Hartawan memang bisa punya segala.
Namun di kuburan, telanjang juga.
12.10.13
Kispen 132: Masam
"Kau nampak tadi?" Rudi geleng kepala sambil memasukkan semula kredit kad ke celah dompet.
"Nampak apa?" Alef terlongo. Dia masih sebu. Makan percuma, habis dilahap segala nama dalam menu.
"Perempuan yang jaga kaunter tadi. Masam betul muka dia. Kalau ya pun penat kerja, senyumlah sikit. Hormat pelanggan. Ini tidak. Muncung mulut dia tu, boleh simpul tau?"
Rudi tekan punat di alat kawalan kereta. Bunyi bip menjerit dua kali. Malam ini mereka makan besar sesudah selesai bertungkus-lumus menyiapkan kertas cadangan selama dua minggu. Petang tadi Rudi dan Alef dapat berita gembira. Projek mereka lulus.
Jom makan. Aku belanja! Itu laungan pertama Rudi di pejabat tadi.
"Perempuan jaga kaunter?" Alef tarik tali pinggang keledar. Tegang, melingkar perut bocah.
"Ya. Ya rabbi, kau tengok apa ha tadi? Semua benda kau tak perasan."
"Rudi, kau yang tak perasan."
Kali ini Rudi yang terlongo. Alef mula terkernyih sambil geleng kepala.
"Rudi, Rudi."
"Kenapa?"
"Perempuan jaga kaunter tu Ida. Awek lama kau. Rambut dia saja yang pendek. Lain semua sama. Kau hulur selamba kredit kad tadi kan? Tak tegur pun dia. Mana dia tak muncung."
"Tapi..."
"Ya, tapi kau dating dengan dia dulu sebulan saja kan? Aku tau. Dah. Sekarang kau hantar aku pergi LRT. Nanti tak sempat pula last train," Alef pegang bahu Rudi sambil mula tertawa.
Sambil mengundur kereta keluar dari ruang parkir, Rudi masih membisu. Ketawa Alef belum surut. Saat kereta dibrek sejeda, hiasan rantai kunci replika buaya yang tergantung di cermin pandang belakang bergoyang-goyang.
11.10.13
Kispen 131: Kemis
Hari ini dia terlewat sekali lagi ke pejabat. Langkahnya dipercepat. Dia cuba menyusup sepantas mungkin di celah jejal manusia yang sama-sama menyeberang jalan di jejantas.
Ekor matanya sempat menangkap jujuk pengemis dan peminta sedekah di pinggir jejantas. Rencam rupa, seribu gaya. Ada yang meriba anak kecil yang masih terlena, ada yang kudung dengan balutan kusam hamis separas lutut, ada yang meratib ayat-ayat suci seiring gemerincing syiling di dalam kole yang teroleng-oleng.
Dia pancing keluar telefon bimbit dari dalam beg sandang. Satu mesej Whatsapp dikirim kepada rakan sekerja.
Langkahnya dipercepat.
Tiba-tiba, dia terasa kaki seluar ditarik. Dia memandang ke sisi lalu seorang remaja lelaki tengadah. Matanya redup. Ada bekas plastik di tangannya.
"Abang, abang pu---"
"Tak payah! Kau ni minta sedekah apa? Badan sihat, anggota cukup. Nak mengemis juga?"
Belum sempat sang pengemis membalas, dia merengus marah dan berlalu.
Sang pengemis cuba memanggil namun suaranya tenggelam dalam riuh kota dan rusuh manusia. Dia melambai sambil menuding jari ke lantai jejantas.
Sebuah dompet tersadai, tanpa sedar dicicirkan.
10.10.13
8.10.13
Kispen 130: Sendiri
Buat kesekian kali, dia berada di Starbucks. Entah apa yang benar-benar menariknya ke sana. Barangkali kejayaan penjenamaan kopi mahal. Atau para barista yang belum pernah menghulur senyum termanis setiap kali dia memesan kopi. Atau ketagihan kafein yang enggan surut.
Atau sebenarnya, dia tidak perlu memesan. Dia hanya perlu tampil ke kaunter dengan anggukan tunggal dan senyum. Mereka sudah tahu. Berkali-kali dia minum di situ.
Caramel Macchiato. Grande.
Dia akan ambil tempat di penjuru. Sudut paling hujung. Dua sofa rendah saling menghadap, dipisahkan oleh meja kayu bulat. Sengaja dia meletakkan beg galas di sofa satu lagi, agar tenang dia bersendiri.
Di situ dia bisa melihat segala-galanya. Menikmati kopi sambil, ah, jangan begitu. Jangan hina minuman. Caramel macchiato bukan sekadar 'kopi'. Kandungannya penuh maruah dan rinci.
Dua sudu besar sirap vanila
(yang dibikin dari dua cawan air, satu setengah sudu gula, dan satu sudu teh ekstrak vanilla)
Setengah cawan espreso segar
Secawan susu yang distim, lengkap buih
Tiga hingga empat sudu sos karamel
Dia pernah cuba buat sendiri di rumah, namun nikmatnya tidak sama dengan menghirup minuman itu di dalam gelas putih berlogo siren, duyung berekor dua dalam mitos Yunani.
Di situ dia bisa melihat segala-galanya. Penggodam yang sudah lama menghadap skrin hitam bertulisan hijau dengan tiga gelas besar kopi yang sudah kosong, dua pelajar mengulangkaji untuk SPM dengan telinga disumbat bekalan lagu dari iPhone, sepasang kekasih berbincang tentang bisnes atas talian sambil sibuk menuding jari pada komputer riba, sekumpulan anak muda yang sunyi berbual dengan telefon masing-masing.
Ini generasi muda. Generasi anak-anaknya.
Anak-anak.
Anak-anak yang sibuk mendesak dia menyiapkan wasiat yang kemas dan teliti. Jangan ada yang tertinggal selaku waris. Jangan ada walau sesen pun tiris.
Dia yang mengharung cunggang-cunggit jalan niaga. Anak-anak cuma tadah saja. Sakit peningnya tiada siapa yang cakna, melainkan jururawat yang ditempah khusus dari Indonesia.
Dia hirup caramel macchiato sekali lagi sambil tunggu temujanjinya tiba.
Dia pasti akan tiba, kerana rencam pil sengaja tidak ditelan malam tadi. Malah tengah hari ini juga ditinggalkan di kamar sebelum dia keluar minum kopi.
Dia mahu tamat di sini, kerana di sini saja dia mampu melihat warna manusia tanpa rasa jauh hati dan hiba. Tiada siapa yang peduli, namun semuanya penagih kopi.
Seperti dia.
Bagai dijangka, temujanjinya tiba. Degup bertukar robek dan carik paling pedih pada jantung. Dia atur nafas namun segala kini cacamarba. Dadanya bagai dihempap seisi dunia, digenggam dengan telapak tangan yang menggigil.
Saat dia tersungkur dari sofa, dia tersenyum.
Sempat dia terdengar jeritan dari para barista manis yang meluru ke arahnya.
Barangkali inilah yang menariknya ke sana.
Barangkali inilah yang menariknya ke sana.
Kerana saat Izrail menyapa, ada yang sudi menemani hari akhir sang tua.
Kispen 129: Tari
Dia tahu, sang gadis terlalu malu untuk memandang. Masakan tidak, dewan tari yang sejak tadi sesak kini lengang.
Yang tinggal cuma mereka berdua.
"You're good," ujar Rehman.
"Dah lama tak menari macam ni," sang gadis tersipu-sipu namun sempat matanya memanah tepat wajah Rehman.
Mata coklat sang gadis itu segera membuat Rehman merangkul pinggang sang gadis lebih erat. Dia atur langkah tari dengan lebih perlahan. Itu petua guru tarinya.
Jangan gopoh menekuni rentak irama andai dalam rangkulanmu seorang wanita sederhana yang baru ingin mengerti soal dansa. Dengan langkah yakin dan renung mata, pandulah dia.
Gaun rona perang muda itu cocok benar dengan tubuh genitnya. Sekali-sekala jari Rehman menggesel manja bahu sang gadis yang sedikit bersinar disuluh lampu limpah dewan tari.
Sang gadis senyum setuju. Lesung pipit muncul serentak pipi memerah.
"Awak suka lagu ni?" soal sang gadis.
Rehman memejamkan mata dan sekali lagi melarutkan butir nada dalam minda.
The Closer I Get To You nyanyian Roberta Flack itu tidak pernah gagal sebagai lagu pengiring tari yang utuh.
"Ini lagu favorite saya."
Ting! Ting! Ting!
Rehman merengus. Bukan masanya loceng itu berbunyi.
Ting! Ting! Ting!
Rehman terpaksa juga pergi. Dia kucup dahi sang gadis lama-lama.
"Awak tunggu sini. Kejap lagi saya datang," ujar Rehman sambil menekan butang kuasa pembesar suara yang masih berdendang.
Rehman keluar.
"Bang, saya punya dah siap? Dry cleaning. Saya hantar semalam. Lupa bawa resitlah," seorang pelanggan wanita lewat 40-an tercegat di kaunter.
"Baju kurung. Tiga kan? Dah. Dah. Nanti saya ambil."
Rehman masuk semula ke dalam. Sambil cari baju pelanggan di rak, dia kerling ke arah dinding. Gaun perang digantung sebentar di situ.
Nanti kita sambung menari ya, sayang?
Langgan:
Catatan (Atom)