31.8.10

Merdeka

Lebih satu jam lewat. Tak apalah. Yang penting ada.

Setiap syiling ada dua sisi. Demikianlah halnya dengan sejarah. Satu dikarang oleh pemenang, mudah ditemukan di mana-mana. 

Satu lagi didendang sang tumpas, amat langka malah sayup-sayup gema di penjuru masa kini yang cepat benar melupakan.

Selain menghafal bait-bait dalam buku teks sejarah, molek juga kita menggali rahsia merdeka dari kisah-kisah lain. Carilah, pasti ketemu.

Bukannya apa, bimbang kalau kita hanya membaca sejarah yang (selalunya) dikarang oleh pemenang.

Salam Merdeka, Malaysia. Tanah Melayu. (Malaysia: 16 September) 

30.8.10

Nota Ramadan #21

"Sudah! Sudah! Pergi basuh muka. Ambil wuduk. Solat Asar."

Itu suara komputer riba saya. Garang juga. Geram melihat saya tersengguk di hadapannya yang memutar cakera keras tanpa henti.

Kispen 10: Itik

Saya ada bela itik. 

Tidaklah comel sangat. Tidak, tidak sama langsung dengan imaginasi anda yang barangkali menayangkan itik-itik fiksyen - Donald Duck, Daisy Duck, Scrooge McDuck, Drake Mallard, Daffy Duck, Daphne Duck, Ming Ming Wonderpet, atau Psyduck.

Tidak sama.

Itik saya biasa-biasa saja. Bulu pelepah putih. Sudu kuning berbaur perang. 

Biasalah, di kampung. Sering saja itik saya bergaul dengan itik peliharaan jiran tetangga atau entah siapa empunya.

Ketika inilah terserlah perangainya.

Pertama, itik saya amat gemar dengan lopak-lopak air kotor. Pantang terlihat tompok air hitam ibarat dakwat, deras dia terkedek-kedek. 

Nota Ramadan #20

Hari Kebangsaan (1Malaysia Menjana Transformasi - saya belum pasti apakah maksud tema ini, nanti perlu tanya Pakcik Google. Atau Jabatan Perdana Menteri.)

Lailatul Qadar.

Hari Raya.

Tentu menarik khutbah Jumaat minggu ini. 

Kispen 9: Langit

Sudah lapan puluh hari begini. Seluruh dunia kontang.

Banyak sekali haiwan bergelimpangan di pinggir lopak bersisa debu dan rekah. Merenung mata masing-masing sambil menghitung detik ajal.

Dedaun, pepohon pun begitu. Ada yang sudah tersembam ke bumi, ada yang masih bertopang akar kering menggelupas. Telanjang menahan bahang matari.

Tiada hujan walau sehari. Walau sedetik. Walau setitis. Seluruh dunia kontang.

Persatuan Negara-Negara (PNN) telah mengumpulkan semua saintis dan bomoh hujan di seluruh dunia. Buatlah apa sahaja, mintalah apa sahaja - asalkan bumi basah semula.

Turut dikerah puak-puak primitif yang masih tahu tentang tarian hujan - beramai-ramai menari di dataran terbuka. The Ground of Hope.

Sudah puas terkinja-kinja, masih begitu juga. Tiada hujan walau sedetik. Walau setitis. Seluruh dunia kontang.

Hari ini Presiden Thomas Cruise, presiden negara paling berkuasa di dunia - Ahmereka, singgah di The Ground of Hope.

Cruise berucap tentang manusia. Tentang dunia. Tentang harapan. Tentang sabar.

"Ayah, ayah dengar tak?" Tiba-tiba Jackson Cruise bingkas dari kerusi tetamu kehormat yang diatur rapi dan meluru ke arahnya.

29.8.10

Nota Ramadan #19

Bangun lewat. Sakit hati. Semalam sudah tidur awal rasanya.

Kata Thomas Jefferson, "The sun has not caught me in bed in fifty years."

Well, sadly that is not the case for me.

Nasib baik sahur. Kalau tidak tambah lagi satu sakit.

Sakit perut.

Jumpa lagi. Saya mahu masuk pejabat syaitan. Nasib baik mereka tak masuk kerja hari ini.

28.8.10

Alahan

Saya bersalah kerana mengata tentang seorang penjual kuih di bazar Ramadan. Itu saya akui. Mujurlah hanya seorang rakan umpat yang turut serta.

Aku ingat pelakon Kabuki. Rupa-rupanya penjual kuih.

Begitulah status Facebook saya semalam. Aduh. Kasihan pula gadis itu.

Jujurnya, saya tidak menganggap perbuatan mengenakan solekan tebal itu jelek. Cuma, saya ada fobia dengan perempuan sedemikian.

Sungguh. Saya jadi takut. Tak boleh lihat wajahnya lama-lama. 

Saya cari jenis fobia ini dalam kamus dan senarai fobia. Saya tanya Pakcik Google, tapi tak jumpa. Yang paling hampir - caligynephobia. Takut pada wanita cantik.

Sungguh. Saya jadi takut. Bukannya hodoh. Malah ada yang benar-benar mempesona. Tapi saya segera takut. Alih pandangan.

Ya, saya tahu. Sudah ada yang merungut. Mengapa pula tulis entri puja puji indah wanita di bulan puasa?

Saya cuma berkongsi ketakutan. Oh, dan berkongsi kecintaan.

Lebih ringkas, lebih menenangkan. Sedikit bedak asas barangkali. Mata sederhana beralit. Ulas bibir dioles pelembap.

Yang pasti menambah seri, rendah hati dan indah peribadi.

27.8.10

Nota Ramadan #18

Tiba-tiba saya terkenang saat keluar bersiar-siar pada satu malam. Bersama dua (atau tiga) rakan. Kalau tak silap saya, kami ponteng terawih.

Keluar jalan-jalan di pekan. Seksyen 14, Petaling Jaya. Ada orang jual cakera padat cetak rompak di hadapan Jaya Shopping Center. 

Ketika itu belum runtuhlah.

Kami beli beberapa keping. Salah satunya berjudul BM. Kami tonton malam itu juga beramai-ramai.

Saya lupa sama ada kami sengaja beli yang itu atau penjual yang tersilap beri. Entahlah. Saya beristighfar dalam senyum setiap kali terkenang saat itu.

Kispen 8: Tulis

(Satu empat puluh lima pagi, Tingkat 42, Menara Tinggi Melangit.)

Ke hadapan...

Ini terlalu kuno. Zaman dulu bolehlah. Lagipun mana ada orang kisah. Ke hadapan, ke belakang. Sama saja. Yang penting boleh dibaca.

Renyuk kertas.

Setakat ini sajalah pertemuan kita. Aku tak sanggup...

Ini terlalu romantis. Aku mahu tulis nota, bukan novel. Nanti terlebih selam rasa, berleluasa. Jangan mula yang tak mampu dihenti.

Gumal kertas.

Di dalam akaun Bank Kaya Raya milikku ada RM 15,326,880. Kelak semuanya kau...

Ah, mereka semua sudah banyak wang. Setakat wang simpanan ini, dijebeh saja. Ini bukan soal duit. Ini soal aku. Aku. Mesti tulis fasal aku.

Nota Ramadan #17

Jarak antara rumah saya dan tempat mengaji Quran waktu kecil-kecil dahulu dekat saja. Jalan kaki saja dengan Angah.

Dua kali seminggu kecuali hari minggu - Jumaat dan Sabtu. Mula jam tiga petang.

Guru mengaji saya tidaklah terlalu garang. Dia tok bilal masjid. 

Walau bilah rotan halus itu sentiasa saja di genggaman, tidak pernah pula rotan itu hinggap di tubuh saya, mahupun kawan-kawan.

Paling tidak pun dilibasnya lantai. Itu saja. 

Tapi dia tegas. Jam tiga petang tepat, kami mulakan dengan baca al-Fatihah beramai-ramai. Siapa yang lambat memang tidak akan naik ke rumahnya sehinggalah tamat bacaan itu.

Sudah naik, baca senyap-senyap. Tunduk. Tok bilal hanya akan menjeling. Sepatah pun tidak dimarahi pada yang lewat.

Namun jarang sekali dalam kalangan kami yang lambat. Jarang. Jam tiga, semua sudah berceratuk di ruang tamu tok bilal yang luas. 

Saya khatam Quran dengan tok bilal. Darjah empat. Mama dan Abah bangga betul waktu itu. Tapi tok bilal sudah pesan pada ibu bapa yang hantar anak belajar mengaji dengannya.

Waktu khatam nanti jangan diberinya apa-apa. Pulut kuning, ayam panggang - jangan. Kalau mahu beri wang, dia akan sedekah pada masjid.

Saya rasa berdosa setiap kali Ramadan. Jarang benar baca Quran. Usai solat, adalah sekali-sekala. Sebab itu saya gagahkan juga membaca lebih sedikit pada bulan ini.

Teringat waktu solat jenazah tok bilal. Hiba. Hiba sungguh. Suara parau dan senyum tegasnya mengasak fikir waktu saya di masjid. Empat kali takbir, empat kali pipi saya basah.

Manusia berjejal. Masjid penuh. Jemaah melimpah sampai keluar. Semua mahu bertakbir dan berdoa untuk tok bilal yang ke dunia abadi.

Betapa besar rahmat Tuhan pada mereka yang tegar menyebar keagungan kalam-Nya. 

Ulang tahun turunnya al-Quran ini saya titipkan doa buat arwah tok bilal. Semoga rohnya sentiasa dalam lindungan yang Maha Mengasihani.

Al-Fatihah.