27.8.10

Kispen 8: Tulis

(Satu empat puluh lima pagi, Tingkat 42, Menara Tinggi Melangit.)

Ke hadapan...

Ini terlalu kuno. Zaman dulu bolehlah. Lagipun mana ada orang kisah. Ke hadapan, ke belakang. Sama saja. Yang penting boleh dibaca.

Renyuk kertas.

Setakat ini sajalah pertemuan kita. Aku tak sanggup...

Ini terlalu romantis. Aku mahu tulis nota, bukan novel. Nanti terlebih selam rasa, berleluasa. Jangan mula yang tak mampu dihenti.

Gumal kertas.

Di dalam akaun Bank Kaya Raya milikku ada RM 15,326,880. Kelak semuanya kau...

Ah, mereka semua sudah banyak wang. Setakat wang simpanan ini, dijebeh saja. Ini bukan soal duit. Ini soal aku. Aku. Mesti tulis fasal aku.

Kerumuk kertas.

Ini semua salahku. Aku memilih untuk berdusta dan curang. Kau terlalu lama terseksa. Biarlah aku...

Jangan, jangan menyesal. Ini jalan yang kupilih. Mesti yakin. Mengapa perlu salahkan orang lain? Ini bukan surat taubat.

Peronyok kertas. Kerling arloji. Ah, aku sudah terlambat. Persetanlah. Tulis apa saja yang aku mahu tulis. 

Datuk Shar Rijal membuka laci. Sepucuk Smith & Wesson kaliber 45. Bagaimana kalau tersasar? 

(Enam tiga belas pagi, Laman Utama, Menara Tinggi Melangit)

Endang hampir pitam. Penyapu lidi terlepas dari genggaman. Dia terjelepok. Kaget. 

Sekujur tubuh kaku terjengkang di hadapannya. Cebis-cebis merah jambu berpalut merah bercempera. Darah merah. Darah hitam. 

Endang nampak sekeping kertas kuning cair di genggaman si mati. Dalam ketar-ketar, Endang ambil juga. Endang buka dan baca.

Ini hukuman Tuhan. Aku curang pada isteri. Aku mufliskan syarikat. Aku hantar anak-anak ke neraka dengan wang. Kepada yang menemukan aku, katakan aku tergelincir dari tingkap. Katakan aku mencekik leher sendiri.

Endang telefon polis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan