5.9.10

Kispen 17: Dengar

"Abang, Kaisar belum sampai lagi. Esok dah raya." Jamilah genggam tangan Rasyad kuat-kuat. 

"Dia yang pilih jalan itu, Milah. Salah abang juga menghalau dia dulu." Rasyad tunduk.

"Kalau dah hisap benda tu, ibu bapa mana yang tak marah, bang? Saya faham kenapa abang buat begitu. Cuma, saya rindu sangat dengan dia. Dah dua tahun, tak ada khabar berita." Kolam mata Jamilah mulai bergenang.

"Sabar, Milah. Kita doa sama-sama, moga Kaisar selamat. Moga Tuhan buka pintu hati dia untuk pulang."

Jamilah angguk. Kepalanya longlai mencari bahu Rasyad.

"Mak! Jom berbuka!" Nyaring suala Sheila dari dapur. Jamilah kerling Rasyad, isyarat turun bersama berbuka.

Di dapur, Sheila tangkas. Kata Rasyad, saling tak tumpah Tok Wan. Masak apa saja, semuanya boleh. Jamilah bangga dengan anak sulungnya.

Jamilah buka tudung saji. 

Ayam masak tomato. Daging goreng lada hitam. Kerabu pucuk paku. Kailan dengan sos tiram. Kecur liur. Masing-masing berteleku sambil tunggu azan. 

"Assalamualaikum!" Sayup dari pintu hadapan rumah. Jamilah panjangkan leher. Sheila bingkas, luru ke ruang tamu. Buka pintu.

"Ya Allah! Mak! Tengok siapa yang balik, mak! Mak!" Kalau saat itu azan, sudah pasti ditenggelami jerit Sheila.

Jamilah gemuruh. Debarnya Tuhan yang tahu. Dia kejap kaku. Tak mampu berdiri. 

Kaisar muncul di dapur dan merebut tangan Jamilah. Dia menangis semahu-mahunya. Entah berapa kali dia kucup tangan Jamilah. Azan bersipongang.

"Yang, ajak Kaisar makan. Tak baik pula lewat berbuka." Rasyad sentuh bahu Jamilah.

Sunyi. Masing-masing tenggelam dalam syahdu dan nikmat berbuka.

"Betul tak saya kata tadi? Ini semua berkat sabar awak. Kita doa banyak-banyak, akhirnya Kaisar pulang juga. Tuhan buka pintu hatimu, Ngah." Suara lembut suaminya menenangkan. Jamilah angguk.

"Mak? Mak? Mak dengar tak Along cakap apa tadi?"

"Apa dia?"

"Kalau boleh kita ke kubur ayah malam ini. Boleh berlama-lama sedikit. Esok pagi-pagi sudah mahu ke rumah Tok Wan. Kalau lambat, jalan sesak."

1 ulasan: