25.8.10

Kispen 5: Sudah

Mimpi Maher tertunda. Azan menujah gegendang.

Kemamar campur bingung. Berjam-jam dia sudah lena. Perut bukan lagi berkeroncong. Sudah tukar salsa selang samba. 

Maher rusuh ke dapur. Ah, sudah tidak sempat mahu buka tudung saji. Tukang bang pun sudah mahu makan. 

Maher buka peti sejuk. Sederet botol minuman pelbagai warna aneka rasa terkinja-kinja pinta dicapai. Dia pilih Vanilla Coke. Reguk puas-puas. Berbuka mesti awal.

Dari ruang tamu, rakan serumah berteriak:

"Maher, dah pukul empat lebih ni! Kau tak ke fakulti? Bukankah kau ada kelas ganti jam empat?"

Maher tunduk. Mulutnya masih berlengas.

Telanjang

Saya pernah juga berkira-kira untuk menghidupkan kembali KNB seperti di Wordpress dahulu. Bersama teman-teman meladeni karenah politik semasa.

Bukannya ada orang baca sangat. Lontar komentar sesama sendiri saja.

Tapi, saya mual dan muak. Politik Malaysia, yang itu-itu jugalah. Menyelar para politikus sama saja seperti melaung pada si tuli. Mencebik pada si buta.

Apatah lagi suara-suara dari blog daif ibarat iklan ubat kuat di bucu ruang iklan koran. Mereka jebeh saja. Angry young men, kata YB Sukah Ati sambil membetul-betulkan busjaket.

Biarlah. 

Ramai lagi tukang blog politik yang mahu dan punya nafsu menelanjangkan para politikus. Dan lebih ramai yang gian dan giur membaca ketelanjangan mereka.

Hakikatnya, di dunia bernama Internet - semua orang suka pada telanjang. 

Yang gemar bersenam seorang dalam pekat zulmat, terbelalak dijamu aksi tunggang tungging. Sekali-sekala menyeka keringat berbintik.

Tidak kurang yang memenuhi tuntutan hidup menjaga setiap bucu kain selebriti. Penyanyi mana ditelanjangkan hari ini? Syella Qaseh bercinta dengan siapa? Sudah ada ayah-gula lainkah? Masih darakah?

Sebab itu saya memilih untuk berhenti menelanjangkan politikus. Saya sendiri mahu bertelanjang. Berkongsi kisah dan resah. Mencoret angan dan kenangan. 

Saya mahu memuaskan nafsu dengan indah bahasa yang masih belum selesai saya rakusi.

Dan saya gembira, kerana ramai juga teman-teman yang sudi bertelanjang bersama.

24.8.10

Nota Ramadan #14

14 Ramadan?

Sudah 14 Ramadan?

Tinggal separuh sahaja lagi. Aduh.

Nota Ramadan #13

Ramadan ini banyak sekali rezeki muncul tanpa disangka. Pada semua. Malah, bukan Ramadan ini sajalah. Setiap bulan puasa pun begitu. 

Soal timbunan pahala, tak usah ceritalah. Semua tahu. Sudah dilabun, dikisah sejak kita kecil lagi. Cuma tinggal mahu tidak mahu saja. 

Tapi, rezeki yang saya temukan ini sedikit berbeza. Entahlah. Beberapa hari lalu, saya kerap terjaga. Waktunya hampir sama. Lebih kurang tiga sepuluh pagi. 

Sesudah meraikan sunyi pagi, saya sudah tidak boleh menyambung lena. Terkejap-kejap. Puas mengisar tubuh. Mata tidak pernah tewas. 

Akhirnya, saya kibar panji putih. Saya capai mana-mana buku cempera di atas meja, di atas rak pun sama juga. Tindan rawak yang hanya empunya mengerti aturnya.

Aksara demi aksara, mata bersorak-sorai mengejek saya. Tahu juga kau mengalah, ya? Kau tak akan kantuk lagi hingga sahur. Hingga subuh. Hingga jalak berkokok. Hingga jalak kembali tidur.

Alhamdulillah, Tuhan beri kudrat untuk menunaikan wahyu pertama diserah Jibril pada pundak Rasulullah. Tuhan beri masa. Tuhan beri upaya. Terima kasih, duhai Maha Kaya.

Selagi mana rezeki bernama insomnia ini kekal, selagi itu saya akan membiarkan mata menari girang. Biar dia sentiasa menang.

Ini tewas yang tenang.

23.8.10

Penjelajah Internet Belum Mati

Statistik jenis pelayar laman sesawang yang digunakan oleh pembaca Salah Taip (ihsan Statcounter):

Musang Api 35.4%
Krom 33.6%
Penjelajah Internet 23.4%
Lain-lain 7.6%

Saya sudah lupa kali terakhir saya menggunakan Penjelajah Internet. Dah lama jadi orang Krom.

Nota Ramadan #12

Enam empat puluh lima petang.

Bunyi hon kereta bertubi-tubi kedengaran dari luar rumah. Saya jenguk keluar. Tok Ayah keluar dari perut Nissan lama.

Aneh. Tubuhnya lencun.

Sambil termengah-mengah, Tok Ayah mengadu. Pohon medang di hadapan rumahnya tumbang. Menimpa dahan rambutan dan manggis. Laluan keretanya tertutup.

Saya dan abah bergegas ke rumah Tok Ayah. Segalanya bercempera. Wayar bekalan elektrik putus lantas melilit dahan rambutan yang bertindan dengan dahan manggis.

Daun berserak. Buah rambutan menjajah tanah basah, bertaburan merah. Di celah-celahnya, hitam manis manggis. 

Ayah Su tiba dengan gergaji rantai kecil. Dahan medang yang tak mampu dipikul - dikerat, kemudian diusung sama-sama.  Terjirik juga buah rambutan yang bergelimpangan.

Terlalu banyak. Tak mampu dielak.

Tujuh sembilan minit malam.

Aroma nasi ayam menusuk nafsu. Sambil menggenyeh tangan yang masih cemar, saya teringat rumah Tok Ayah yang putus bekalan elektrik.

Berkali-kali diajak berbuka bersama-sama di rumah, tapi dia enggan. Katanya gelap sebentar saja. Nanti datanglah orang elektrik membaiki.

Nota Ramadan #11

Sudah dua hari bersahur dengan pisang. Ampuh juga. Perut terasa penuh hingga waktu berbuka. Patutlah pemain tenis ramai yang makan pisang waktu interval. Banyak kalori.

Kali Ini

Dua empat puluh lapan pagi.

Terima kasih. Baru kutahu. Maafkan aku kerana menyimpan harap.

22.8.10

Nota Ramadan #10

Semalam, kira-kira lapan minit sebelum berbuka, saya sempat bergebang dengan seorang teman di Yahoo Messenger. Ah, tidak tepat. Bukan teman. Dia adik saya. Kadangkala kakak. Ibu tiri pun ada. 

Aku tahu kau sedang baca entri ini. Haha.

Katanya, dia berbuka seorang diri. Baru pulang dari kerja. Rakan serumah tiada. Menu: mi segera tom yam, dengan pelakon tambahan cili potong dan telur.

Seraya saya terkenang saat pertama kali berbuka seorang diri. Janggal juga rasanya. Kebetulan, ketika itu saya juga menghadap mi segera. Tapi yang betul-betul segeralah. Cap rendam. Mana ada cili potong.

Menunggu azan bersipongang tanpa teman sememangnya pengalaman luar biasa, tidak kira sekerap mana kita menghadapinya.

Daerah akal tiba-tiba meluas, menerobos sudut-sudut kecil yang selalunya kita lupakan saat hilai tawa beramai-ramai di hadapan juadah seribu rasa.

Saat bersendiri, tanpa sedar kita menguis hidangan (mi segera atau apa sajalah) sambil memutar semula memori paling manis saat berbuka.

Senyum dalam hati. Senyum terbit tanpa sesiapa di sisi. 

Betul juga kata Nietzsche, "Perhaps I know best why it is man alone who laughs; he alone suffers so deeply that he had to invent laughter."

Hening sekeliling membuat kita menghisab diri. Kembali sedar bahawa kita dalam Ramadan. Denyut lapar lebih bererti. Hanyut sedar terus ke hati.

Yang masih belum pernah mendiami daerah ini, silalah berkunjung. Putuskan seketika hubungan dengan jaringan sosial. Matikanlah telefon bimbit seketika.

Hanya anda dan hidangan berbuka. 

21.8.10

Kispen 4: Lari

Entah berapa lama Zani terbaring di situ.

Sudah berkali-kali dia cuba bingkas tetapi tubuhnya seolah lumpuh. Kaki dan tangan tergawang, tetapi tubuh tidak mahu menurut. Dicuba berbalik tetapi tubuh tidak mahu juga. Berat.

Dia menjerit namun segenap penjuru langit mentertawakannya semula. Mengejek-ejek. Sekali laung, dua kali laungnya dipulangkan. Langit ketawa lagi. Kali ini lebih nyaring, berbaur bising entah apa. 

Hamis. Hanyir. Hapak. Haring.

Ah, celaka. Bau apa pula? Dia cuba menutup hidung peseknya tetapi entah kenapa tangan tak sampai. Semakin lama bau semakin sinis dan menerobos hingga ke tenggorokan terus ke paru-paru.

Serta-merta Zani dijajah loya dan muntah di situ juga. Cairan putih membuak dari pinggir bibir mengalir rusuh di seluruh pipi. Setitis dua terus ke lubang telinga.

Ahhh!

Dalam payah dia mengangkat kepala untuk melihat kakinya. Semut api. Banyak sekali. Bahkan sudah tidak kelihatan lagi jari-jari kakinya. Semut api sudah berkampung dan berpesta.

Nanti dulu. Ini bukan semut api. Kepalanya terlalu besar. Ahhh! Di hujung kepala itu tersembul dua taring, persis milik babi hutan. Bukan. Bukan. Ahhh! Ini bukan semut api.

Ribuan tentera merah merayap ke seluruh tubuhnya. Suara Zani sudah hilang. Dia bertempik sunyi sambil memejam mata rapat-rapat. Gigi dikacip kuat-kuat. Air mata makin deras, berbaur dengan muntah yang mula berkeruping di pipi.

Ahhh! 

Betis, lutut, paha, antara paha, perut - semuanya. Setiap inci isi Zani dihiris taring semut-babi hutan itu. Kulitnya lelas. Darah sudah bermanik. Tangan dan kaki hanya tergawang. Langit ketawa lagi. Kali ini lebih nyaring, berbaur bising entah apa.

Ekor mata Zani sempat menangkap sesuatu sedang berlari pantas ke arahnya. Siapa itu? Apa itu? Semakin dekat. Ah, bukan berlari. Tapi merang--

Ahhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhh!

Merah di mana-mana. Zani hanya ingat ekor bersisik yang melibas-libas. Itu sahaja. Sedar-sedar tangan kanannya sudah tiada. Daging berjurai. Tulang berjerojol. Merah berjejeh. 

Tolong! Tolong! Suara Zani sudah hilang. Tolong!

Entah berapa lama Zani terbaring di situ.

Cadar sudah lencun. Di hujung katil bergumpal kain pelekat. Peluh merenik diseka. Zani hela nafas panjang-panjang. Hembus. 

Zaniah sudah tiada di sisi. Pintu terkuak lebar. Barangkali dia pun sudah bertemu dengan semut-babi hutan itu. 

Tidak jauh dari pondok Zani, Zaniah berkaki ayam berlari deras. Dia masih ingat di mana pohon itu. Air mata berjujuh sederas derapnya. Langit tidak ketawa. Hitam. Hujan menggila.