20.3.12

Kispen 91: Sungkur

Senik panjangkan leher. Rokok yang terapit di bibir dirampas jari. Kepul nikotin rusuh keluar.

"Ada apa tu?" Senik masih belum mahu bangkit. Pelanggan lain mula beredar dari meja masing-masing ke tepi jalan.

"Ada apa?" Senik ulang soal sesudah sedar sekitarnya seolah tuli. Kopi Jantan dihirup.

Jantan, namun masih malas.

"Budak ni terbabas. Laju sangat agaknya." Tempik Itam, sepupu Senik, dari luar kedai kopi.

Senik bingkas dan menyertai pesta mati. Jasad bergelimpangan, wajib dirai.

Anak muda, barangkali 17 tahun, terbaring kaku di pinggir jalan. Rona merah membalut kepala dan mewarna muka tar jalan. Honda EX5 tunggangannya tercampak ke tengah jalan. Herot.

"Tak pakai helmet pula tu." Suara dari kerumun.

Senik teliti tunggangan si mati.

Ada topi keledar terkacip kemas pada bakul motosikal.

Kispen 90: Payung

"Eh? Abang tak basah? Kan hujan tadi." Salina sambut plastik berisi lada hijau dari suaminya.

"Ada payung ni." Umar melangkah masuk ke rumah. Kopiah ditanggalkan. Baju gombangnya kering, kecuali dua tiga titis tikaman hujan di bahu.

Salina kerut dahi. Payung yang disandar di anjung rumah ditenung lama-lama.

"Abang tak bawa payung ke masjid tadi." Ujar Salina.

Umar terkedu. Entah siapa yang kini mundar-mandir di masjid mencari payung hilang.

Atau sudah pulang kebasahan.

Umar sambung istighfar yang dimula dalam sila sesudah salam tadi.

10.1.12

Kispen 89: Tunggu

"Kau nak apa lagi?" Soal Reena.

Cermin muka di kamar mandi direnung lama.

Geleng kepala.

"Aku nak keluar ni. Kau jangan kacau orang lain."

Angguk.

Reena sempat oles krim pelembap ke wajah. Cermin muka diulang renung. Kali ini lebih lama. Bukan main lama kau tunggu aku, bisik hati Reena. Bibir nipisnya papar senyum.

"Jangan kacau orang lain. Faham?" Kali ini Reena tuding jari pada cermin.

Angguk.

Selesai wajah disegarkan, Reena keluar dari kamar mandi. Dia pegang kukuh pesan arwah Papa, jangan gerun dengan penunggu. Kadangkala dia cuma mahu berteman. Ulang baca ayat suci Yang Maha Esa.

Kamar mandi dikunci. Reena menuruni tangga sambil kunci kereta di genggaman. Sebelum keluar, dia sempat menyapa teman serumah yang ralit menonton TV.

Dia masih tercegat di kamar mandi.

Hanya Sepuluh 90

Demi mata manusia, terkadang kita lupa bahawa Tuhan juga melihat.

9.1.12

Hanya Sepuluh 89

Silapnya, tukang masak Raja Bersiong terlalu jujur. Mengapa dibilang darah?

8.1.12

Kispen 88: Ulang

Nazri tertawa kecil. Sambil hirup teh, matanya masih menikam jeling pada isteri yang masih bergelut dengan tangis.

"Awak nak tisu?" Dua helai tisu dicabut keluar dari kotak rona biru. Nazri masih ketawa.

"Abang jangan kacau la." Rasyila tampar bahu Nazri. Air mata di pipi masih belum sejat.

"Drama awak tengok ni, dah berapa kali ulang. Tak bosan?" Soal Nazri.

"Eleh, abang pun sama." Rasyila capai alat kawalan jauh pemain DVD. Butang pause ditekan. "Kalau abang tengok bola, gol tu baru lepas seminit. Terlopong juga mulut bila TV tunjuk replay kan? Dua tiga kali pula tu."

Nazri sambung hirup teh.

21.12.11

Kispen 87: Tumpang

"Din, kata nak tumpang?" Azman capai kunci kereta. Sekali-sekala matanya mengerling skrin iPhone 4S yang baru dibelinya minggu lalu. Sanggup beratur enam jam, demi buah tangan terakhir mendiang Jobs.

"Kejap. Aku nak copy satu file lagi." Jari Bidin menari di papan kekunci.

15 minit berlalu. Azman beredar. Teman sekerjanya dinanti di ruang parkir.

"Sorry. Aku nak settle semua malam ni."

"No problem." Azman hidupkan enjin kereta. Dia mengerling ke arah Bidin. Sesudah tali keledar dipasang, barulah kereta diundur.

Kring! Kring!

Telefon Azman berdering. Segera Bluetooth headset disumbat ke telinga.

"Hello."

"Man! Kau dah gerak belum? Aku kat ofis lagi ni. Tunggu lima minit lagi boleh?"

Azman tak ingin menoleh. Dari hujung mata, terlihat penumpangnya tersenyum.

18.12.11

Hanya Sepuluh 88

"Pilihan raya hampir tiba."

"Tenang saja. Biar musuh tampak berlaga."

17.12.11

Kispen 86: Kebal

"Tak minum dulu, paknya?" Kening Esah berkerut. Jarang benar suaminya keluar awal pagi. Orang kampung selalunya berubat kala langit sudah hitam.

"Saya nak cepat ni." Ayob singgah di pinggir meja makan. Cawan berisi kopi panas dicapai. Sekali hirup. Cawan kontang.

"Awak ke rumah siapa?"

"Rumah Tam. Tam anak Pak Teh Punai. Katanya terkehel. Jatuh tangga."

Esah beredar dari dapur. Sela sejenak, dia kembali dengan sekaki payung.

"Bawa ni. Lebat hujan kat luar tu." 

"Dah berapa tahun kita bernikah? Awak tak kenal lagi Bomoh Akob? Saya ni tikam pun tak lut, kebal segala, kebal semua. Setakat hujan, tak payah berpayung."

"Yalah." Esah senyum dan geleng kepala.

Sekelamin bersalaman. Esah kucup tangan Akob. Seperti selalu. Setiap hari, sejak 20 tahun lalu.

"Satu lagi bang,"

"Apa lagi?"

"Ubat darah tinggi awak tu. Dah makan ke belum?"

14.12.11

Hanya Sepuluh 87

Semakin hampir tarikh memilih ketua, semakin buruk diserlah laku rupa.