16.10.13

Kispen 137: Ruang

Pemuda itu masih berkira-kira. Nasi di pinggannya hanya tinggal sejemput dua. Sotong cili ala Thai sudah selesai digomol. Yang tinggal hanya sisa bendi dan jalur bawang besar. Ayam mentega juga hampir habis.

Seperti dia, gadis di meja yang berhadapan dengannya juga keseorangan. Rambut ikal separas bahu sekali-sekala disebak. Mata bundar dilindungi kaca mata jernih. Jejari mulus, tiada satu pun yang bercincin. Dia merenung skrin telefon yang tidak henti-henti digeser ibu jari, sambil terkadang senyum lantas terbit lesung pipit dalam persis Jennifer Garner.

Manis. Terlalu manis.

Hampir sejam berlalu, gadis itu masih bersendiri. Tiada tanda dia resah menunggu. Dia juga tidak memanggil pelayan untuk memesan makanan.

Aneh. 

Si pemuda nekad. Kasihan, gadis itu keseorangan. Apa salahnya dipelawa duduk bersama? Sekadar jadi teman bual sambil makan malam. Bukannya ada apa-apa.

Pemuda itu berdiri sambil membetulkan hujung kemeja yang sedikit kumal. 

Ketika itu jugalah pintu restoran terkuak. Seorang lelaki bertubuh tegap berjalan tergesa-gesa menuju ke arah meja gadis berlesung pipit.

"Sorry, sayang. Abang ada urgent meeting tadi. Nak call tapi telefon habis bateri. Sorry."

"It's fine. Jom makan."

Pasangan itu berdakapan seketika sambil bertukar pagut kucup.

Pemuda itu kembali duduk. Ketul-ketul ayam mentega ditatap sepi. 

Ayam dalam pinggan ini pun berteman.

Dia angkat tangan dan pesan satu set nasi lagi, kali ini diiring udang goreng.

Kispen 136: Waras

Fazrul dan Johan mundar-mandir. Bas yang ditunggu masih belum tiba. Sambil kongsi hirup teh ais perasa pisang Cool Blog, mereka sama-sama memerhati seorang lelaki yang juga mundar-mandir seperti mereka.

Bezanya, dia tidak berbaju dan cuma bercelana pendek. Cuma kaki kiri tersarung selipar Jepun. Kaki kanan telanjang, tenang sahaja melangkah dan memijak tar jalan yang memijar.

Lelaki separuh abad itu sedang menggaru kepala berambut goseng, sekali-sekala berteriak tentang Tuhan yang menghukum dirinya.

"Kau pernah dengar pakcik tu cakap apa?" soal Johan. Teh ais dihirup dalam-dalam.

"Pernah. Macam-macam. Dia kata Tuhan hantar dia ke dunia untuk tolong orang. Dia cari orang yang Tuhan suruh dia tolong. Kadang-kadang dia cari isteri dia. Katanya ada syaitan datang rumah dia, bakar rumah lepas tu culik isteri dia. Dia bergusti dengan syaitan tapi dia kalah," Fazrul ketawa sinis.

"Kenapa kau ketawa?"

"Eh, kelakar kot. Kau tak rasa kelakar? Biarlah, orang gila macam pakcik tu memang cakapnya merapu tak tentu hala."

Johan tersenyum. Gilirannya bikin raut wajah sinis.

"Kenapa?" Fazrul keliru.

"Sekurang-kurangnya, pakcik tu tak marah kalau orang tak setuju cakap dia. Kalau kita tak percaya pun, dia tak kisah. Dia tak paksa kita percaya apa yang dia percaya. Sekarang siapa gila?"

"Sudahlah," Fazrul mengeluh. "Bas dah sampai."

Kispen 135: Pahit

"Cappuccino siap, encik."

"Ini saya punya?" soal pemuda yang masih segak berkemeja walau petang sudah lanjut. Dia baru pulang dari mesyuarat panjang. Perlu dos kopi sebelum memandu pulang.

"Ya," gadis barista di kaunter McCafe tersenyum manis. Seragam hitam yang membalut tubuh menjelaskan lagi kalung halus emas yang tergantung dari leher, menjelajah dada.

Pemuda itu terus hirup cappuccino di kaunter.

"Ish, pahitnya," dia membelingas ke arah gadis barista. Dahinya berkerut marah.

"Gula ada kat tepi, encik," suara gadis barista masih tenang. Ibu jarinya lentik dituding ke arah kotak putih di hujung kaunter yang berisi tiub gula pasir, gula perang, air gula, bahkan serbuk vanila dan serbuk coklat.

"Kenapa tak letak terus gula dalam ni?" pemuda itu masih bersuara tinggi.

"Sebab bukan semua orang nak mampus kena kencing manis macam kau."

Tapi itu cuma jawapan gadis barista di dalam hati. Wajahnya masih tersenyum sambil menerima pesanan pelanggan lain yang beratur di kaunter.

15.10.13

Kispen 134: Bunga

Adzlan tergopoh-gapah mendaki tangga sambil setiap langkah diselang maki dan cerca terhadap sistem lif yang memilih hari ini untuk rosak.

Nasib baik destinasinya tingkat empat saja. Peluh semakin berbintil di dahi namun dia tidak peduli. Biar dia lencun, kusam wajah. Yang penting, jambangan bunga di tangan rapi terjaga.

Dia tidak mahu terlewat kerana selepas pelanggan ini, ada satu lagi lokasi yang menunggu. Seorang lagi pelanggan sedang menanti.

Tiba di tingkat empat, Adzlan topang lengan di dinding sambil kumpul semula nafas. Dia lihat pintu kaca di hadapannya. Pelekat huruf disusun cermat, melintang. 

Nama penyewa aras terpampang.

Haziq & Co.

Adzlan angkat jambangan bunga agar lebih jelas dilihat penyambut tetamu. Selang beberapa saat, bunyi bip jelas kedengaran, tanda pintu sudah boleh dibuka.

"Ada bunga untuk..." Adzlan semak buku catatan kecil yang diseluk keluar dari kocek seluar. "Cik Zuratul Ain."

"Letak sini. Sain buku," penyambut tetamu langsung tidak menoleh ke arah Adzlan ketika dia menghulur buku log surat-menyurat. Matanya tertancap di skrin komputer.

Ketika Adzlan menconteng lajur tarikh di buku log, selintas aroma paling wangi dikesan dari belakang.

"My lilies!

Adzlan menoleh ke belakang. Tercegat di depan matanya sang peneriak. Wanita sederhana tinggi anggun di dalam blaus korporat putih dengan kemasan minimalis rona hitam di hujung lengan baju. Seluar labuh rona hitam hampir menutup sepatu tumit tingginya.

Sedetik Adzlan diselubung khayal.

"Mana tau bunga ni Cik Zuratul punya?" soal penyambut tetamu.

"Joyce, hari ni kan birthday saya. Mak memang tiap-tiap tahun hantar bunga," Zuratul ambil jambangan lili putih tanpa tangguh seraya didekatkan ke wajah. Hidung runcingnya menghirup tiap zarah harum, diserap ke seluruh tubuh.

"Terima kasih ya," suara parau Adzlan mencelah. Pen disisip semula di kulit hadapan buku log. Masa untuk kembali ke van. Tugasnya di sini sudah selesai.

"Nanti dulu," ujar Zuratul. 

Langkah Adzlan terhenti.

"Ya cik?" Adzlan reguk liur. Uja dan debar sederap berkawad dalam hati.

"Siapa nama awak?"

"Adzlan."

"Awak pernah dapat bunga?"

Kening Adzlan semerta berkerut. Aneh. Soalan ini tidak pernah ditanya sesiapa sepanjang tiga tahun dia bekerja di Amirah Florist. Yang dia tahu, kirim dan pulang. Dia cuma pengirim. Tidak ada sesiapa yang pernah ambil pusing.

"Tak...tak pernah. Saya tukang hantar saja, cik."

Zuratul berpusing membelakangi Adzlan dan mencabut sekuntum lili dari jambangan. 

"Nah, ni awak punya."

Adzlan terkelu. Dia menerima bunga. Dia menerima senyum paling manis yang pernah dilihat seusianya. 

"Te...terima kasih, cik Zuratul," balas Adzlan.

"Zaza. Panggil saya Zaza."

Penyambut tetamu yang menyaksikan setiap babak masih terlongo.

"What was that, Cik Zuratul?"

"He's cute. Awak mana nampak. Bila lawyer muda yang hot masuk ofis, baru nak angkat mata."

Sementara itu, Adzlan menuruni tangga. Kali ini dia tidak gopoh. Langkahnya perlahan. Kad nama yang diselit kemas di dalam salah satu kelopak lili itu dibuka. Ada alamat dan nombor telefon.

Zaza. Panggil saya Zaza.

Saban hari Adzlan cuma mengirim cinta dengan bunga. Hari ini ada sekuntum, paling wangi dan mulus, di tangannya.


Hanya Sepuluh 157

Tidakkah aneh, milik siapa nama Maha Pencipta ditentukan sang hamba?

14.10.13

Hanya Sepuluh 156

Bahkan ulat sampah mengenal kapitalisme. Tiap sisa bungkusan punya jenama.

13.10.13

Kispen 133: Lena

Firza tercegat sambil cekak pinggang. Isi kandungan beg galasnya diteliti sekali lagi. Dia mahu pastikan tidak ada apa-apa yang tertinggal.

Sudah jadi tabiat Firza untuk memuatkan segala-galanya dalam sebuah beg galas saja. Dia tidak mahu dibebankan dengan beban bukan-bukan.

Mengembara maknanya mengenal dunia baru, bukannya mengheret dunia sedia ada bersama-sama.

Kali ini beg galasnya jauh lebih ringan. 

Komputer riba dan pengecas, telefon bimbit dan pengecas, pasport, dompet, wang, pil alahan kekacang, sepasang pakaian dalam, sehelai baju T, sepasang stokin, set alat solek dan pembersih diri.

Dia puas hati seraya ke dapur dan menguak pintu peti sejuk. Dua pek Snickers diambil dari rak peti sejuk paling atas dan disumbat ke dalam poket seluar.

Sebelum meninggalkan dapur, Firza capai botol air mineral di kaunter dapur.

Dia berdiri semula di ruang tamu dan menarik nafas dalam-dalam. Dia pasti ini yang terbaik untuknya. 

Jam tangan dikerling. 

Pukul 2:07 pagi. Masanya sudah tiba. Firza pejamkan mata dan tarik nafas sekali lagi. Tubuhkan sedetik menggeletar.

"Datang sini aku cakap!"

"Ya bang. Sa...saya datang ni. Sa...saya nak ambil air," tangan Firza menggigil saat dia tuang jus oren ke dalam gelas. Empat pil tidur yang diselit kemas di bawah penutup balang rempah-ratus diambil. Satu persatu kapsul pil tidur yang bertakup dipisahkan. Debu-debu lena mula meresap dalam minuman. Ini saja yang dia mampu beli di farmasi.

Firza kembali ke ruang tamu dengan dulang berisi gelas itu.

"Minum, bang."

"Hmmm."

Firza buka mata semula. 

Tiap reguk Ghani beberapa jam lalu bagai gema genta gembira baginya. Dengkur Ghani makin lantang di kamar. Sudah lama dia lena, bahkan membatu.

Firza masih ingat saat dia curi-curi masuk ke kamar tidur tadi. Ghani tertiarap dengan muka menyembam bantal. Dia tuang petrol perlahan-lahan di sekeliling katil bahkan di seluruh lantai tingkat atas. Kemudian disambung ke tangga pusar dan lantai dapur. Cuma ruang tamu dibiarkan kosong kerana dia bersiap di situ.

Masa untuk pergi. Beg galas kini di bahu.

Firza ambil botol berisi petrol yang terakhir. Alir kuning cair dituang rapi dalam garis lurus dari sofa sehinggalah ke pintu utama. Fiza ambil segumpal benang tebal dari dalam beg galas lalu direndam ke dalam lopak petrol di muka pintu.

Pemetik api dinyala. 

Sumbu dendam dibakar.

Saat api marak, Firza menutup pintu. Dia berjalan tenang keluar dari laman hadapan banglo mewah dan mendapatkan teksi yang telah lama menunggu. 

"Cukup?"

"Cukup."

Wang berpindah tangan.

"KLIA ya, kak?"

"Ya."

Sambil mengusap bincul yang masih belum surut di pipi dan luka yang belum serat di ekor mata, Firza kenang semula setiap detik tubuhnya dibaham kegilaan Ghani. 

Firza pergi dulu. Jaga diri, bang.

Setahun, Selamanya

Apa mungkin kupinta lagi
Selain setia seorang suri
Mustahil kuingin bidadari
Andai dia di sisi
'Syukur.' Sepatah ini buat Ilahi

Maka, apa selepas ini?

Aku mahu kita abadi
Membina masa depan pasti
Ini janji
Nawaitu bersaksi Ilahi

12.10.13

Hanya Sepuluh 155

"Ke mana kalian gopoh berlari laju?"

"Berlumba siapa lebih Melayu."

Hanya Sepuluh 154

Hartawan memang bisa punya segala.

Namun di kuburan, telanjang juga.