambil skaf hitam di bahu si rambut perang. Dia berdiri di belakang Nadaraj yang masih berusaha mengejar bait lirik yang bertukar warna di skrin. 

Hujung skaf digenggam kemas. Tangannya disilang. Jalur skaf membentuk bulatan. Hanya sedetik pandangan Nadaraj berbalam dilintasi skaf sebelum lehernya dijerut. 

Jon tarik hujung skaf kuat-kuat sambil mengelak gapai tangan Nadaraj yang cuba mencakar wajah. 

Sehingga Nadaraj terkulai.

Sehingga sang ajal sampai.

Jon bersalaman dengan teman bisnes Nadaraj. Sekeping sampul surat sarat isi bertukar tangan. Jon keluar dengan dulang kosong. Pelanggannya keluar 15 minit kemudian sambil papah Nadaraj. 

Tidak ada sesiapa yang menjeling curiga. Manusia yang sedarnya sudah binasa dilumatkan minuman keras memang sering dipapah begitu. 

Sambil reguk Coke dan renung rantai perak di leher vokalis Runutbunyi, Jon tersenyum. 

15 minit. Maksudnya mereka sempat bernyanyi dua atau tiga buah lagu bersama mayat Nadaraj. 

Gila. Terkadang harta memadam sinar jiwa. Tapi Jon enggan cakna. Dia cuma buat kerja.

***

Runutbunyi masih menghiburkan pengunjung Fana Beat. Lagu rancak dan perlahan berselang-seli. Jon periksa semula beg galasnya.

Semua ada.

This is our last song tonight,” ujar vokalis Runutbunyi.

Jon keluh berat dalam hati. Dia masih belum puas. Namun begitulah rutin di bar ini. Persembahan kugiran hanya pembuka selera. 

Saat malam menghampiri garis siang, pengunjung perlu degup dan dentum disko. DJ akan ambil alih tampuk kuasa irama. Tidak perlu kata penuh makna. Hanya gegar pembesar suara dengan rentak yang menjadi simpul mengikat kaki dan tangan pengunjung di lantai tari. 

DJ jadi pawang baca serapah menukar manusia jadi boneka. Sekali nada berdentang, sekilas tubuh digoyang. 

10:48 malam. Suara vokalis Runutbunyi bersipongang. Tanpa iringan gitar.

Jari memetik derita
Kisahku didendang kata
Perlahan dibunuh irama
Ku dibunuh iramanya
Seluruh hidupku disabda
Ku dibunuh iramanya

Tidak akan ada sesiapa yang mampu menzahirkan sisi gelap Killing Me Softly With His Song selain Roberta Flack. Itu Jon pasti. Namun dia tetap kagum dengan serak vokalis Runutbunyi yang punya rencah sendiri untuk lagu itu.

Meremang juga roma.

Jon sedikit tersentak saat bahunya dicuit dari belakang.

15.7.12

Irama: Bahagian 5

(Bahagian 1 | 2 | 3 | 4 )

Jangan tinggalkanku kesakitan
Usah biarkanku dalam hujan
Kembalikan malam saat kita berteman

Entah berapa kali Naema ucap ‘saya sayang Jon’ sepanjang pertemuan di bilik pengetua itu. Namun mereka terpaksa akur dengan kehendak orang tua. Sang dewasa yang saban masa menyangka mereka benar dan arif segala. 

Jon dibuang sekolah. Naema berpindah ke sekolah lain. Mereka terpisah namun sekali-sekala bertemu dalam rahsia sebelum Naema diterima masuk ke universiti. 

Kali terakhir Jon dengar kisah Naema, dia kini jadi peguam korporat di Pulau Pinang. 

***

10:03 malam. Masih ada sejam sebelum temujanji bermula. 

Pinggan Jon sudah kosong. Yang tinggal di dalam gelas cuma ketulan ais yang mencair, menjajah sisa Coke yang sudah hilang sengat. Jon periksa semula beg galasnya.

Semua ada.

Oh, we got a song request here. Siapa nama?”

“Jenny,”

“Jenny. So, any song you have in mind?

Haven’t Met You Yet. Michael Buble. It’s for my boyfriend over there, and my friends. Yeah!” Jenny tuding jari pada meja bulat yang dihuni teman-teman. Masing-masing bersorak siul.

Jon angkat tangan pada pelayan. Dia mahu tambah minuman. Telinga dan hati menunggu dendang vokalis Runutbunyi. 

Bagaimana serak si dara mahu berlagu dengan irama yang dibikin untuk nyanyian teruna?

Sudah kuduga tiada yang abadi
Berulang luluh sang hati tak terhitung lagi
Kupujuk diri namun rajuk kembali
Uja dan kecewa berselang-seli

Lunak benar. Jon terangguk-angguk saat segelas lagi Coke tiba di meja makan. Terlalu asyik mendengar dan mengenang. Lagu ini pernah dinyanyikan seorang lelaki di pusat karaoke dua tahun lalu. 

Ketika itu Jon menyamar sebagai pelayan. Dalam hingar pembesar suara, dia cuba menangkap pesanan makanan dan minuman lelaki itu untuk diri dan teman bisnes. Juga empat orang lelaki muda yang tidak berbuat apa-apa selain bernyanyi dan mengelus tubuh pelanggan. 

Malah Jon sedar salah seorang daripada mereka, berambut perang, menyusur jemari di kelangkang tanpa henti. Pasti lumayan ganjaran menemani Nadaraj Rao, tauke nombor ekor.

Sebaik sahaja Jon bawa masuk makanan ke kamar karaoke, Nadaraj tegak di hadapan televisyen skrin rata sambil meneran butir bridge lagu itu.

14.7.12

Irama: Bahagian 4

(Bahagian 1 | 2 | 3 )

Spageti di pinggan Jon tinggal separuh. Dia alihkan perhatian pada persembahan di pentas kecil yang mengisi ruang hadapan bar.

Vokalis runut bunyi mendendangkan Unbreak My Heart milik Toni Braxton. Suaranya serak berbaur lunak. Lagu berjiwa hiba diberi denyut rock. Menarik juga.

Simpan semua lafaz berpisah
Kembalikan hidup girang nan indah
Usah biarku bertangis gundah
Kucup aku biar hilang segala resah

Jon tersenyum. Ini lagu kegemaran Naema, teman wanita zaman sekolahnya.

Mereka tertangkap di stor buku teks saat berkucupan. Jon sudah hampir telanjang. Naema cuma tinggal kutang dan kain biru muda. Ustaz Fathul tampar mereka di situ juga, tanpa tangguh.

Saat Ustaz Fathul panggil guru lain, Naema cuma tertunduk. Jon tersengih.

Hari itu mereka diheret ke pejabat pengetua. Mereka ditempelak tanpa henti oleh Ustaz Fathul sedang pengetua terduduk di kerusi sambil geleng kepala. Semakin lebar sengih Jon, semakin lantang suara Ustaz Fathul.

“Kamu berdua ni nak jadi apa? Ahli neraka? Kemaruk sangat nak berzina? Kalau ikut hudud, kamu dah kena sebat seratus kali. Depan orang ramai. Kamu nak macam tu?”

“Dia tak buat apa-apa, ustaz.” Ujar Naema. Suaranya bergetar. Matanya berkaca.

“Tak buat apa-apa? Waktu saya buka pintu tadi, kamu dah bertelanjang Naema. Kamu boleh kata dia tak buat apa-apa? Nasib baik Allah gerakkan hati saya, lalu kat tepi stor tu. Kamu pengawas buku teks, Naema. Cikgu bagi kunci stor pada kamu untuk kamu susun buku. Untuk kamu jaga amanah. Bukan jual tubuh!”

“Cukuplah, Ustaz. Kejap lagi parents diorang datang. Biar saya uruskan,” pengetua akhirnya bersuara.

Ibu bapa Naema tiba lebih kurang setengah jam kemudian. Jon cuma punya seorang abang. Dia bekerja kilang dan tak dibenarkan keluar oleh majikan.

Perbincangan yang tenang bertukar tegang saat Jon renung bapa Naema lalu tersengih.

“Biadap!” Bapa Naema pantas bangkit.

Dua lagi tamparan hinggap di pipi Jon sebelum ibu Naema menghalang.

11.7.12

Irama: Bahagian 3

(Bahagian 1 | 2 )

Jon mendekati kaunter minuman keras. Rak di belakang kaunter megah membariskan botol-botol rencam warna seribu rasa. 

Cuma dua pelanggan bertenggek di kerusi sambil tongkat dagu di meja kaunter, menghadap gelas kecil berisi impi dan khayal buat mengisi sepi dan sebal.

Malam baru bertatih.

“Awal datang, Jon. Ada kerja?”

Jon angguk. Dia disapa Fandi, pemilik Fana Beat. 

“Makan macam biasa?”

Jon angguk.

Sambil berjalan menuju ke meja, Jon disapa gadis dengan tube sendat rona merah jambu membalut tubuh. Dadanya membusung.

Nice shades,

Jon cuma berlaga bahu dengannya.

Fandi bukan jaga kelab ini semata-mata. Dia bapa ayam juga. Bukan aneh dia membiarkan mereka berkeliaran di sini. Bahkan di tingkat atas ada beberapa kamar kosong. 

Betapa licik Fandi mencari wang. Sambil diulit nyanyi dan ghairah gerak tari, pelanggan berterusan hanyut dan mudah mencari tempat andai mahu bergelinjang sepusingan pantas. Atau semalaman membutirkan keringat noda. Asalkan wang ada.

Sepinggan spageti dan segelas Coke mendarat di meja. Malam ini Jon bekerja, jadi dia enggan dipukau alkohol. 

Garfu segera ceroboh tompok daging cincang berlumur kuah tomato. Pintalan spageti yang sebentar tadi santun bersimpuh di pinggan kini cacamarba. Jon gaul semuanya.

Selagi masih ada inci spageti yang belum dipalit kuah tomato, dia terus bikin huru-hara dalam pinggan. Sekali-sekala Coke dihirup.

“Selamat malam semua. Good evening. We are Runutbunyi. We hope you’ll enjoy our music. Kalau nak request lagu pun boleh. We'll try our best, okay?

Gitaris Runutbunyi bertukar pandang dengan ahli kumpulan. Dia berkemeja T hitam dengan tulisan The Strokes di dada. Di lehernya tergantung gitar utama. 

Seorang lagi pemain gitar memilih kemeja potongan sendat. Pemain dram lengkap bersubang dan bertindik di hidung, duduk di belakang set dram. 

Mata Jon masih terpukau pada vokalis jelita. Dia bersinglet hitam dengan jeans separas lutut. Ada kalung rona perak di lehernya. 

6.7.12

Irama: Bahagian 2

(Bahagian 1)

Pintu lif terbuka. Seorang lelaki separuh abad keluar dari lif, berpimpin tangan dengan wanita yang hampir seusia. Jon angkat kolar jaket dan tunduk lalu masuk ke dalam lif. 

Dia kenal pasangan suami isteri itu. Mereka tinggal selang dua rumah. Si suami selalu saja marah-marah tentang anjing peliharaan yang nakal. Si isteri enggan peduli. Sehinggalah anjing mereka mati. Tiada tengkar lagi.

Ting!

Jon tiba di ruang parkir. Dua gadis tadi terkedek-kedek di hadapan Jon. Tumit tinggi lebih tiga inci tak menghalang mereka berlari ke arah kereta dan bergelak tawa. 

Jon tekan butang alat kawalan jauh jip. Suzuki Vitara miliknya bertempik kecil. Model lama, tapi masih setia. Kunci dipulas, tombol radio ditekan. Jon letak beg galas di tempat duduk sebelah. Zip dibuka, perut beg disemak semula. 

Semua ada.

Jip Jon keluar dari ruang parkir. Dia abaikan sapaan pengawal di pintu pagar. Namanya Mohaidi, cari rezeki di kota Dhaka tapi wangnya hangus ditipu ceti di sana. Dia dibantu teman ke Malaysia. Akhirnya terpacak di pos keselamatan Villa Cerana, kondominium usang di pinggir kota. 

Jam di papan pemuka dikerling. 9:21 malam. Masih awal. Tak mengapa, biar kita menunggu orang. Tiba di simpang empat, lampu isyarat bertukar merah. Perut Jon berdendang. Dia sudah susun menu dalam kepala. Ada spageti lazat di sana. 

***

Fana Beat. Gelanggang libur dan kecur yang semakin dilupakan di Kuala Lumpur. Jon selesa berehat di sini. Dia tidak dipedulikan sesiapa. Meja di penjuru kiri kelab jarang dihuni. Kalau tidak bersama Lia, dia akan datang ke sini dan berehat di meja yang sama. Isi perut dan mengelamun.

Malam ini tiada beza. Sebaik saja Jon masuk, matanya menikam pentas persembahan. Ada sekumpulan anak muda sedang menala tali gitar. Tiga orang lelaki. 

Dan seorang gadis yang sedang uji mikrofon. Matanya beralis tebal dengan rambut bobhead. Hati Jon bergetar.

2.7.12

Irama: Bahagian 1

Jon buka butang kemeja hitam satu persatu. Dia masuk ke dapur. Penunu gas dinyalakan. Api biru menari, menggigit hujung kemeja yang dipegang Jon.

Saat api makin marak memamah fabrik, Jon capai bakul sampah keluli di bawah kabinet dapur. Pesta api disambung di dalam bakul sampah. 

Jon tanggalkan seluar seraya dihumban ke lohong sama. Mata Jon tidak beralih. Dia mahu lihat kuasa haba menelan segala, sehingga yang tinggal di dalam bakul sampah hanyalah sisa kain hangit. Dengan hanya bercelana dalam, Jon beredar ke kamar mandi.

Selesai lap tubuh, telefon bimbit berdering. Ada SMS masuk.

Usual place. 11pm.

Jon geleng kepala. Entah berapa kali sudah dipesan. Kalau mahu ketemu, jangan guna telefon. Usah hantar SMS. Dilarang kirim e-mel. Jauh sekali Twitter dan Facebook. 

Jon tak ada akaun laman sosial. Kalau ingin jumpa, datang saja bersemuka. Bukan mereka tak tahu tempat Jon selalu berehat.

Di hadapan cermin, Jon teliti tubuh sasa yang sedikit demi sedikit ditutup kemeja hitam. Jon pilih jeans biru lusuh sebagai padanan. 

Sambil ekor tali pinggang dililit, Jon intai pantulan ranjang di cermin. Di bawah kecamuk selimut, Lia masih lena. Cuma betis dan kaki kelihatan. Mulus. 

Sebelum keluar, dia sempat kucup dahi dan bibir Lia. Ada rengek kecil terletus tapi Lia sambung lena. Pintu rumah dikunci. Jon dongak dan pastikan kamera litar tertutup di pintu berfungsi. Sambil berjalan menuju ke lif, Jon periksa beg galasnya. 

Semua ada. 

Topi besbol di kepala dibetulkan berkali-kali. Ray Ban Aviator dicapai dari kocek kemeja dan dipakai. Tabiat Jon, dia berkaca mata hitam sepanjang masa. Setiap kali melangkah keluar dari rumah.

Dua gadis dengan mekap tebal dan baju tipis bersama-sama tunggu lif dengan Jon. Sekali nafas dihela, sekali Jon pejam mata. Aroma parfum terlalu pekat. Entah bagaimana mahu diharung perjalanan lif ke ruang parkir kelak. 

Ting!

10.5.12

Malam Pertama: Bahagian Akhir

(Bahagian 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 | 7 | 8 | 9)

“Awal sangat nak cakap macam tu. Kalau betul Haji Yahya kenal si mati, tak semestinya dia yang bunuh.”

Tubuh Haji Yahya masih teroleng-oleng.

“Wahai Aish...erm...wahai Salbiyah binti Lijah, wahai Salbiyah binti Lijah, wahai Salbiyah binti Lijah, hendaklah kamu ingat akan janji-janji Allah yang mana kamu ada bawa bersama-sama dari dunia ini. Sekarang kamu telah menuju masuk ke negeri akhirat. Kamu telah mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah, dan bahawasanya Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Ingatlah wahai Aish...erm...Salbiyah binti Lijah, apabila datang kepada kamu dua orang malaikat yang serupa dengan kamu iaitu Munkar dan Nakir, maka janganlah berasa gentar dan takut, janganlah kamu berdukacita dan risau serta janganlah kamu susah hati dan terkejut.”

“Kau dengar tu?” Afnan siku lengan Lee.

“Apa dia?”

“Haji Yahya tersasul.”

Inspektor Edham tiba dengan kereta peronda di tanah perkuburan. Keluar dari perut kereta, dia terus mendekati Afnan dan Lee.

“Tengok ni.” Edham hulur fail perang nipis kepada Afnan.

Afnan dan Lee gali isi fail. Ada rekod pelajar Malaysia yang belajar di Universiti Al-Azhar. Kata Edham, dia minta senarai dari Kementerian Pengajian Tinggi. Dua nama ditanda dengan garis merah; Salbiyah binti Raqib dan Yahya bin Amat.

“Haji Yahya belajar kat sana jugak?” soal Hafizi.

Edham angguk yakin. “Dia buat Master. Nasib baik ada cyber cafe kat kawasan ni. Sempat aku telefon kawan aku kat kementerian, lepas tu print benda ni.”

“Macam mana Tuan boleh tau semua ni?” Afnan menjeling ke arah pusara gemulah Salbiyah. Haji Yahya masih berdoa. Hadirin masih kaku.

Ciut tayar menggeser jalan mengalih pandang pengunjung pusara. Edham tidak terkecuali. Jalil seolah melompat keluar dari dalam kereta, diikuti Rosyan dan Adib.

“Hei, Yahya, kau jangan nak berlakon lagi kat sini!” wajah Jalil disimbah amarah. Dia berdiri betul-betul di hujung pusara.

Pak Maun bangkit menghalang. “Kau gila, ya? Hormat tanah kubur, Jalil.”

“Pak tengok ni. Tengok!” Jalil hulur tiga keping gambar yang ditemukan saat menggeledah meja solek Salbiyah pada Pak Maun yang masih terkebil-kebil.

Mata Pak Maun terbelalak. Wajah Salbiyah tersenyum manja dengan kepalanya dilentuk ke bahu seorang lelaki. Mereka mesra di atas bot, berlatar belakang sungai nan biru. 

Dua gambar lain juga serupa. Salbiyah dan lelaki itu juga. Lelaki yang kini sedikit dikakis umur, bersila kemas di hadapan pusara gemulah isterinya yang baru semalaman dinikahi. Di belakang gambar, tercatat nota berdakwat hijau – aku mahu kau jadi seperti Sayyidatina Aisyah; muda, jelita, dan pintar.

“Apa semua ni, Yahya?” suara Pak Maun bergetar. 

Edham dan soldadunya mendekati kawasan pusara. Mereka mahu elak rusuh. 

“Boleh saya tengok gambar tu?” suara Edham jelas mengarah.

Gambar bertukar tangan.

“Tuan Haji ada kat mana dalam pukul 5:00 pagi tadi?” Afnan soal tanpa tangguh.

Haji Yahya perlahan-lahan berdiri. Mulutnya terkatup rapat. Segenap nisan dirasakan bermata, hunjam pandang padanya.

“Aku cuma nak jumpa dia. Sekali lagi.” Haji Yahya rebah melutut. Dia menangis. Dalam benaknya sarat terisi peristiwa awal pagi. 

Memang aku sudah gila, bertandang ke rumah pengantin pada malam pertama. Aku cuma terlalu rindu pada Salbiyah. 

Haji Yahya tidak menyangka Salbiyah di sini, mengahwini lelaki yang jauh lebih berusia. Tamat pengajian ijazah di Mesir, Salbiyah terus menghilang. Lenyap dengan janjinya untuk hidup bersama. 

Di balai polis, Haji Yahya menghambur pengakuan. 

Aku datang ke rumah Pak Maun. Aku tahu Salbiyah punya insomnia. Aku tahu Salbiyah pasti berjaga. 

Dari ruang dapur, Haji Yahya ceroboh masuk. Dia cuma mahu berbual-bual dengan Salbiyah, namun dihalau. 

Susuk tubuh Salbiyah yang didakap baju kelawar segera mengundang bondong hasut iblis ke telinga Haji Yahya. Dia bergelut dengan Salbiyah hingga ke kamar kosong, dahulunya milik Jalil. Haji Yahya nekad. Dia mahu bersama Salbiyah buat kali pertama dan terakhir namun ronta Salbiyah sukar ditumbangkan. 

Aku cuma tekup wajahnya untuk melemahkan. 

Tanpa sedar, Salbiyah sudah kaku.

Salbiyah sudah kaku.

8.5.12

Malam Pertama: Bahagian 9

(Bahagian 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 | 7 | 8)

Inspektor Edham mundar-mandir sambil Koperal Afnan conteng papan putih yang diminta dari kaunter pertanyaan Selamat Rest House. Koperal Lee khusyuk meneliti laporan forensik. Kata Edham, lebih baik selesaikan kes di sini. Buang masa saja balik ke balai. Bukti dan saksi masih ada, masih panas.

“Dah siap, Tuan.” Afnan berdiri di hadapan papan putih. Ada sinar bangga pada wajahnya. 

Paul peluk tubuh. Catatan dan gambar-gambar di tempat kejadian yang disusun di papan putih diteliti satu persatu.

“Kalau ikut laporan forensik, si mati meninggal lebih kurang jam 5:00 pagi. Adib kata, Jalil balik dalam pukul 3:00 pagi. Jadi dia bukan suspek?” soal Paul.

“Tak tentu juga, Tuan. Semua duduk bilik asing-asing. Sesiapa pun boleh keluar, bunuh si mati, dan balik semula. Tak ada orang nampak.” Afnan cekak pinggang.

“Aku rasa kita boleh ketepikan Pak Maun. Dia yang bersungguh-sungguh nak kahwin, takkan dia pula yang bunuh.”

“Kalau tak sengaja macam mana, Tuan? Manalah tau, malam pertama.” Afnan tersengih.

Erotic asphyxiation? Pak Maun cakap dia dan Salbiyah tidur saja semalam. Jangan tanya kenapa. Aku tak tau. Forensik pun dah sahkan. No penetration. Peliklah kalau si mati dirangsang tapi akhirnya tak buat apa-apa.”

Buntu. Masih belum ada bukti fizikal yang mengaitkan kematian Salbiyah dengan mana-mana suspek.

“Siapa lagi yang kenal Salbiah selain Pak Maun dan anak-anak dia? Masa soal siasat tadi, Pak Maun kata si mati pernah belajar kat Mesir. Jarang balik. Mesti tak ramai yang rapat dengan dia di kampung.” Edham belum mahu berhenti menaakul.

Lee semak semula nota keterangan yang disiapkan oleh Konstabel Ikram. Catatan dalam buku nota kecil, hasil temu bual dengan orang-orang Kampung Sekangkang Kongkang yang sibuk mengitari kawasan rumah Pak Maun sesudah khabar kematian Salbiyah tersebar pagi tadi.

“Betul.” balas Lee. “Kata Lebai Raqib, yang datang semalam kebanyakannya keluarga dekat. Kawan-kawan universiti si mati dulu pun ada. Tapi dia tak syak sesiapa.”

Tok. Tok. Tok.

Pintu bilik penginapan dikuak. Ada lelaki berketayap tegak di muka pintu.

“Ya?”

“Saya datang ni menyampaikan pesan. Haji Yahya mintak saya jemput encik datang solat jenazah arwahnya Salbiyah.”

Edham terlongo.

“Nanti kami datang, ya?” Afnan hulur senyum.

Lelaki berketayap beri salam dan berlalu. Edham, Afnan dan Lee masih tegak tercancang.

“Nanti dulu. Aku baru ingat. Masa soal siasat, Jalil ada cakap pasal Haji Yahya.” Ujar Afnan.

“Apa dia?” peroman Edham segera cerah.

“Dia cakap, lain betul muka Haji Yahya masa dia tengok si mati. Macam terkejut.”

“Jalil kenal Haji Yahya?”

Afnan geleng kepala.

***

Selesai jenazah dikebumikan, langit masih dijajah mendung. Keluarga gemulah Salbiyah dan Pak Maun masing-masing tunduk kelu di pinggir pusara. Paling hadapan di atas tikar mengkuang, Haji Yahya bersedia membaca talkin. 

Koperal Afnan dan Koperal Hafizi berdiri di tepi busut kurang lebih 50 meter dari pusara gemulah Salbiyah. Haji Yahya berdehem dua kali dan memulakan bacaan talkin.

“Kau rasa dia ada apa-apa dengan kes ni?” soal Afnan separuh berbisik.

4.5.12

Malam Pertama: Bahagian 8

(Bahagian 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 | 7)

Post mortem baru siap. Memang betul apa yang Tuan syak. Kami jumpa sesuatu dalam paru-paru si mati. Saya dah hantar kat makmal. Keputusan belum keluar, tapi saya rasa benda tu span bantal. Kat celah gigi mangsa ada benang. Ada orang pekup muka si mati dengan bantal, lemaskan dia sampai mati.”

“Ada apa-apa lagi?”

“Setakat ni, itu saja Tuan.”

“Terima kasih.”

Edham sambung hirup kopi. Laporan Razif diulang pada Koperal Lee.

“Apa pendapat kau? Orang baru kahwin, malam pertama kena bunuh. Siapa yang sanggup buat macam tu?”

“Anak-anak dia ada motif, Tuan. Mungkin ada yang pegang kunci rumah.”

“Aku pun rasa macam tu. Aku dah suruh anak-anak dia tinggal kat kampung ni dulu. Sekurang-kurangnya hari ini. Koperal Afnan masih ada kat rumah Pak Maun, kan?”

“Ya, Tuan.”

“Telefon dia. Suruh dia tunggu. Kita kena soal siasat anak-anak Pak Maun.”

Edham beredar dari gerai pinggir jalan. Dia sempat selitkan wang RM5 di bawah piring. Tudung saji kecil di atas meja diangkat. Masih ada tiga ketul pulut panggang di dalam bekas plastik merah jambu. Dia ambil kesemuanya.

***

Honda City milik Rosyan masih ada di laman rumah Pak Maun ketika Edham tiba dengan Lee. Teknik soal siasat paling lazim, suspek mesti dipisahkan. Kalau semuanya sama-sama, bimbang ada yang berpakat dan ubah kenyataan.

“Ha, Inspektor. Tadi cakap semua dah siap.” Rosyan tenang sedut asap Dunhill di ruang tamu sambil tonton TV.

“Saya nak tanya sikit. Boleh?”

“Silakan.” 

“Mana yang lain?”

“Jalil, Adib ada kat bilik. Pak baru pergi hospital dengan penghulu. Tuntut mayat.”

Edham angguk kecil pada Lee. Dia tinggalkan ruang tamu.

“Apa Inspektor nak tanya tadi?”

“Encik ke mana semalam?”

“Semalam? Aku tidur kat Selamat Rest House. Kenapa ni, Inspektor?” Dahi Rosyan berkerut. “Eh, takkan kau ingat aku yang bunuh Salbiyah?”

“Encik bukannya suka sangat dia, kan?”

“Ya, aku tak suka dia. Dia datang nak ambik semua harta Pak. Tak logik perempuan cantik macam dia tiba-tiba tergila-gilakan orang tua.”

“Zaman sekarang lain, Rosyan.”

“Kalau betul pun dia memang suka Pak, aku masih benci dia. Tapi aku tak bunuh Salbiyah. Aku tak balik semalam. Aku ada kat rumah rehat sampai pagi.”

“Ada saksi?

“Kau tanyalah kerani rest house tu. Resit semua ada. Kami keluar pagi tadi.”

***

“Jadi betullah si mati pernah jadi kekasih awak?” Koperal Afnan senyum sinis. 

“Betul. Tapi tu dulu. Sekarang dah tak ada apa-apa. Encik jangan nak tuduh bukan-bukan. Saya tak ada kat rumah ni semalam.” Jalil masih mundar-mandir. Peluh merenik di dahi walau kipas berputar ligat di siling.

“Ya, awak kat rumah rehat. Adik-beradik yang lain macam mana? Ada tak awak nampak sesiapa keluar?”

“Mana saya tau. Kami sampai sama-sama, masing-masing check-in satu bilik. Saya masuk bilik, terus tidur. Pagi tu Long yang ketuk pintu. Lepas tu keluar.”

“Maknanya kalau ada yang keluar dan balik rumah Pak Maun, orang lain tak nampak. Kan?”

“Betul.”

“Termasuk awak.”

Jalil gamam. Peluh di dahinya diseka.

***

“Kenapa kena soal siasat dalam bilik ni? Tak boleh buat kat balai?” soal Adib.

“Kalau awak nak buat kat sana pun boleh. Saya tak ada masalah.” Koperal Lee sengaja menguji. Dia bersandar ke dinding, berpeluk tubuh.

Adib mengeluh. 

Lebih baik di sini. 

Di matanya masih terbayang wajah ibu, Mak Melor. Mungkin ini takdir Tuhan, halang Pak Maun kahwin baru. 

“Awak tau siapa yang bunuh Salbiyah?” kening Lee terangkat.

“Mana saya tau. Bukan saya. Kenapa saya nak bunuh isteri Pak? Dia gembira dengan Salbiyah. Saya pun tumpang suka dia kahwin.”

“Abang-abang awak, macam mana?”

“Saya tak tau. Tapi saya ada nampak Angah, erm, Jalil masuk bilik dalam pukul tiga. Saya keluar pergi tandas masa tu. Maklum, rumah rehat murah. Tandas kat luar.”

Hafizi tersenyum. Ikan sudah makan umpan. Insang diterobos mata kail.

21.4.12

Malam Pertama: Bahagian 7

(Bahagian 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6)

“Kita duduk dulu, boleh?” mata Edham menikam set kerusi dan meja batu di laman rumah Pak Maun. 

Empat kerusi batu segera terisi. Tinggal satu saja yang kosong. Mereka saling berkenalan sebelum Edham mula berlabun.

“Macam ni. Saya dapat call daripada hospital lebih kurang pukul 7:00 tadi. Atendan wad kecemasan kata, ada orang panggil ambulans sebab ada kematian. Dia cemas sebab isterinya meninggal. Bila ambulans sampai, doktor yang bertugas kata kematian tu suspicious. Mencurigakan.”

“Kenapa?” celah Rosyan.

“Nampak macam si mati lemas. Macam kena cekik. Asphyxiation.”

“Lepas tu?” tubuh Rosyan makin tegak. Adib dan Jalil masih menjeling ke arah pintu hadapan rumah. 

“Saya kena datang untuk siasat sebelum mayat dipindahkan untuk bedah siasat. Memang ada tanda-tanda si mati kena bunuh. Saya tak boleh bincang banyak sangat dengan kamu. Semua dalam siasatan.”

“Kenapa ayah aku kat dalam rumah?” Jalil ulang soalan yang masih belum dijawab Edham.

“Saya rasa encik faham. Dia orang terakhir yang ada dengan si mati. Kalau tak silap saya, baru semalam kahwin kan? Dia suspek. Anggota saya masih soal siasat dia.”

“Saya nak masuk. Awak mana boleh soal dia kat situ. Saya peguam dia.” Adib tinggalkan meja batu. 

Inilah masanya untuk aku tolong Pak. Lupakan tentang Salbiyah. Dia dah mati. Siapa pun yang membunuhnya, Pak mesti selamat.

“Nanti dulu. Saya dah tanya dia tadi. Dia kata dia boleh jawab soalan walau pun tak ada peguam. Jangan risau.”

“Kau tanya orang yang isteri dia mati sehari lepas kahwin. Entah-entah, dia tak sedar pun apa yang kau tanya.” Rosyan angguk, tanda pinta Adib masuk ke dalam rumah.

Belum sempat Adib daki anak tangga pertama, Pak Maun keluar. “Salbiyah. Dia dah tak ada, Adib.”

Adib peluk Pak Maun erat-erat. Jalil dan Rosyan menyusul dari belakang. Pak Maun teresak-esak dalam rangkulan anak-anak.

***

“Macam mana?” Edham habiskan kuih lapis terakhir. Dia kembali bersandar di kerusi plastik. Kopi di dalam cawan hanya tinggal suku. Dia angkat tangan pada empunya kedai kopi dan tuding jari pada cawan. 

“Dia kata dia tak tau, Tuan.” jawab Koperal Lee.

“Tak tau?”

Koperal Lee belek semula buku catatan. “Kata Pak Maun, dia tak ingat pukul berapa dia tidur. Tapi dia pasti si mati tidur dulu. Bila dia bangun pagi, si mati ada kat sebelah dia. Dia kejut tapi tak bangun. Masa tu dia sedar Salbiyah meninggal. Pak Maun telefon ambulans.”

“Kenapa dia tak bawa si mati pergi hospital?”

“Panik agaknya.”

“Kau ambil cap jari dia tadi?”

“Dah. Unit Forensik dah siapkan semua.”

“Bagus. Motif? Suspek?”

“Saya rasa tak logik Pak Maun bunuh isteri dia, Tuan. Baru kahwin semalam. Lagi pun Pak Maun tu baru duda sebulan. Takkan dah dapat pengganti, tiba-tiba dia nak buang? Tak masuk akal. Saya dah semak, Pak Maun tak ada rekod jenayah.”

“Tadi aku sembang dengan anak-anak dia kat luar rumah. Tak nampak sedih pun.”

“Itu Pak Maun ada cakap. Memang anak-anak dia tak suka dia kahwin dengan si mati. Dia kata tak mungkin mereka yang buat sebab semuanya ke pekan semalam. Tidur kat sana.”

“Tapi sesiapa pun boleh datang sini balik, kan?”

Telefon Edham berdering. Secawan kopi dari tangan empunya gerai mendarat di meja.

“Inspektor Edham, saya Razif.”

“Oh, ya. Forensik. Orang baru ya?”

“Ya. Dr Amran cuti lagi. Saya ganti dia.”

“Macam mana?”

18.4.12

Malam Pertama: Bahagian 6

(Bahagian 1 | 2 | 3 | 4 | 5)

“Maafkan abang, Sal. Budak-budak tu nampaknya tak suka...”

“Saya faham, bang.” Bibir Salbiyah singgah di pipi Pak Maun. “Lama-lama eloklah tu. Asalkan abang terima saya, saya dah cukup bahagia.”

“Sal tak mengantuk lagi?” Pak Maun kembalikan cawan separuh kosong ke piring. Semakin lama telapak tangan Salbiyah di paha, semakin dalam nafas dihela.

“Abang ni.” Salbiyah cubit paha Pak Maun. 

Pengantin baru berjalan seiringan ke kamar tidur. 

***

“Long, tu kereta polis kan?” Jalil tuding jari pada dua buah kereta peronda yang diparkir di laman rumah Pak Maun.

“Astaga, ada apa ni?” Adib gertap bibir. 

“Aku dah agak. Betina tu memang bawa sial. Dah berapa kali aku larang, tapi Pak nak kahwin jugak. Dia mesti nak buat apa-apa.” Rosyan hampir langgar kereta polis. Honda City diparkir semberono. Dia keluar dari kereta diikuti Jalil dan Adib. 

Ada pita penanda rona kuning merentangi pintu rumah. Beberapa orang penduduk Kampung Sekangkang Kongkang mundar-mandir di halaman rumah sambil dikawal dua orang anggota polis. 

“Pak! Pak!” Rosyan deras daki tangga.

“Encik, ini kawasan jenayah. Tak boleh masuk.” Seorang lagi anggota polis berkawal di muka pintu.

“Saya anak tuan rumah ni. Mana ayah?” dengus nafas Rosyan makin laju.

Pak Maun tampil dari dapur. Dia tenang, berpelikat corak petak hitam merah dan bersinglet. Matanya kemerahan.

“Long, kamu tunggu kat luar. Nanti aku turun.”

“Kenapa, Long?” Adib keliru. Dia dan Jalil tunggu di tangga rumah.

“Kamu kat mana semalam? Mak baru kamu tu, Salbiyah, dah mati.” Jenab Bedak Sejuk mendekati tiga teruna Pak Maun.

Rosyan, Jalil, dan Adib serentak kaget. Berkali-kali akal mereka cuba menghadam berita dari Jenab Bedak Sejuk. 

Salbiyah dah mati.

“Aku tau, mesti kamu adik-beradik yang bunuh dia. Kamu bukan suka sangat dengan Salbiyah kan?” Jenab Bedak Sejuk tutup kipas tangan lantas dituju ke wajah Jalil. “Ha, Jalil, Salbiyah tu dulu buah hati kamu. Kamu tak ras...”

“Cik, jangan cakap yang bukan-bukan kat sini.” Seorang pegawai polis melangkah keluar dari pintu dan menuruni tangga. Tanda namanya tersemat rapi, bertulis ‘Edham’.

“Saya Inspektor Edham. Kamu bertiga ni anak Pak Maun, ya?”

“Ya.” balas Rosyan. Jalil dan Adib serentak mengangguk.

“Ada tempat kita boleh berbincang?” 

“Kat sini tak boleh?”

“Boleh, tapi orang ramai kat sini. Saya nak halau pun tak sampai hati. Selagi mereka tak masuk ke dalam rumah, saya tak kisah.” Edham faham benar gelagat orang kampung. Naluri jaga tepi kain masih menebal, malah kadangkala berlebihan. Selagi mana kawasan jenayah tak tercemar, dia biarkan saja. 

“Aku nak semua orang balik. Balik!” Rosyan tanpa disangka bertempik dan meluru rambang. “Orang mati pun nak datang tengok? Ingat ni pameran? Sarkas? Balik!”

“Kau kurang ajar, ya? Ini yang Maun ajar kau?” Jenab Bedak Sejuk masih tega berdiri di laman rumah Pak Maun sekali pun orang kampung yang lain sudah menikus.

“Dah, jangan buat kecoh kat sini.” Edham ambil alih. “Cik balik dulu. Biar kami buat kerja.”

Jenab Bedak Sejuk cebik bibir. Lenggang dalam kebaya ketatnya curi tumpuan Edham.

“Inspektor, betulkah Salbiyah dah mati? Kenapa ayah saya masih ada dalam rumah?” Adib gelisah.

10.4.12

Malam Pertama: Bahagian 5

(Bahagian 1 | 2 | 3 | 4)

“Ha, tok kadi pun dah sampai. Silakan, Tuan Haji.” Lebai Raqib sambut Haji Yahya lantas mengiringnya ke ruang tamu. 

“Untuk Pak Maun, saya tak payah nak terang banyak-banyak. Mesti semua dah tahu kan?” Haji Yahya senyum sambil urut misai.

“Insya Allah.” Pak Maun kemaskan sila. Terasa kilas samping songket sedikit ketat, menekan perut bocahnya. 

“Boleh saya tahu siapa saksinya?” soal Haji Yahya.

“Saya, dan adik saya, Adib.” ujar Jalil. Masing-masing menurunkan tandatangan pada dokumen yang dihulur Haji Yahya.

“Kita mula?” 

Pak Maun angguk. Hadirin mendengar khusyuk. Hanya dengan sekali lafaz, sahihlah Pak Maun dan Salbiyah sebagai suami isteri. Sesudah doa, Salbiyah tampil dari kamar untuk upacara batal air sembahyang. Wajah Haji Yahya tiba-tiba berubah.

“Eh, kenapa ni tok? Macam nampak hantu saja?” sela Jalil.

“Oh, saya terkejut. Muda betul isteri Pak Maun. Untung dia.”

Jalil dan Haji Yahya kongsi tawa, namun tenggelam dalam riuh gebang di ruang tamu. Segalanya berbaur. Saat Pak Maun kucup dahi Salbiyah, sinar denyar kamera tak berhenti-henti hinggap pada wajah mereka.

Tanpa sedar Jalil menggertap bibir. 

Sepatutnya dahi licin itu aku yang cium. 

Adib tenung wajah Salbiyah penuh benci. 

Berani kau datang dalam keluarga kami, gantikan Mak. 

Dari pintu kamarnya, Rosyan intai dari jauh. 

Ini perempuan perampas, mahu bikin kami sekeluarga muflis.

Menjelang senja, tetamu beransur pulang. Yang tinggal cuma pengantin baru, dan tiga orang teruna Pak Maun. 

“Kami balik dulu, Pak.” Rosyan buka bicara.

“Eh, kan esok cuti lagi. Tidurlah dulu semalaman kat sini.” usul Pak Maun.

“Tak apalah, Pak.” Jalil garu kepala. “Kami pun tak nak kacau pengantin baru.”

“Kalau ya pun, jangan balik lagi. Esok boleh makan tengah hari sama-sama. Rasa air tangan mak baru kamu.”

“Kalau tak nak tidur kat sini, kamu semua boleh tidur rumah ayah. Dia pun tak ada teman.” Salbiyah muncul dari dapur dengan dulang berisi cawan dan teko serta sepiring kuih. Dia teringat bapanya, Lebai Raqib, yang sendirian di rumah. 

Ayah mesti belum tidur.

Rosyan, Jalil, dan Adib berbincang dalam renung pandang. Walau tanpa kata, segala nyata. Kalau bermalam di rumah Lebai Raqib, alamatnya bakal dikerah berjaga untuk solat malam. Zikir sampai Subuh. Mereka tak sanggup.

“Kami tidur kat rumah rehat pun boleh, Pak. Lagi pun saya memang nak ke pekan. Nak jumpa kawan.” jawab Rosyan.

“Suka hati kamulah. Yang penting, aku nak semua ada tengah hari nanti. Makan sama-sama.” 

Tiga beradik bersalaman dengan Pak Maun. Hanya Adib yang bersalaman dengan Salbiyah. Jalil dan Rosyan sudah di laman, menunggu di dalam perut kereta. Sebaik sahaja Honda City milik Rosyan melepasi pagar rumah, Pak Maun lepas keluh berat. 

“Abang, jauh termenung?” Salbiyah melabuhkan punggung di sisi Pak Maun. Kerusi rotan dengan sofa biru muda berkeriut. Tangan Salbiyah mendapatkan jari-jemari Pak Maun seraya diramas. 

6.4.12

Malam Pertama: Bahagian 4


(Bahagian 1 | 2 | 3)

Adib campak telefon Samsung Galaxy S ke hujung katil. Sudah beberapa kali dia bidik burung-burung kecil bulat rencam warna ini agar mengena sasaran, namun terpesong. 

Wajah kawanan babi bulat hijau seolah-olah menyindirnya dengan dengus sinis. Mungkin saja dia terganggu dengan niat Pak Maun mahu berkahwin lagi. 

Adib paling rapat dengan Mak Melor. Dia meraung paling lantang saat jenazah ibunya selesai dikafan. Saat orang lain berjemaah solat jenazah, Adib teresak-esak di kamar. Dia tak mampu berdiri dan mengangkat tabir. Sayu dan sendu merasuk waras agar menangis semahu-mahu. 

Setelah dipaksa Pak Maun, barulah dia akur dan bersama-sama dengan Rosyan dan Jalil usung keranda ke tanah perkuburan. Berkali-kali dia tahan hiba. Lebai Raqib pesan, kalau berlebih-lebihan duka di pusara, nilainya dosa. 

Apakah sudah hilang rasa sayang dan setia Pak pada Mak? Segala penat jerih Mak jaga seisi rumah, adakah terpadam dengan elok rupa Salbiyah? 

Adib ambil semula telefon bimbit di hujung katil. Jarinya diseret di skrin. Tali lastik di skrin telefon meregang. Burung bulat rona merah meluncur laju. Kali ini bidikan Adib mengena. Hujung tiang kayu tumbang. 

Tiga ekor babi bulat bertenggek di palang yang disangga tiang kesemuanya gugur ke bumi. 

Mati.

***

Laman rumah Pak Maun sesak. Tiada sesiapa yang mahu melepaskan peluang menonton perkahwinan paling masyhur Kampung Sekangkang Kongkang. Pak Maun, 69 tahun, bakal melafaz akad menerima Salbiyah, 29 tahun sebagai suri hidupnya. 

Kedua-dua keluarga bersetuju agar majlis akad dibikin di rumah Pak Maun. Lebai Raqib masih belum sudah mengubah suai rumah.

Masjid Kampung Sekangkang Kongkang pula masih tunggu ketibaan ambal baru. Kata Yang Berhormat Ghapar, dalam tiga hari sampailah. Itu tiga minggu lepas.

Tapi orang Kampung Sekangkang Kongkang tak pernah marah. Tunggu saja. Pasti Yang Berhormat Ghapar banyak lagi urusan negara yang penting nun di kota.

Di ruang tamu, Pak Maun segak berbaju Melayu rona merah saga. Di kamar pengantin, Salbiyah sedondon. Dia menunggu dalam debar bersama sepupunya, Syafini. Ibu Salbiyah meninggal dunia sebaik sahaja melahirkannya. Hanya Lebai Raqib tempat dia mengadu. Namun mulai hari ini, dia sudah ada Pak Maun. 

Ah, apa pula Pak Maun? Pasti saja dia panggil Bang Maun. Atau apa saja gelar manja dan intim yang ditemukan.

Entah apa majal menimpa Lebai Raqib, tekaknya tak semena-mena pedih seolah dituang cuka getah ke dalam tenggorokan. Hilang suara. Terbatal niatnya menjadi wali dan menerima akad Pak Maun. 

Walau akad nikah boleh saja dibikin dengan tulisan bahkan bahasa isyarat, namun Lebai Raqib tak mahu mengelirukan orang kampung. Mereka ini sudah mangli dengan Islam yang mereka kenal turun-temurun. 

Dia masih ingat waktu Hafizan, anak saudaranya yang baru pulang belajar di Madinah, jadi imam terawih. Saat Hafizan mula bacaan surah al-Fatihah tanpa basmalah, ramai sekali makmum bercempera keluar saf. 

Tak kurang juga yang lantang bertasbih tanda menegur kesilapan imam. Mereka sudah biasa dengan yang lama, maka segala yang baru ditolak terburu-buru. 

“Mana pengantin?” Lelaki berbaju Melayu putih lengkap bersongkok tinggi tampil di muka pintu.

26.3.12

Malam Pertama: Bahagian 3

(Bahagian 1 | 2)

Malam itu mata Jalil enggan lena. Telinganya masih dihurung tempur kata di ruang tamu tadi. 

Kalau diturut alun amarah yang berpuput, aku pun mahu bentak Pak macam Long. Tapi aku tak mahu sakitkan hati Pak. 

Sepatutnya Jalil paling layak melancar amuk. Salbiyah bekas kekasihnya dahulu. Hampir dua tahun mereka berpacaran, namun akhirnya Salbiyah minta dia berundur. Katanya mahu sudahkan pelajaran, dan Jalil serba sedikit melalaikan. Jalil akur; apa sahaja asalkan Salbiyah bahagia. 

Bala apa yang menimpa? Apa rasanya saat bersalaman dengan Salbiyah nanti? Terbitkah nanti ‘mak’ dari bibirku? 

Bukannya Pak Maun tak tahu kisah cinta Jalil-Salbiyah. Dia yang jumpa gambar mereka berdua-duaan, berpacaran di kota. Panjang lebar juga Pak Maun berleter tentang muhrim atau mahram, entah. Jalil pun sudah lupa yang mana.

Dan Pak mahu menikahinya?

Rosyan masih berteleku di ruang tamu. Dia tahu Jalil dan Adib pun masih berjaga. Lampu bilik Jalil masih bernyala.

Bilik Adib, sekali pun gelita, namun masih sayup terdengar selang-seli bingit kicau burung dan dengus babi. Dia tahu niat Salbiyah memikat Pak Maun. 

Semua penghuni Kampung Sekangkang Kongkang ini kenal Pak Maun. Hartawan paling rendah diri.

Entah berapa ekar ladang getah di hujung kampung. Entah berapa ekor lembu meragut di padang bekas bendang padi. Entah berapa buah rumah sewa di pekan.

Rumahnya tetap rumah usang yang itu-itu juga. Rumah kayu empat bilik peninggalan moyang. Hartanya untuk anak-anak. 

Namun itu pasti saja berubah sebaik sahaja tubuh montok Salbiyah mengelus segenap inci kejantanan Pak Maun. Selepas ini, semua akan jadi milik Salbiyah. 

Tak akan ada satu sen pun yang ditinggalkan untuk aku dan adik-adik. Sebab itu Salbiyah pikat Pak. Sebab itu dia sanggup. 

Biar gelambir, asal harta melimpah tak tertabir.

24.3.12

Malam Pertama: Bahagian 2

(Bahagian 1)

“Memang tu pun adatnya, Pak. Adik pun sama. Sibuk dengan law firm. Jumpa klien merata-rata. Angah pun sibuk. Kita semua sibuk, mana cukup sekali-sekala balik kampung. Ada Salbiyah, sekurang-kurangnya Pak ada teman.”

Ruang tamu bungkam. Masih-masing kulum kata. Hakikatnya, empat beranak ini masih rindu pada gemulah Mak Melor.

Bulan lepas, Mak Melor rebah tiba-tiba di dapur ketika menggaul tepung dan pisang – bikin cekodok buat Pak Maun. Saat dibawa ke hospital, Mak Melor kekal kaku dalam ambulans. 

Pak Maun tahan tangis, dia genggam tangan Mak Melor kuat-kuat. Hampir 30 tahun bersama, belum pernah Mak Melor ditimpa sakit tenat. Tahu-tahu saja, dia terjelepok di lantai dapur.

Tiba di hospital, doktor geleng kepala. Nadi Mak Melor sudah berhenti. Bibirnya ada ulas senyum. 

Kata Lebai Raqib, orang yang mati senyum tanda banyak pahala. Tanda masuk syurga. Pak Maun percaya.

Bahkan setiap patah kata diiring percik liur Lebai Raqib yang terletus setiap kali berlangsung kuliah Subuh dan Maghrib, Pak Maun percaya semuanya.

Minggu kedua tahlil, Lebai Raqib acap tiba dengan kereta yang dipandu anak tunggalnya, Salbiyah. Dia terseliuh di bendang, kaki berbalut hingga ke buku lali. 

Salbiyah yang papah Lebai Raqib masuk ke ruang tamu. Saat itu juga Pak Maun tak pernah terlepas merenung wajah Salbiyah yang terlalu mulus. Mata bundar diteduhi bulu mata lentik itu memukau. Berkali-kali Pak Maun istighfar.

Syaitan apa yang merasuk nafsu agar jatuh cinta saat manusia lain bersedekah kalimah Tuhan kepada arwah isteriku?

Namun dia tumpas. Dia juga manusia.

23.3.12

Malam Pertama: Bahagian 1

“Mak baru sebulan meninggal, Pak. Dah nak nikah lain? Apa dah jadi ni, Pak? Gatal sangat?” Rosyan geleng kepala. Dia mundar-mandir di ruang tamu. Semakin lama dia tenung kernyih bapanya, Pak Maun, semakin pedih ulu hatinya disayat.

“Jangan biadap, Long.” Jalil tenung cawan berisi teh. Entah berapa kali dia cuba hirup, namun teh terlalu panas. 

Pak memang begitu, dia hanya mahu teh dengan wap berkepul. 

Usai tempik cerek, terus angkat dan tuang air menggelegak dalam teko.

“Aku cakap benda betul, Ngah. Semalam kita buat tahlil, hari ni Pak panggil kita ramai-ramai. Cakap nak nikah baru. Mana aku tak bengang.”

“Dengar sini, Rosyan.” Pak Maun mencelah. Senyumnya belum pudar. Sambil layan amarah anak-anak, sempat matanya imbas gebu pipi Salbiyah. Kulit halus kuning langsat. Mata bulat.

“Aku tak nak menyusahkan sesiapa. Aku kahwin pakai duit sendiri. Tak payah kamu semua susah payah nak cari rumah orang tua, nak campak aku sana sini. Dah kahwin nanti, ada orang jaga makan pakai aku. Faham?”

“Saya faham, Pak.” Akhirnya Adib bersuara. Dia habiskan kunyahan biskut kering terakhir. Teh dihirup sekali lagi. “Tapi Salbiyah tu muda sangat dengan Pak. Bolehkah dia jaga Pak nanti?”

“Kenapa tak boleh? Dia anak Lebai Raqib. Tahu hukum-hakam. Nak harapkan kamu semua? Buat habis duit aku hantar belajar agama, tapi semua nak sembah orang putih juga.” Suara Pak Maun bertukar lantang.

“Sudahlah Long, Adik. Pak dah buat keputusan. Biarkanlah. Kalau betul Salbiyah tu boleh jaga Pak, kita kena setuju. Long bukannya ada masa nak jenguk Pak kat kampung. Sibuk dengan menteri. Election kali ni Long nak jadi calon, kan? Mesti sibuk jilat sana, jilat sini.”

“Angah...” Pak Maun tikam pandang pada Jalil.

16.5.11

Sumpah: Bahagian Akhir

(Bahagian 1 | 2 | 3)

Mat Bijan masih menangis. Sultan Semuatahu tambah geram. Barangkali inilah manusia yang telah berlaku nista kepada puteri kesayangan baginda.

"Ayuh. Bersumpah sekarang, atau keris ini beta rodok ke dalam matamu!" Sultan Semuatahu sergah, seraya tegak berdiri di hadapan Mat Bijan.

Tangisan Mat Bijan surut. Lengan baju kumal kesat air mata. Mat Bijan tarik nafas dalam-dalam.

"Sumpah. Sumpah. Sumpah." Sekalian rakyat di laman istana riuh menggesa sambil tepuk tangan.

Kali ini bergilir entah siapa menyusun tertib; lelaki jerit sumpah, wanita laung laknat.

"Sumpah."

"Laknat."

"Sumpah."

"Laknat."

"Diam semuanya!" Bendahara Terus Mata angkat tangan. "Benarkan Mat Bijan angkat sumpah. Bukankah kita semua mahu tahu siapakah yang berani meniduri Puteri Anganjelita?"

15.5.11

Sumpah: Bahagian 3

(Bahagian 1 | 2)

Fajar kazib bertukar sadik. Terang tanah, sekalian rakyat berjejal di laman istana. Tiga pemuda diseret keluar dari dalam rumah pasung. Ketiga-tiganya tangan terpasung.

Sultan Semuatahu melangkah megah, diiringi Bendahara Terus Mata dan Tuan Imam Janggutputih. Wajah Sultan berbaur cita dan amarah. 

Tiba di hadapan rakyat, Sultan Semuatahu segera bertitah, "Bahawa inilah bahana mencemarkan kedaulatan beta. Salah seorang daripada tiga manusia laknat ini telah meniduri puteri kesayangan rakyat. Hari ini, kita akan saksikan sumpah laknat lantaran ketiga-tiganya bacul pengecut tiada mahu walau seorang mengaku."

Rakyat mengangguk. Bahkan demikianlah tabiat sekalian yang ada walau apa jua titah Sultan sekali pun, tiada lain, hanyasanya angguk setuju sembah restu.

"Ayuh, kita mulakan!"

12.5.11

Sumpah: Bahagian 2

(Bahagian 1)

Sultan Semuatahu garu kepala. Entah dari mana pula Bendahara mendapat buah fikir sebegini, fikirnya. 

"Bersumpah? Apa gerangan maksudmu ini, Bendahara?"

"Begini, Tuanku. Kalau kita tanyakan ketiga-tiga manusia bertopeng binatang ini akan siapakah yang meniduri puteri Tuanku, sudah pasti hingga matari terbit dari barat sekali pun tiada mereka ini tunduk mengaku."

"Jadi?" Sultan Semuatahu kembali bersemayam.

"Jadi kita minta mereka bersumpah. Bahawa atas nama Tuhan, mereka ini bukanlah yang Tuanku cari. Andai mereka ini berdusta, maka turunlah laknat Tuhan pada mereka."

Sultan Semuatahu gumam. Hulu keris diketuk-ketuk perlahan di dagu. "Bawakan Tuan Imam Janggutputih mengadap beta. Sekarang."