14.1.13

Hanya Sepuluh 143

Harus akur, bahawa pada #KL112 ada sejarah terlakur.
Walau kabur.

Hanya Sepuluh 142

Dosa paling celaka?
Yang sengaja.
Walau tahu, buat kali kedua.

Hanya Sepuluh 141

Soal tergoda, yang memilih bukan kita - Dia tahu kita haloba.

1.1.13

Selamat Datang 2013

2012 seperti tahun sebelumnya jua.

Aku dan ketidaktahuan.

Bezanya, kutemukan teman yang setia, sarat cinta dan budi mulia. Semoga Tuhan mengarang kisah yang panjang untuk kami.

Bahkan kuharap selamanya.

Semoga keluarga terus panjang usia. Semoga kudrat tak putus untuk berkongsi cerita.

Semoga Salah Taip lebih meriah tahun hadapan.

Lihat? Hampir tamat 2012 pun aku masih sempat menabur janji palsu.

24.12.12

Instagram

Saya temukan cinta baru di Instagram. Kasihan Salah Taip, dianaktiri buat kesekian kali.

7.12.12

Hanya Sepuluh 140

Masa itu kemewahan. Hanya dimilik Yang Maha Esa. Bukan kita.

6.12.12

Hanya Sepuluh 139

Terasa sukar dipercaya, menulis di atas kaca persis kertas biasa.

5.12.12

Kispen 126: Ganggu

"Oi, jauh termenung." Adib petik jari di depan mata Raden.

"Eh, mana ada." Radin terkulat-kulat. Senyum palsu mula dilukis.

"Mana ada konon. Dari tadi aku tengok kau terlopong sambil tongkat dagu."

Raden segera bangkit dan menikam Adib berkali-kali dengan gunting yang ditemukan di hujung meja. Semakin Adib mengerang, semakin dalam rodok diulang-ulang.

Terasa puas, walau cuma dalam khayal. Siapa suruh kacau. Dia sudah begitu hampir menyentuh gadis idaman saat Adib petik jari tadi.

4.12.12

Hanya Sepuluh 138

Conan The Barbarian.

Dengan CGI termaju, dihidupkan semula manusia gasar.

Kispen 125: Bela

"Kucing puan tak ada masalah. Cuma sakit biasa. Buat masa sekarang, saya bagi antibiotik. Puan bagi makan dalam dua minggu. Blood test result, minggu depan boleh dapat." 

"Terima kasih." Balas Linda.

"Puan dah buat blood test? Jangan buat untuk kucing saja," Doktor veterinar berseloroh.

"Itulah. Kadang-kadang lupa diri sen...uhuk...uhuk..." Linda tertunduk.

Darah berbuak dari mulut Linda. Dia rebah.