21.4.12

Kispen 97: Ketuk

Tok. Tok. Tok.

Sunyi.

"Siapa ketuk pintu tadi?"

"Sang Peluang. Dia sudah pergi."

Malam Pertama: Bahagian 7

(Bahagian 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6)

“Kita duduk dulu, boleh?” mata Edham menikam set kerusi dan meja batu di laman rumah Pak Maun. 

Empat kerusi batu segera terisi. Tinggal satu saja yang kosong. Mereka saling berkenalan sebelum Edham mula berlabun.

“Macam ni. Saya dapat call daripada hospital lebih kurang pukul 7:00 tadi. Atendan wad kecemasan kata, ada orang panggil ambulans sebab ada kematian. Dia cemas sebab isterinya meninggal. Bila ambulans sampai, doktor yang bertugas kata kematian tu suspicious. Mencurigakan.”

“Kenapa?” celah Rosyan.

“Nampak macam si mati lemas. Macam kena cekik. Asphyxiation.”

“Lepas tu?” tubuh Rosyan makin tegak. Adib dan Jalil masih menjeling ke arah pintu hadapan rumah. 

“Saya kena datang untuk siasat sebelum mayat dipindahkan untuk bedah siasat. Memang ada tanda-tanda si mati kena bunuh. Saya tak boleh bincang banyak sangat dengan kamu. Semua dalam siasatan.”

“Kenapa ayah aku kat dalam rumah?” Jalil ulang soalan yang masih belum dijawab Edham.

“Saya rasa encik faham. Dia orang terakhir yang ada dengan si mati. Kalau tak silap saya, baru semalam kahwin kan? Dia suspek. Anggota saya masih soal siasat dia.”

“Saya nak masuk. Awak mana boleh soal dia kat situ. Saya peguam dia.” Adib tinggalkan meja batu. 

Inilah masanya untuk aku tolong Pak. Lupakan tentang Salbiyah. Dia dah mati. Siapa pun yang membunuhnya, Pak mesti selamat.

“Nanti dulu. Saya dah tanya dia tadi. Dia kata dia boleh jawab soalan walau pun tak ada peguam. Jangan risau.”

“Kau tanya orang yang isteri dia mati sehari lepas kahwin. Entah-entah, dia tak sedar pun apa yang kau tanya.” Rosyan angguk, tanda pinta Adib masuk ke dalam rumah.

Belum sempat Adib daki anak tangga pertama, Pak Maun keluar. “Salbiyah. Dia dah tak ada, Adib.”

Adib peluk Pak Maun erat-erat. Jalil dan Rosyan menyusul dari belakang. Pak Maun teresak-esak dalam rangkulan anak-anak.

***

“Macam mana?” Edham habiskan kuih lapis terakhir. Dia kembali bersandar di kerusi plastik. Kopi di dalam cawan hanya tinggal suku. Dia angkat tangan pada empunya kedai kopi dan tuding jari pada cawan. 

“Dia kata dia tak tau, Tuan.” jawab Koperal Lee.

“Tak tau?”

Koperal Lee belek semula buku catatan. “Kata Pak Maun, dia tak ingat pukul berapa dia tidur. Tapi dia pasti si mati tidur dulu. Bila dia bangun pagi, si mati ada kat sebelah dia. Dia kejut tapi tak bangun. Masa tu dia sedar Salbiyah meninggal. Pak Maun telefon ambulans.”

“Kenapa dia tak bawa si mati pergi hospital?”

“Panik agaknya.”

“Kau ambil cap jari dia tadi?”

“Dah. Unit Forensik dah siapkan semua.”

“Bagus. Motif? Suspek?”

“Saya rasa tak logik Pak Maun bunuh isteri dia, Tuan. Baru kahwin semalam. Lagi pun Pak Maun tu baru duda sebulan. Takkan dah dapat pengganti, tiba-tiba dia nak buang? Tak masuk akal. Saya dah semak, Pak Maun tak ada rekod jenayah.”

“Tadi aku sembang dengan anak-anak dia kat luar rumah. Tak nampak sedih pun.”

“Itu Pak Maun ada cakap. Memang anak-anak dia tak suka dia kahwin dengan si mati. Dia kata tak mungkin mereka yang buat sebab semuanya ke pekan semalam. Tidur kat sana.”

“Tapi sesiapa pun boleh datang sini balik, kan?”

Telefon Edham berdering. Secawan kopi dari tangan empunya gerai mendarat di meja.

“Inspektor Edham, saya Razif.”

“Oh, ya. Forensik. Orang baru ya?”

“Ya. Dr Amran cuti lagi. Saya ganti dia.”

“Macam mana?”

Kerangka Drama Cinta Berkesan

Ingin buat drama cinta yang laris di Malaysia? Ikuti panduan ini. Mudah saja.

1- Pasangan bercinta.

Ini wajib. Malah, tidak logik drama cinta tanpa sepasang kekasih atau suami isteri. Biasanya mahasiswa bercinta atau pasangan di tempat kerja. Formula baru belakangan ini juga menyenaraikan pasangan kahwin paksa. 

2- Sejarah pertemuan

Fasa ini juga kritikal. Biasanya pasangan akan ketemu sejak dari kecil atau sekolah. Persetankan perkembangan karakter. Yang penting, rasa kasih yang membunga sejak dahulu kala mekar hingga dewasa. Atau mungkin, tragedi dan sejarah hitam yang mempertemukan.

Sejarah pertemuan akan menentukan naik turun jalan cerita. Watak-watak tempelan seperti bapa tiri yang keji atau datuk yang mempunyai harta melimpah-ruah tak terduga akan timbul bergantung kepada sejarah pertemuan pasangan.

3- Orang ketiga

Tidak lengkap drama tempatan tanpa pihak ketiga. Katakan Minah dan Karim bercinta. Ini contoh saja. Jangan guna nama begini jika drama mahu laris. Pilih nama-nama yang lebih urban dan menepati khayalan cinta abadi seperti Syella, Emelda, Qaseh, dan sebagainya.

Kembali kepada Minah dan Karim. Minah pasti ada lelaki lain dalam sejarah hidupnya. Begitu juga Karim, pernah cinta wanita lain. Sebab kalau 26 episod asyik tunjuk Minah dan Karim bergelak tawa, mana rancaknya? 

Orang ketiga juga boleh merangsang kebencian penonton dengan mereka bekerjasama menumbangkan cinta suci pasangan utama seolah-olah hidup mereka sudah tidak ada urusan lain yang lebih penting.

4- Pasangan lawak

Ini juga komponen yang wajib hadir dalam drama laris. Seperti Johnny Lever di Bollywood, karakter pasangan lawak langsung tidak mempunyai kaitan dalam perkembangan plot drama. Kalau pun ada, terlalu minimal.

Kewujudan pasangan ini hanyasanya untuk meredakan babak teriak tangis atau adegan manis penuh bergula ketika pasangan sedang bergeliang-geliut dengan dialog cinta. Sebab di Malaysia, romantis tidak boleh diadun dengan jenaka. Mesti pasangan lain yang buat lawak.

Rupa paras yang kurang menarik berbanding pasangan utama amat penting. Tidak boleh ada pelakon lain yang membayangi mereka, termasuklah pasangan lawak.

5- Watak jahat

Ini sifir asas. Drama mesti ada antagonis. 

Namun saya perlu tekankan satu perkara. Dalam drama tempatan, antagonis biasanya merujuk kepada ibu bapa/mertua yang kejam dan bengis.

Kalau karakter begini dilihat terlalu konservatif atau tidak sesuai dengan jalan cerita, boleh digantikan dengan watak dewasa lain seperti abang atau kakak yang busuk hati.

Watak jahat tidak boleh ada perikemanusiaan walau sebesar hama. Ibu bapa yang menjaga anak mereka sejak kecil pun sanggup buat apa saja sebab tak suka kekasih pilihan anak.

Lebih afdal, jika diselitkan penglibatan watak jahat dengan ilmu hitam dan sihir serapah. Khalayak gemar sekali unsur sedemikian.

Pastikan watak jahat tumpas, mati, atau akhirnya insaf pada penghujung drama. Ini bakal mengundang klimaks dalam kalangan penonton. Sekali pun pilihan tersebut tidak mahu dilaksanakan, boleh saja biarkan watak jahat terus wujud namun tidak mencapai hajatnya pada akhir cerita.

6. Rahsia

Penonton kita ramai yang masochists, yakni gemar menyeksa diri. Jadi, drama cinta berkesan mesti ada jalan cerita yang menyeksa pasangan utama hanya kerana ada pihak yang tidak mahu menceritakan satu rahsia silam yang disimpan sekian lama.

Antara rahsia yang boleh digunakan ialah penyakit kronik, hubungan luar nikah, harta pusaka, pelanduk dua serupa, kekasih samaran dalam surat, dan sebagainya.

Rekalah jalan cerita yang sesuai agar rahsia ini tersimpan kukuh hingga ke episod akhir. Tetapi, jangan di hujung benar. Sebab lima minit terakhir adalah masa untuk bergembira dan bersuka ria yang sering dihiasi lagu paling riang dan pasangan di jinjang pelamin atau bergelak tawa di ruang tamu.

Mungkin ada lagi yang saya tertinggal. Itu sahaja setakat ini. Selamat mencuba!

Hanya Sepuluh 100

Seratus entri, seribu kata. Setiap aksara masih undang ghairah serupa.

19.4.12

18.4.12

Malam Pertama: Bahagian 6

(Bahagian 1 | 2 | 3 | 4 | 5)

“Maafkan abang, Sal. Budak-budak tu nampaknya tak suka...”

“Saya faham, bang.” Bibir Salbiyah singgah di pipi Pak Maun. “Lama-lama eloklah tu. Asalkan abang terima saya, saya dah cukup bahagia.”

“Sal tak mengantuk lagi?” Pak Maun kembalikan cawan separuh kosong ke piring. Semakin lama telapak tangan Salbiyah di paha, semakin dalam nafas dihela.

“Abang ni.” Salbiyah cubit paha Pak Maun. 

Pengantin baru berjalan seiringan ke kamar tidur. 

***

“Long, tu kereta polis kan?” Jalil tuding jari pada dua buah kereta peronda yang diparkir di laman rumah Pak Maun.

“Astaga, ada apa ni?” Adib gertap bibir. 

“Aku dah agak. Betina tu memang bawa sial. Dah berapa kali aku larang, tapi Pak nak kahwin jugak. Dia mesti nak buat apa-apa.” Rosyan hampir langgar kereta polis. Honda City diparkir semberono. Dia keluar dari kereta diikuti Jalil dan Adib. 

Ada pita penanda rona kuning merentangi pintu rumah. Beberapa orang penduduk Kampung Sekangkang Kongkang mundar-mandir di halaman rumah sambil dikawal dua orang anggota polis. 

“Pak! Pak!” Rosyan deras daki tangga.

“Encik, ini kawasan jenayah. Tak boleh masuk.” Seorang lagi anggota polis berkawal di muka pintu.

“Saya anak tuan rumah ni. Mana ayah?” dengus nafas Rosyan makin laju.

Pak Maun tampil dari dapur. Dia tenang, berpelikat corak petak hitam merah dan bersinglet. Matanya kemerahan.

“Long, kamu tunggu kat luar. Nanti aku turun.”

“Kenapa, Long?” Adib keliru. Dia dan Jalil tunggu di tangga rumah.

“Kamu kat mana semalam? Mak baru kamu tu, Salbiyah, dah mati.” Jenab Bedak Sejuk mendekati tiga teruna Pak Maun.

Rosyan, Jalil, dan Adib serentak kaget. Berkali-kali akal mereka cuba menghadam berita dari Jenab Bedak Sejuk. 

Salbiyah dah mati.

“Aku tau, mesti kamu adik-beradik yang bunuh dia. Kamu bukan suka sangat dengan Salbiyah kan?” Jenab Bedak Sejuk tutup kipas tangan lantas dituju ke wajah Jalil. “Ha, Jalil, Salbiyah tu dulu buah hati kamu. Kamu tak ras...”

“Cik, jangan cakap yang bukan-bukan kat sini.” Seorang pegawai polis melangkah keluar dari pintu dan menuruni tangga. Tanda namanya tersemat rapi, bertulis ‘Edham’.

“Saya Inspektor Edham. Kamu bertiga ni anak Pak Maun, ya?”

“Ya.” balas Rosyan. Jalil dan Adib serentak mengangguk.

“Ada tempat kita boleh berbincang?” 

“Kat sini tak boleh?”

“Boleh, tapi orang ramai kat sini. Saya nak halau pun tak sampai hati. Selagi mereka tak masuk ke dalam rumah, saya tak kisah.” Edham faham benar gelagat orang kampung. Naluri jaga tepi kain masih menebal, malah kadangkala berlebihan. Selagi mana kawasan jenayah tak tercemar, dia biarkan saja. 

“Aku nak semua orang balik. Balik!” Rosyan tanpa disangka bertempik dan meluru rambang. “Orang mati pun nak datang tengok? Ingat ni pameran? Sarkas? Balik!”

“Kau kurang ajar, ya? Ini yang Maun ajar kau?” Jenab Bedak Sejuk masih tega berdiri di laman rumah Pak Maun sekali pun orang kampung yang lain sudah menikus.

“Dah, jangan buat kecoh kat sini.” Edham ambil alih. “Cik balik dulu. Biar kami buat kerja.”

Jenab Bedak Sejuk cebik bibir. Lenggang dalam kebaya ketatnya curi tumpuan Edham.

“Inspektor, betulkah Salbiyah dah mati? Kenapa ayah saya masih ada dalam rumah?” Adib gelisah.

Hanya Sepuluh 98

Bahkan pahala dicagar amal sahaya, mengapa kalian mahu segala percuma?

11.4.12

Hanya Sepuluh 97

Pinta patik, biar raja sederhana.

Dimulia dek budi.

Daulat Tuanku.


10.4.12

Malam Pertama: Bahagian 5

(Bahagian 1 | 2 | 3 | 4)

“Ha, tok kadi pun dah sampai. Silakan, Tuan Haji.” Lebai Raqib sambut Haji Yahya lantas mengiringnya ke ruang tamu. 

“Untuk Pak Maun, saya tak payah nak terang banyak-banyak. Mesti semua dah tahu kan?” Haji Yahya senyum sambil urut misai.

“Insya Allah.” Pak Maun kemaskan sila. Terasa kilas samping songket sedikit ketat, menekan perut bocahnya. 

“Boleh saya tahu siapa saksinya?” soal Haji Yahya.

“Saya, dan adik saya, Adib.” ujar Jalil. Masing-masing menurunkan tandatangan pada dokumen yang dihulur Haji Yahya.

“Kita mula?” 

Pak Maun angguk. Hadirin mendengar khusyuk. Hanya dengan sekali lafaz, sahihlah Pak Maun dan Salbiyah sebagai suami isteri. Sesudah doa, Salbiyah tampil dari kamar untuk upacara batal air sembahyang. Wajah Haji Yahya tiba-tiba berubah.

“Eh, kenapa ni tok? Macam nampak hantu saja?” sela Jalil.

“Oh, saya terkejut. Muda betul isteri Pak Maun. Untung dia.”

Jalil dan Haji Yahya kongsi tawa, namun tenggelam dalam riuh gebang di ruang tamu. Segalanya berbaur. Saat Pak Maun kucup dahi Salbiyah, sinar denyar kamera tak berhenti-henti hinggap pada wajah mereka.

Tanpa sedar Jalil menggertap bibir. 

Sepatutnya dahi licin itu aku yang cium. 

Adib tenung wajah Salbiyah penuh benci. 

Berani kau datang dalam keluarga kami, gantikan Mak. 

Dari pintu kamarnya, Rosyan intai dari jauh. 

Ini perempuan perampas, mahu bikin kami sekeluarga muflis.

Menjelang senja, tetamu beransur pulang. Yang tinggal cuma pengantin baru, dan tiga orang teruna Pak Maun. 

“Kami balik dulu, Pak.” Rosyan buka bicara.

“Eh, kan esok cuti lagi. Tidurlah dulu semalaman kat sini.” usul Pak Maun.

“Tak apalah, Pak.” Jalil garu kepala. “Kami pun tak nak kacau pengantin baru.”

“Kalau ya pun, jangan balik lagi. Esok boleh makan tengah hari sama-sama. Rasa air tangan mak baru kamu.”

“Kalau tak nak tidur kat sini, kamu semua boleh tidur rumah ayah. Dia pun tak ada teman.” Salbiyah muncul dari dapur dengan dulang berisi cawan dan teko serta sepiring kuih. Dia teringat bapanya, Lebai Raqib, yang sendirian di rumah. 

Ayah mesti belum tidur.

Rosyan, Jalil, dan Adib berbincang dalam renung pandang. Walau tanpa kata, segala nyata. Kalau bermalam di rumah Lebai Raqib, alamatnya bakal dikerah berjaga untuk solat malam. Zikir sampai Subuh. Mereka tak sanggup.

“Kami tidur kat rumah rehat pun boleh, Pak. Lagi pun saya memang nak ke pekan. Nak jumpa kawan.” jawab Rosyan.

“Suka hati kamulah. Yang penting, aku nak semua ada tengah hari nanti. Makan sama-sama.” 

Tiga beradik bersalaman dengan Pak Maun. Hanya Adib yang bersalaman dengan Salbiyah. Jalil dan Rosyan sudah di laman, menunggu di dalam perut kereta. Sebaik sahaja Honda City milik Rosyan melepasi pagar rumah, Pak Maun lepas keluh berat. 

“Abang, jauh termenung?” Salbiyah melabuhkan punggung di sisi Pak Maun. Kerusi rotan dengan sofa biru muda berkeriut. Tangan Salbiyah mendapatkan jari-jemari Pak Maun seraya diramas. 

Hanya Sepuluh 96

Sang banduan ditanya tentang hidangan terakhir.

"Aku mahu daging pengawal."