8.10.13

Kispen 130: Sendiri

Buat kesekian kali, dia berada di Starbucks. Entah apa yang benar-benar menariknya ke sana. Barangkali kejayaan penjenamaan kopi mahal. Atau para barista yang belum pernah menghulur senyum termanis setiap kali dia memesan kopi. Atau ketagihan kafein yang enggan surut.

Atau sebenarnya, dia tidak perlu memesan. Dia hanya perlu tampil ke kaunter dengan anggukan tunggal dan senyum. Mereka sudah tahu. Berkali-kali dia minum di situ.

Caramel Macchiato. Grande.

Dia akan ambil tempat di penjuru. Sudut paling hujung. Dua sofa rendah saling menghadap, dipisahkan oleh meja kayu bulat. Sengaja dia meletakkan beg galas di sofa satu lagi, agar tenang dia bersendiri.

Di situ dia bisa melihat segala-galanya. Menikmati kopi sambil, ah, jangan begitu. Jangan hina minuman. Caramel macchiato bukan sekadar 'kopi'. Kandungannya penuh maruah dan rinci.

Dua sudu besar sirap vanila 
(yang dibikin dari dua cawan air, satu setengah sudu gula, dan satu sudu teh ekstrak vanilla)

Setengah cawan espreso segar

Secawan susu yang distim, lengkap buih

Tiga hingga empat sudu sos karamel

Dia pernah cuba buat sendiri di rumah, namun nikmatnya tidak sama dengan menghirup minuman itu di dalam gelas putih berlogo siren, duyung berekor dua dalam mitos Yunani.

Di situ dia bisa melihat segala-galanya. Penggodam yang sudah lama menghadap skrin hitam bertulisan hijau dengan tiga gelas besar kopi yang sudah kosong, dua pelajar mengulangkaji untuk SPM dengan telinga disumbat bekalan lagu dari iPhone, sepasang kekasih berbincang tentang bisnes atas talian sambil sibuk menuding jari pada komputer riba, sekumpulan anak muda yang sunyi berbual dengan telefon masing-masing.

Ini generasi muda. Generasi anak-anaknya.

Anak-anak.

Anak-anak yang sibuk mendesak dia menyiapkan wasiat yang kemas dan teliti. Jangan ada yang tertinggal selaku waris. Jangan ada walau sesen pun tiris.

Dia yang mengharung cunggang-cunggit jalan niaga. Anak-anak cuma tadah saja. Sakit peningnya tiada siapa yang cakna, melainkan jururawat yang ditempah khusus dari Indonesia.

Dia hirup caramel macchiato sekali lagi sambil tunggu temujanjinya tiba.

Dia pasti akan tiba, kerana rencam pil sengaja tidak ditelan malam tadi. Malah tengah hari ini juga ditinggalkan di kamar sebelum dia keluar minum kopi.

Dia mahu tamat di sini, kerana di sini saja dia mampu melihat warna manusia tanpa rasa jauh hati dan hiba. Tiada siapa yang peduli, namun semuanya penagih kopi. 

Seperti dia.

Bagai dijangka, temujanjinya tiba. Degup bertukar robek dan carik paling pedih pada jantung. Dia atur nafas namun segala kini cacamarba. Dadanya bagai dihempap seisi dunia, digenggam dengan telapak tangan yang menggigil.

Saat dia tersungkur dari sofa, dia tersenyum.

Sempat dia terdengar jeritan dari para barista manis yang meluru ke arahnya.

Barangkali inilah yang menariknya ke sana.

Kerana saat Izrail menyapa, ada yang sudi menemani hari akhir sang tua.

Hanya Sepuluh 149

"Kenapa awak tak minum?"

Dia terlupa cawan mana yang diracun.

Kispen 129: Tari

Dia tahu, sang gadis terlalu malu untuk memandang. Masakan tidak, dewan tari yang sejak tadi sesak kini lengang.

Yang tinggal cuma mereka berdua.

"You're good," ujar Rehman.

"Dah lama tak menari macam ni," sang gadis tersipu-sipu namun sempat matanya memanah tepat wajah Rehman.

Mata coklat sang gadis itu segera membuat Rehman merangkul pinggang sang gadis lebih erat. Dia atur langkah tari dengan lebih perlahan. Itu petua guru tarinya.

Jangan gopoh menekuni rentak irama andai dalam rangkulanmu seorang wanita sederhana yang baru ingin mengerti soal dansa. Dengan langkah yakin dan renung mata, pandulah dia.

Gaun rona perang muda itu cocok benar dengan tubuh genitnya. Sekali-sekala jari Rehman menggesel manja bahu sang gadis yang sedikit bersinar disuluh lampu limpah dewan tari.

Sang gadis senyum setuju. Lesung pipit muncul serentak pipi memerah.

"Awak suka lagu ni?" soal sang gadis.

Rehman memejamkan mata dan sekali lagi melarutkan butir nada dalam minda.

The Closer I Get To You nyanyian Roberta Flack itu tidak pernah gagal sebagai lagu pengiring tari yang utuh.

"Ini lagu favorite saya."

Ting! Ting! Ting!

Rehman merengus. Bukan masanya loceng itu berbunyi.

Ting! Ting! Ting!

Rehman terpaksa juga pergi. Dia kucup dahi sang gadis lama-lama.

"Awak tunggu sini. Kejap lagi saya datang," ujar Rehman sambil menekan butang kuasa pembesar suara yang masih berdendang.

Rehman keluar.

"Bang, saya punya dah siap? Dry cleaning. Saya hantar semalam. Lupa bawa resitlah," seorang pelanggan wanita lewat 40-an tercegat di kaunter.

"Baju kurung. Tiga kan? Dah. Dah. Nanti saya ambil."

Rehman masuk semula ke dalam. Sambil cari baju pelanggan di rak, dia kerling ke arah dinding. Gaun perang digantung sebentar di situ.

Nanti kita sambung menari ya, sayang?

6.10.13

Hanya Sepuluh 148

Kamu mencari penyimpan rahsia?

Ceritakan saja segalanya pada sang pelupa.

29.9.13

Uptown

Saya sentiasa kagum setiap kali saya singgah ke Uptown. Tidak kisahlah sama ada di Shah Alam, Damansara, Setapak, atau di mana-mana saja.

Saya kagum dengan tema dan rasa yang tersebar di serata Uptown.

Tentang penjaja warna dan rupa barangan palsu, agar kita dapat terus bermimpi mampu bergaya dan menjadi hamba jenama.

Kita. Maksudnya, termasuk saya.

28.9.13

Kispen 128: Loceng

Zalifa menjeling rumah agam di seberang jalan buat kesekian kali. Sudah jadi rutinnya untuk ke kelas tuisyen malam. Rumah masyhur itu akan dipandang walau sekilas.

Dia terlihat seorang lelaki tinggi lampai yang tertinjau-tinjau di pagar rumah agam sambil gigih menekan loceng yang dilekap di pagar batu.

Kasihan, bisik hati Zalifa.

"Bang, rumah tu rumah tinggal. Tak ada orang." Zalifa melaung dari seberang jalan.

Lelaki itu menoleh ke arah Zalifa.

"Saya tau. Saya orang terakhir yang duduk rumah ni. Saja datang singgah. Itu adik saya, ada kat belakang awak."

Langkah Zalifa terbeku. Sebaik sahaja dia terdengar tawa gadis kecil di belakang, jantungnya berhenti berdegup.

27.9.13

Hanya Sepuluh 147

Facebook, dibina taman penyubur benci.

Direstu dengan tegak ibu jari.

Rasa Selamat Soya Panas

Mata saya masih enggan lelap sesudah pulang dari sesi gebang panjang di Kopitiam Pak Li semalam. Jadi saya fikir, apa salahnya mengisi ruang blog.

Entah dari mana semangat menulis ini diraih kembali. Ah, dua tiga hari saja. Nanti berhabuk semula Salah Taip ini. Jangan risaulah.

Bersama teman-teman, lama juga kami berkongsi tawa dan cerita. Macam-macam. Sambil jamu selera dan memuaskan tenggorokan dengan rencam minuman.

Saya cuma pesan soya panas. Yang itu-itu sajalah saya pesan kalau bersantai di Kopitiam Pak Li. Kenapa? Sebab saya rasa selamat. Pasti sedap. Pasti puas. 

Teman-teman pun begitu. Walaupun ada berpuluh-puluh tempat makan di sekitar Seksyen 7 Shah Alam, Kopitiam Pak Li juga yang dipilih.

Kerana rasa selamat. Di situ ada hidangan kegemaran. Tak mungkin majal hinggap sesudah hidangan tersedia di depan mata. Mustahil kurang rasa atau hambar dek kurang garam-gula.

Malangnya, dalam hidup pun saya selalu begitu. Pilih sesuatu yang saya rasa selamat. Yang tentu hasil pulangan.

Apa itu petanda pengecut? Tabiat sang baculkah begitu?

Saya tidak tahu. 

Yang saya tahu, soya panas memang paling cocok dijadikan regu sembang. Tak kering tekak bergebang, manisnya terkenang-kenang.

26.9.13

Kispen 127: Ulangtahun

Kasyful periksa jam tangan sekali lagi. Lima minit lagi, tepat jam lapan malam. Dia tidak mahu terlewat. Mata Kasyful bergilir-gilir menekuni jarum jam dan penyambut tetamu restoran yang sejak tadi tegak berdiri di belakang rostrum sambil mengekalkan senyum termanis.

Masa untuk masuk. Dia tidak mahu terlewat.

"Good evening, sir. Do you have any reservation?" soal penyambut tetamu.

Kasyful tersenyum. Barangkali kerana kulitnya cerah kemerahan dengan uban lebat yang disisir kemas ke sisi kiri kepala menjadikan dirinya kelihatan seperti orang Inggeris. 

Atau kerana ini restoran mahal. Jatuhlah martabat andai penyambut tetamu dan pelayan berbahasa Melayu.

"Ada. Kasyful. Kasyful Sahlan."

Penyambut tetamu tanpa tangguh membelek skrin komputer di rostrum. 

"Oh, here we are. Table for two. If I may know, sir, how about your date?" penyambut tetamu kembali mengalih pandang kepada Kasyful sambil jari telunjuk kanan masih melekap pada skrin komputer.

Kasyful hampir tertawa. Sesudah dia berbahasa Melayu pun, penyambut tetamu ini masih belum mahu mengalah. Butir leliur hasil slanga hibrid Melayu-Inggeris-Amerika yang terpercik dari mulut penyambut tetamu hampir sahaja hinggap ke muka.

"Dia datang sekejap lagi. Boleh saya masuk?"

"Of course, sir. Of course."

Kasyful diiring sehingga tiba di meja yang ditempah. Malam ini sunyi. Cuma ada empat meja yang terisi dengan pengunjung, termasuk meja Kasyful.

Tongkat Kasyful disandar di kerusi. Dia tanggalkan cermin mata lalu hidung digenyeh. Pelayan muncul namun Kasyful masih belum mahu memesan makanan. Yang ditunggu belum tiba, apa dirusuh menjamu selera?

"Sekejap lagi saya order ya. Terima kasih."

Cermin mata Kasyful disarung semula. Tiba-tiba ada lengan merangkul lehernya dari belakang.

"Dah lama abang tunggu?"

Kasyful tersenyum sambil rela menerima kucupan di pipi. Bau parfum semerbak jadi isyarat sang pengucup. Yang ditunggu sudah tiba.

Isterinya, Adawiyah.

"Saya tak suka pelayan kat sini. Semuanya berlagak nak jadi orang putih," bukan sengaja Kasyful mahu menyambut ketibaan isteri dengan rungut-sugul, namun dia tahu Adawiyah sentiasa gembira melayan karenah cerewetnya.

"Abang yang ajak saya makan kat sini. Bukan salah saya. Lagi pun abang kena faham, hotel ni pun orang putih yang buat tau? Jadi semua orang yang ada kat dalam ni kena jadi orang putih juga. Mata kena biru," Adawiyah senyum manja sambil hulur tangan menyeberangi meja. Jemari sekelamin itu berkait.

"Awak nak makan apa?"

"Saya ingat abang dah order untuk saya," Adawiyah masih belum puas mengusik.

Kasyful renung mata isterinya dalam-dalam. Sesudah puluhan tahun berkeluarga, pandangan hati sudah tembus jauh mengatasi segala gelambir dan kerunyut di wajah dan pinggir mata. Adawiyah paling setia bersama. Wanita paling gagah memikul beban bersama selaku juragan rumah tangga. Dialah yang memadam amarah ketika anak tunggal mereka merajuk ke Australia dan tidak pulang-pulang. Dialah yang memapah Kasyful ke hospital ketika pertama kali dia ditabrak strok. Dialah yang mengemudi mesyuarat lembaga pengarah saat Kasyful semakin tenat menyusun nafas di kamar.

Terhinggap juga rasa berdosa tidak memesan makanan. Bukankah itu terlalu mudah dan kecil berbanding segala jasa Adawiyah?

"Saya takut awak sampai lambat. Sejuk makanan nanti."

"Yalah tu."

Kasyful pamit pelayan. Dia pesan dua hidangan serupa. Adawiyah cuma mengangguk.

"33 tahun. Dah lama kan?" Adawiyah tahu mustahil Kasyful mahu memulakan bicara manis-manja begini, walaupun dia yang mengajak mereka makan malam bersama.

"Dulu Mak Yam pengsan masa kita bersanding. Dia kata, saya tak padan dengan awak." Kasyful senyum pahit.

"Awak ingat lagi?" Adawiyah sudah mangli. Begitulah anehnya Kasyful. Bicara rawak tanpa tuju, namun penuh erti di kalbu.

"Mestilah."

"And look at us now." Kali ini Adawiyah ramas jemari suaminya lebih kemas.

"Kalaulah Ayesha ada dengan kita," suara Kasyful terputus. Dia tertunduk.

"Abang, Ayesha selamat kat sana. Biarlah dia jauh dengan kita kalau itu yang buat dia bahagia. Tiap-tiap bulan dia hantar e-mel pada kita. Ada gambar. Cukuplah." Adawiyah enggan mengakui bahawa luka di hatinya juga sama dalam.

Kasyful merapatkan tubuh ke meja. Dia hulur tangan ke wajah Adawiyah. Dahi isterinya diusap. Ada garis parut menegak lebih kurang dua inci di pelipis Adawiyah.

"Abang---"

"You scared me, you know."

Pelayan tiba. Dua pinggan segi empat sama bersaiz kecil mendarat di hadapan Kasyful. Hidangan pembuka selera.

"Enjoy your meal, sir."

"Saya makan satu saja. Satu lagi untuk isteri saya."

"Excuse me, sir?"

Tubuh Kasyful tegak. Dia berdiri penuh payah. Nafas dihela panjang. Dia buka cermin mata. Belum sempat dia menghambur herdik pada pelayan yang kurang cakna, dia mengalih pandang sekali lagi ke arah meja makan.

Kerusi di hadapannya kosong.

Adawiyah tiada.

Kasyful kemudian memejam mata lama-lama kemudian menggeleng kepala. Cermin mata di tangan digenggam kemas. Parut di dahi Adawiyah dikenang kembali. Ketika itu darah membuak. Adawiyah menggeletar di lantai. Dia terjatuh sesudah tergelincir ketika berlari menuruni tangga, mengejar nada dering telefon bimbit yang tertinggal di ruang tamu.

Panggilan dari Ayesha tidak sempat dijawab.

Yang tersisa dalam ingatan Kasyful, bajunya berlumur darah. Dia meriba Adawiyah sambil menunggu bantuan jiran yang sempat dihubungi. Dia tidak mampu keluar memandu lantaran tubuh masih lemah dijajah strok.

Tangannya berisi cermin mata Adawiyah. Kanta berantakan. Bingkai masih utuh.

Dalam nafas paling akhir, Adawiyah masih sempat berlucu. Jemari sekelamin itu berkait.

"Kalau saya tak ada, abang pakai spec saya ya? Nanti kalau tengok cermin, boleh nampak saya. Kalau pergi mana-mana pun, saya selalu ada dengan abang."

Suara Adawiyah bergetar.

Sehingga kini. Dalam rindu yang mustahil pudar.


12.7.13

Nota Ramadan #54

Hari ini saya gagal menjejak masa.

Saat ralit menyunting cerpen-cerpen untuk kumpulan cerpen FOBIA terbitan Roman nanti, saya dipanggil oleh Abah.

"Long, jom solat Jumaat."

Saya terlongo. Jadi saya soal Abah semula.

"Hari ni hari Jumaat?"

Abah cuma senyum dan berlalu. Saya keliru sesaat dan menyemak semula kalendar di komputer riba. Memang betul. Hari ini hari Jumaat.

Saya rasa akal saya cuba menafi kerana saya cuma ada baki sehari saja lagi berpuasa di kampung. Esok sudah pulang semula ke Shah Alam. 

Aduh.