4.11.13

Kispen 142: Jurang

Tuanku Sultan membelek-belek persalinan baru yang membalut tubuh baginda. Tiadalah pernah walau sekali Tuanku Sultan berasa selesa begini dengan persalinan baginda. 

Kata Pengembara Zaman, yang dipakai oleh baginda itu namanya bajuti. Buatan terelok manusia dari penjuru dunia berbeza, entah berapa lautan terpisah dengan negeri Tuanku Sultan. 

Yang paling Tuanku Sultan gemari, lencana besar yang ditenun di bahagian dada bajuti. Mirip bebayang kuda yang ditunggang jagoan. 

"Ada lagi yang belum kembali?" ujar Pengembara Zaman sambil memeriksa jam tangan. Mereka tidak boleh terlewat. Hanya ada dua jam berbaki sebelum Gerbang Masa terkatup semula.

"Beta rasa, isteri beta masih ada di dalam," balas Tuanku Sultan. Sedikit pun wajah baginda tiada terzahir rasa gulana. Dia yakin dengan hulubalang yang dibawa demi menjaga keselamatan Tuanku Permaisuri di Dunia Baru. Bahkan Pengembara Zaman turut menugaskan adindanya, Siti, untuk menjaga Tuanku Permaisuri.

Setelah Tuanku Permaisuri muncul semula dari dalam mahaistana agam, Pengembara Zaman kembali lega. Rombongan mereka sudah lengkap. Bolehlah mereka kembali mengatur perjalanan kembali ke kurun keenam belas, zaman asal Tuanku Sultan.

Rombongan mereka kemudian mengisi dua kenaikan mewah untuk membawa mereka ke hujung kota. Di situ Gerbang Masa menunggu.

"Wahai pengembara, tidak ada apa-apa lagi yang mampu beta anugerahkan melainkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada tuan hamba kerana sudi membawa beta sekeluarga menjelajah dunia berbilang zaman. Sungguh, ini pengalaman luar biasa," Tuanku Sultan memulakan bicara dalam kenaikan.  

Senyum Tuanku Sultan tampak tulus. Ini kali kedua dia dikunjungi Pengembara Zaman. Mujur yang ini tidak gila seperti Pengembara Zaman pertama yang melawatnya beberapa tahun lalu. Membawa teman sebarangan dan memberi senjata sihir kepada Hang Tuah sehingga diubah segala sejarah.

Pengembara Zaman yang kedua ini cuma ilmuwan yang mahu merakam semula sejarah benar. Katanya untuk tatapan anak cucu zaman hadapan. Katanya sejarah pada zaman itu, sudah terlalu tebal noda hingga tidak terbeza kelabu yang tenggelam lumat dalam hitam putih yang dicoreng tangan-tangan yang cuma mahu asal-usul dihidang menurut selera tembolok sendiri.

"Sepatutnya, patiklah yang mengucapkan terima kasih kepada Tuanku kerana membenarkan patik berteduh di bawah naungan kuasa Tuanku selama perjalanan kita," Pengembara Zaman hubaya-hubaya menyusun kata.

"Sebelum kita tiba di Gerbang Masa, beta ingin ajukan satu kemusykilan. Sudikah pengembara mendengarnya?"

"Nyiru patik tadahkan, Tuanku."

"Ketika kita di, apa namanya, Papilian?"

"Pavilion, Tuanku."

"Apa-apalah. Beta perhatikan ada ruang santap yang dibina agam bahkan nun tinggi seolah mahu dicapai awan sambil mencicip kopi. Ada pula ruang santap yang diperosok hingga ke bawah tanah, hingga berbaur cacamarba bauan hidangan, dari ayam goreng hingga sup ikan. Mengapa demikian jauh dipisah kedua-duanya?"

Pengembara Zaman menarik nafas dalam-dalam. Teliti kata-kata disulam. 

"Tuanku, ada pun zaman ini ada jua yang ditetapkan alam tiada berubah sehingga bila-bila. Seperti Tuanku juga, apa sanggup Tuanku bersantap semeja dengan gelandangan dan sang papa? Mustahil bukan? Demikian juga di mahaistana Papilian ini, Tuanku. Harus dipisah bangsawan langit tinggi, dengan tikus lohong tahi. Bimbang bergeser bahu, sepanjang umur menanggung malu."

Tuanku Sultan terlongo. Bajuti dengan lencana kuda tersulam dibelek sekali lagi. Bimbang juga kalau dia tergesel tikus liar di mana-mana.