28.11.12

Kispen 119: Korban

Pesawat melaju. Muncung menjunam menuju maut. Perut pesawat kosong, melainkan Pak Menteri dan pengawal peribadi.

"Hanya ada satu payung terjun, Pak Menteri. Dakap aku. Kita terjun bersama."

"Tidak. Kelak kita menjunam terlalu pantas."

"Jadi?"

"Kan kukhabar pada negara, kau wira paling setia."

Pengawal peribadi ditendang keluar pesawat.

27.11.12

Kispen 118: Renung

Wajah kekasihnya mustahil dilupa. Mata bundar, alis tipis, hidung pesek kemerahan. Cuma hari ini rambutnya berbeza. Lurus.

Dia renung lagi dan tersenyum. 

Ah, kenapa pula sang manis tak kelihatan?

Rupanya ada rerama melintas lensa teropong.

Hanya Sepuluh 133

Minggu ini yang paling Melayu bertemu.

Eh, kedua.

Pertama: Perkasa.

Hanya Sepuluh 132

Andai sering kecewa, hati kebal duka.

Tiada dibeza hiba suka.

Hanya Sepuluh 131

Maafkan kami, Gaza.

Sos lada hitam itu memadam hari hitammu.

3.11.12

Kispen 117: Rehat

Sambil mengunyah inti burger, entah daging entah jalinan kimia yang bertopeng rasa dan aroma lembu, Alwi renung tiap meja yang dihuni pasangan bercinta.

Masing-masing mesra bercanda dalam kata dan selera. 

Hampir Alwi terlupa, dia juga punya cinta hati.

Yang masih menggelupur dalam but kereta dengan tangan dan kaki dibelenggu. 

Yang menjerit dalam bisu, bibir dicengkam pita perekat.

Ah, sekurang-kurangnya aku bawa pulang kentang goreng untuknya.

2.11.12

Kispen 116: Lena

"Na ingat...Na ingat lagi..." Nafas Ibu makin tersekat. Tangannya meraba-raba, mencari jemariku yang hampir benar.

"Bawa mengucap, Hasnah." Mak Long pintas soal ibu. Dia usap dahi Ibu.

"Aku nak cakap dengan Nana. Kau jangan kacau,"

Aku merapati ibu. Tanganku digenggam kemas-kemas. Barangkali sambil memeta sisa wajahku dalam ruang minda. Kali terakhir Ibu lihat wajahku, 15 tahun lalu. Sebelum diabetes meragut matanya.

"Ibu?"

"Ingat lagi cerita yang Na suka dengar sebelum tidur? Yang Ibu baca."

"Ingat."

"Ibu nak..."

"Hasnah, rehat dulu. Mengucap,"

"Jangan kacau aku, Long."

Buku cerita ayam dan musang itu sudah entah berapa dekad aku tinggalkan di rumah Ibu. Entah ada atau tidak dalam almari di bucu kamar. Belum sempat bingkas dan beredar, Ibu capai tanganku.

"Na nak pergi mana?"

"Cari buku tu,"

"Kalau ada pun, bukannya Ibu boleh baca."

Seloroh Ibu bergema hiba, di celah-celah sipongang bacaan doa dan Yasin. Orang kampung mahu Ibu kebah dari sakit tenat.

Aku kembali ke sisi Ibu. Hujung jemarinya temukan dahiku. Usapan yang pernah melindungi aku saban malam, kembali semula. Aku dakap Ibu rapat-rapat.

"Biar Ibu cerita,"

Kemudian tiap kata yang terbit dari bibir Ibu itu tiada walau sepatah tertinggal. Kisah ayam dan musang; seperti tercetak aksara, sempurna dan sediakala.

Sesudah kisah dinoktah, Ibu bersyahadah.

Hanya Sepuluh 130

Andai dia bisa buat kamu ingat Dia, bersedia untuk setia.

16.10.12

Kispen 115: Kucing

Dia jenguk ke bawah.

Hitam. 

Yang kelihatan cuma bintil neon dan jalur cahaya lampu kereta yang rusuh entah ke mana.

Kali ini dia nekad. Dia jenguk ke bawah sekali lagi.

Yang perlu dibikin, cuma panjat keluar balkoni apartmen ini. Kemudian terjun, dan biarkan maut menyambut roh sambil tubuh terhempas.

Tingkat 23. Pasti sedikit cebis jasad yang bersisa.

Kali ini dia nekad. Pagar balkoni digenggam kemas. Dia angkat kaki kanan dahulu untuk memanjat.

Miau. Miau.

Bobo muncul, menggesel kaki kiri yang masih menjejak lantai. 

Dia rebah di balkoni. Akur. 

Bobo dipeluk semahu-mahunya. 

Matanya basah. Mata Bobo masih resah.

Kispen 114: Potret

"Selagi kita bersama, tak mungkin ada potretmu."

"Mengapa?"

"Mustahil kubenarkan sang pelukis merenung lama wajahmu. Aku terlalu cemburu."