14.10.13

Hanya Sepuluh 156

Bahkan ulat sampah mengenal kapitalisme. Tiap sisa bungkusan punya jenama.

13.10.13

Kispen 133: Lena

Firza tercegat sambil cekak pinggang. Isi kandungan beg galasnya diteliti sekali lagi. Dia mahu pastikan tidak ada apa-apa yang tertinggal.

Sudah jadi tabiat Firza untuk memuatkan segala-galanya dalam sebuah beg galas saja. Dia tidak mahu dibebankan dengan beban bukan-bukan.

Mengembara maknanya mengenal dunia baru, bukannya mengheret dunia sedia ada bersama-sama.

Kali ini beg galasnya jauh lebih ringan. 

Komputer riba dan pengecas, telefon bimbit dan pengecas, pasport, dompet, wang, pil alahan kekacang, sepasang pakaian dalam, sehelai baju T, sepasang stokin, set alat solek dan pembersih diri.

Dia puas hati seraya ke dapur dan menguak pintu peti sejuk. Dua pek Snickers diambil dari rak peti sejuk paling atas dan disumbat ke dalam poket seluar.

Sebelum meninggalkan dapur, Firza capai botol air mineral di kaunter dapur.

Dia berdiri semula di ruang tamu dan menarik nafas dalam-dalam. Dia pasti ini yang terbaik untuknya. 

Jam tangan dikerling. 

Pukul 2:07 pagi. Masanya sudah tiba. Firza pejamkan mata dan tarik nafas sekali lagi. Tubuhkan sedetik menggeletar.

"Datang sini aku cakap!"

"Ya bang. Sa...saya datang ni. Sa...saya nak ambil air," tangan Firza menggigil saat dia tuang jus oren ke dalam gelas. Empat pil tidur yang diselit kemas di bawah penutup balang rempah-ratus diambil. Satu persatu kapsul pil tidur yang bertakup dipisahkan. Debu-debu lena mula meresap dalam minuman. Ini saja yang dia mampu beli di farmasi.

Firza kembali ke ruang tamu dengan dulang berisi gelas itu.

"Minum, bang."

"Hmmm."

Firza buka mata semula. 

Tiap reguk Ghani beberapa jam lalu bagai gema genta gembira baginya. Dengkur Ghani makin lantang di kamar. Sudah lama dia lena, bahkan membatu.

Firza masih ingat saat dia curi-curi masuk ke kamar tidur tadi. Ghani tertiarap dengan muka menyembam bantal. Dia tuang petrol perlahan-lahan di sekeliling katil bahkan di seluruh lantai tingkat atas. Kemudian disambung ke tangga pusar dan lantai dapur. Cuma ruang tamu dibiarkan kosong kerana dia bersiap di situ.

Masa untuk pergi. Beg galas kini di bahu.

Firza ambil botol berisi petrol yang terakhir. Alir kuning cair dituang rapi dalam garis lurus dari sofa sehinggalah ke pintu utama. Fiza ambil segumpal benang tebal dari dalam beg galas lalu direndam ke dalam lopak petrol di muka pintu.

Pemetik api dinyala. 

Sumbu dendam dibakar.

Saat api marak, Firza menutup pintu. Dia berjalan tenang keluar dari laman hadapan banglo mewah dan mendapatkan teksi yang telah lama menunggu. 

"Cukup?"

"Cukup."

Wang berpindah tangan.

"KLIA ya, kak?"

"Ya."

Sambil mengusap bincul yang masih belum surut di pipi dan luka yang belum serat di ekor mata, Firza kenang semula setiap detik tubuhnya dibaham kegilaan Ghani. 

Firza pergi dulu. Jaga diri, bang.

Setahun, Selamanya

Apa mungkin kupinta lagi
Selain setia seorang suri
Mustahil kuingin bidadari
Andai dia di sisi
'Syukur.' Sepatah ini buat Ilahi

Maka, apa selepas ini?

Aku mahu kita abadi
Membina masa depan pasti
Ini janji
Nawaitu bersaksi Ilahi

12.10.13

Hanya Sepuluh 155

"Ke mana kalian gopoh berlari laju?"

"Berlumba siapa lebih Melayu."

Hanya Sepuluh 154

Hartawan memang bisa punya segala.

Namun di kuburan, telanjang juga.

Kispen 132: Masam

"Kau nampak tadi?" Rudi geleng kepala sambil memasukkan semula kredit kad ke celah dompet.

"Nampak apa?" Alef terlongo. Dia masih sebu. Makan percuma, habis dilahap segala nama dalam menu.

"Perempuan yang jaga kaunter tadi. Masam betul muka dia. Kalau ya pun penat kerja, senyumlah sikit. Hormat pelanggan. Ini tidak. Muncung mulut dia tu, boleh simpul tau?" 

Rudi tekan punat di alat kawalan kereta. Bunyi bip menjerit dua kali. Malam ini mereka makan besar sesudah selesai bertungkus-lumus menyiapkan kertas cadangan selama dua minggu. Petang tadi Rudi dan Alef dapat berita gembira. Projek mereka lulus. 

Jom makan. Aku belanja! Itu laungan pertama Rudi di pejabat tadi. 

"Perempuan jaga kaunter?" Alef tarik tali pinggang keledar. Tegang, melingkar perut bocah.

"Ya. Ya rabbi, kau tengok apa ha tadi? Semua benda kau tak perasan."

"Rudi, kau yang tak perasan."

Kali ini Rudi yang terlongo. Alef mula terkernyih sambil geleng kepala.

"Rudi, Rudi."

"Kenapa?"

"Perempuan jaga kaunter tu Ida. Awek lama kau. Rambut dia saja yang pendek. Lain semua sama. Kau hulur selamba kredit kad tadi kan? Tak tegur pun dia. Mana dia tak muncung."

"Tapi..."

"Ya, tapi kau dating dengan dia dulu sebulan saja kan? Aku tau. Dah. Sekarang kau hantar aku pergi LRT. Nanti tak sempat pula last train," Alef pegang bahu Rudi sambil mula tertawa. 

Sambil mengundur kereta keluar dari ruang parkir, Rudi masih membisu. Ketawa Alef belum surut. Saat kereta dibrek sejeda, hiasan rantai kunci replika buaya yang tergantung di cermin pandang belakang bergoyang-goyang.




11.10.13

Kispen 131: Kemis

Hari ini dia terlewat sekali lagi ke pejabat. Langkahnya dipercepat. Dia cuba menyusup sepantas mungkin di celah jejal manusia yang sama-sama menyeberang jalan di jejantas.

Ekor matanya sempat menangkap jujuk pengemis dan peminta sedekah di pinggir jejantas. Rencam rupa, seribu gaya. Ada yang meriba anak kecil yang masih terlena, ada yang kudung dengan balutan kusam hamis separas lutut, ada yang meratib ayat-ayat suci seiring gemerincing syiling di dalam kole yang teroleng-oleng.

Dia pancing keluar telefon bimbit dari dalam beg sandang. Satu mesej Whatsapp dikirim kepada rakan sekerja. 

Langkahnya dipercepat. 

Tiba-tiba, dia terasa kaki seluar ditarik. Dia memandang ke sisi lalu seorang remaja lelaki tengadah. Matanya redup. Ada bekas plastik di tangannya.

"Abang, abang pu---"

"Tak payah! Kau ni minta sedekah apa? Badan sihat, anggota cukup. Nak mengemis juga?"

Belum sempat sang pengemis membalas, dia merengus marah dan berlalu.

Sang pengemis cuba memanggil namun suaranya tenggelam dalam riuh kota dan rusuh manusia. Dia melambai sambil menuding jari ke lantai jejantas. 

Sebuah dompet tersadai, tanpa sedar dicicirkan.

Hanya Sepuluh 153

Menyebar agama, ertinya berbaik sesama manusia. Bukan menghukum, mendabik mulia.

Hanya Sepuluh 152

Andai membunuh tiada berdosa, siapakah mangsa pertama terlintas di mindamu?

10.10.13

Hanya Sepuluh 151

Tembak dahulu sebelum soal.

Umpama ke neraka sebelum ditimbang amal.