2.9.12

Kispen 111: Dendam

Tali leher itu dia gunting berkali-kali. Tiap cebis bersisi kemas gugur, melayang lemah. 

Baju kemeja dicarik-carik. 

Dia capai botol kaca berisi cecair jernih. Dituang semua. Yang berbaki cuma aroma sengit.

Jasad telanjang berlumur merah di lantai direnung lama-lama. Sisa dan perca pakaian yang bertaburan seolah hiasan di atas kek hari lahir.

Sambil mancis dinyala dan dicampak ke tubuh yang lantas disambar marak api, tanda celaka itu sekali lagi terlihat.

Kesan gincu di kolar baju.

Sudah bertahun-tahun dia diam bisu, pendam sendu.

1.9.12

Kispen 110: Jumpa

Sudah tiga kali Kadir panggil pelayan. Isi semula air jernih dalam cawan berkaki. Pendingin hawa, walau bikin selesa, mencipta jua dahaga.

Pandangannya mengitari restoran. Di hotel lima bintang, pelanggan yang ada semuanya serupa. Bersandar selesa bukan untuk menjamu selera.

Sekadar mahu bertemu mata, membanding mata, dan membina dinding agar tak terlihat marhaen di luar jendela.

Kecuali Kadir.

Dia cuma mahu memuaskan hati orang yang bakal ditemui. Sebab itu, restoran ini dipilih buat medan temujanji.

Kadir makin resah menanti. Entah hilang, entah tiba ke sini.

Anak lelaki, yang sudah 20 tahun ditinggal sepi.

Hanya Sepuluh 121

Tukar bendera.

Demikian bukan laku sang wira.

Bahkan sang gila.

20.8.12

Hanya Sepuluh 120

"Benar sangkaku. Hanya perlu dua hari, kuberaja semula." Ujar nafsu.

18.8.12

Salam Aidilfitri

Salam Aidilfitri untuk semua pembaca Salah Taip.

Tenang sajalah. Tak perlu ghairah sangat macam kamu tak pernah menyambut Syawal.

Nota Ramadan #52

Saat saya menaip entri ini, seluruh ahli keluarga sedang asyik menonton televisyen. Sukar juga mendengar kandungan siaran sebab lohong telinga disumbat bunyi mercun yang tak putus-putus.

Ramadan sudah pergi, dan seperti tahun-tahun sebelumnya, saya mempersiakan bulan itu.

Esok rutinnya pasti biasa. Solat Subuh dan sepinggan nasi dagang sebagai sarapan wajib. Masakan Mama yang tidak pernah saya tinggalkan sepanjang ingatan meneman usia.

Dentum mercun masih bersahutan.

Saya doakan agar ada yang kudung pagi esok.

Barulah malam menjelang Syawal lebih tenang. Tapi itu mustahil. Dan mengapa saya meminta yang buruk sebegitu pada hujung bulan nan mulia?

Bodoh.

Otak saya berkali-kali menyuruh saya berhenti menaip entri ini, bimbang saya meracau lebih parah.

Yalah. Kadang-kadang kalau hati terlalu bising, pada akal kita ambil pusing.

15.8.12

Hanya Sepuluh 119

"Mengapa dia kau bunuh?"

"Kerap benar rungut keluh. Aku jenuh."

Hanya Sepuluh 118

Setem dilekat. 

Kad disisip.

Sampul dikatup.

Ditulis padanya alamat sendiri.

Nota Ramadan #51

Saya bukan sufi. Jarang sekali suci hati. Jadi apabila tiba hujung Ramadan, saya tidak boleh menipu diri dengan mengatakan saya hiba.

Tidak.

Tapi saya rasa kosong. Ya, macam judul lagu gadis itu.

Sebab apa kosong? Entah. Keghairahan menyambut Syawal sudah lama hilang. Selepas solat sunat dan ziarah pusara, saya jadi terpinga-pinga.

Barangkali penyakit anti sosial saya merebak hingga tidak gemar berkunjung ke rumah sanak saudara. Ini perangai jelik.

Apatah lagi, tahun ini pertama kali saya bakal sambut Syawal tanpa Tok Ayah.

Ah, kita habiskan puasa dulu dan tiru apa orang lain buat - menggila di pasar raya membeli apa yang tidak perlu asalkan tampak gembira.

7.8.12

Kispen 109: Mahu

Perlahan-lahan dia masuk tanpa disedari sesiapa. Bahkan terlalu mudah. Jirannya sentiasa saja meninggalkan kunci rumah kalau mereka ke mana-mana.

Mereka percaya pada Nabila.

Kalau mereka ada kecemasan dan perlu keluar, Nabila akan dipanggil untuk jadi pengasuh. 

Kali ini si ibu dan dua anak lelaki pulang ke kampung. Yang tinggal cuma suami yang Nabila tahu sedang berdengkur di kamar. 

Dia ke dapur terlebih dahulu. Guni yang tergulung rapi di tangannya sejak tadi dibuka. Malam ini dia mahu ambil semua yang sudah lama diidamkan. Sejak dia kerap keluar masuk rumah pasangan ini, dia sudah pasang ingin untuk mendapatkan itu ini.

Yang pertama terjun ke dalam guni; mesin pengisar kopi. Hujung minggu andai Nabila diajak bersarapan bersama, mesin inilah yang dilihat jadi tumpuan pasangan suami isteri yang bergelak ketawa sementara menanti titis hitam kafein memenuhi teko.

Dia ambil semua pisau termasuk papan pemotong. Balang-balang kecil berisi rempah ratus juga dikebas. Resipi yang diajar si isteri masih Nabila ingat. Kelak memasak, rempah inilah yang beraksi.

Tiba di ruang televisyen, Nabila ambil semua DVD. Semua. Lebih 200 judul filem disusun mengikut abjad di dalam kabinet khas. 

Bersama dua anak lelaki mereka, Nabila sering tonton koleksi kartun Upin Ipin dan beberapa siri animasi Nickelodeon. Andai diajak bermaraton filem dengan pasangan suami isteri itu, mereka selalu asyik dengan genre aksi.

Namun Nabila ambil semuanya.

Tiba di kamar tidur, Nabila melangkah penuh hati-hati. Tuan rumah, si suami, masih ada. Masih lena di ranjang. Nabila dekati ranjang dan renung wajah tuan rumah rapat-rapat.

Bibirnya makin dimuncung. Wajah mereka hampir bertemu. Hembus nafas panas terasa. Dia cuma mahu satu kucupan.

Saat itu juga Nabila sedar guninya kosong. Tiada isi. Dan dia pulang ke rumahnya yang tak berpenghuni. Walau sunyi, lebih molek di sana menyambung impi.