12.7.13

Nota Ramadan #54

Hari ini saya gagal menjejak masa.

Saat ralit menyunting cerpen-cerpen untuk kumpulan cerpen FOBIA terbitan Roman nanti, saya dipanggil oleh Abah.

"Long, jom solat Jumaat."

Saya terlongo. Jadi saya soal Abah semula.

"Hari ni hari Jumaat?"

Abah cuma senyum dan berlalu. Saya keliru sesaat dan menyemak semula kalendar di komputer riba. Memang betul. Hari ini hari Jumaat.

Saya rasa akal saya cuba menafi kerana saya cuma ada baki sehari saja lagi berpuasa di kampung. Esok sudah pulang semula ke Shah Alam. 

Aduh.

10.7.13

Nota Ramadan #53

Ramadan saya tahun ini bermula dengan sahur penuh rusuh. Saya dan rakan serumah bersungguh-sungguh mahu sahur bersama. Kami bangun sekitar jam lima pagi. Kononnya mahu hadap sepinggan nasi di luar.

Anggaran masa kami meleset. Kalau di rumah, 30 minit sebelum imsak masih mampu berenak-enak dengan kuap dan geliat kerana hidangan di dapur sudah tersedia. 

Kalau di kedai, bergulat dengan pengunjung lain demi mengisi perut.

Nyata kami terlewat. Tiba di kedai makan, yang ada cuma nasi putih dan sisa sambal nasi lemak. Penyedap hati - ikan bilis dan kacang goreng. 

Kami telan juga. Ini rezeki Yang Maha Esa demi menghurung hari pertama puasa.

Selesai sahur, kenyangnya serupa dengan makan bermewah-mewah. Serupa. Barangkali yang dicari sang perut, berkat juadah sehingga azan bergema mengisi merah senja. Bukan timbun hidangan yang dijolok ke dalam tembolok penuh gelojoh.

Paling bahagia, berbuka puasa bersama keluarga. Saya ambil peluang untuk pulang dan berehat di Kelantan sesudah bertungkus-lumus dengan majlis pelancaran rumah penerbitan baru saya, ROMAN.

Mama pilih gulai kawah, ikan tenggiri masak merah, dan kerabu mangga jadi menu berbuka. Kesemuanya kami beli di Yati Ayam Percik, singgahan sesudah saya dijemput di lapangan terbang.

Sambil berkongsi tawa dan cerita, suapan saya terhenti seketika dengan luahan hati Mama.

"Tahun ni rasa sunyilah terawih. Tok Penghulu dah tak ada."

Saya terkesima. Penghulu kampung saya rupa-rupanya sudah meninggal dunia. Saban tahun kami patuh di dalam saf menuruti setiap kilas takbirnya selaku imam.

Solat terawih dan solat sunat hari raya.

Iftar saya tidak rusuh, malah penuh tenang. Bersama Mama dan Abah, kami singkap kembali kisah dengan Tok Penghulu. Banyak juga yang saya masih ingat.

Apa pun, selamat berpuasa untuk semua pembaca. Nota Ramadan kembali lagi!

1.5.13

Poster

Petang semalam hujan. Angin pun deras sekali-sekala. Saya sangka olak cuaca yang biasa. Sesudah bersiap, saya keluar. Jalan kaki saja. Saya belum cukup kaya untuk jadi hamba kereta.

Sambil hirup jus mangga lebih manis kurang sari, saya lihat lajur dan lingkar poster yang membunuh suasana. Wajah penagih kuasa tersengih di mana-mana.

Mujur alam menyahut doa saya dan ramai lagi, barangkali. 

Kenapa?

Selepas hujan, poster musnah. Bergulungan dan tidak terlihat. Malah ada yang bercempera di kaki lima, sudah diinjak berkali-kali.

Terima kasih alam. Saya sudah jelak dengan perang poster dan panji yang tak berkesudahan.

2.4.13

Nota London #4

Di mana kita? Oh ya. Dubai.

Kami singgah di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai (DXB) sebelum meneruskan perjalanan ke London. Setibanya di sana, kami buru surau terlebih dahulu. Bertemu Tuhan dan melepas lelah.

Walau tak berkesempatan keluar dari lapangan terbang, kemewahan kota Dubai sudah memancar dari segenap kilau lantai, dinding, dan seribu satu jenama masyhur yang terpampang merata-rata. Kawasan beli-belah bebas cukai di DXB buat saya rasa hilang arah dan papa.

Benarlah, dunia kini hanya milik yang punya harta. Ah, bahkan sejak dahulu pun begitu bukan?

Para peserta mengambil kesempatan transit di DBX untuk merehatkan diri sepenuhnya kerana kami diberitahu penganjur, program akan bermula sebaik sahaja kami mendarat di Heathrow.

Tiada tempoh. Tanpa tangguh.

Cuma saya yang berlegar-legar di ruang beli-belah kerana ada teman di London yang mengirim sekarton rokok. Jurujual di kaunter semuanya peramah. Bahkan saya tertangkap terus.

"Where are you from? Malaysia?" gadis kulit hitam di mesin tunai manis sekali tersenyum sambil cekatan menekan butang-butang angka - menukar nilai harga dari Pound Sterling ke Dirham Emiriah Arab Bersatu. Barangkali dia sudah lama bertugas di situ. Sedia dibaca tiap kerut dan kedut di raut wajah pengunjung.

Selain kiriman teman, saya sempat membeli magnet hiasan untuk peti sejuk. Eja dan Shamsul pun ada. Mereka sibuk membelek-belek rak berisi poskad. Saya senyum saja kerana saya sudah beli.

Hanya sekeping, untuk cinta hati.

Tidak perlu setem. Hanya beli poskad dan tulis ucapan. Kaunter khidmat pelanggan akan menguruskan segalanya dengan caj tiga dirham.

Penerbangan dari Dubai ke London, kami mengulang ratib serupa. Tidur, makan, dan bergelumang dengan ICE.

Akhirnya kami mendarat di Heathrow, lebih kurang tujuh jam kemudian. Waktu di London sekitar tujuh pagi. Saya masih ingat wajah langit yang separuh mendung saat tayar A-380 bergeser dengan landasan.

Huru-hara juga kami sesudah tiba, mengambil bagasi, dan beratur menghadapi tegas garang Jabatan Imigresen UK. Tapi itu cerita lainlah.

Kita teruskan dalam siri kemudian.

Hanya Sepuluh 146

Tampaknya zaman kini, tiap undi punya harga.

Kalian punya, berapa?

1.4.13

Hanya Sepuluh 145

Kasihan April.

Sudah terlalu lama dia dipaksa bersahabat dengan ketololan.

31.3.13

Hanya Sepuluh 144

Bilakah kali terakhir kau benar melihat api membakar belanga juadahmu?

Nota London #3

Kita jumpa lagi.

Selesai saja taklimat dan majlis pelancaran KEMBARA, saya kembali semula ke lobi Hotel Sama-Sama untuk menyudahkan beberapa e-mel dan menyemak akaun Facebook dan Twitter.

Ini rutin masa kini. Jadi hamba dunia maya yang cuma diwakili gambar dan kata-kata. Betapa hiba, kita tidak lagi bergebang dan bersentuhan di depan mata.

Kemudian saya cari Gina di WhatsApp. Katanya, rombongan sudah mula bergerak ke KLIA. Saya bergegas ke sana dan terus ke kaunter daftar masuk Emirates. 

Tapi geng KEMBARA yang lain tiada.

Rupa-rupanya saya sampai awal. Mereka menyusul kemudian. Kami beratur di laluan kelas ekonomi. Masing-masing sibuk menanda beg dengan rencam penanda dan tali. Entah bimbang hilang atau sukar dikesan kelak tiba di Heathrow.

Saya cuma melawan kantuk yang semakin beraja di mata.

Ela tak sabar ke balai berlepas. Kami ke balai berlepas dengan Aerotrain yang mengangkut penumpang dari KLIA ke terminal berlepas.
Kami di balai berlepas. Anjung hijau di belakang kami menampilkan konsep KLIA sebagai lapangan terbang dalam taman, taman dalam lapangan terbang. Satu-satunya lapangan terbang di dunia yang menerima anugerah Green Globe.
Selesai urusan daftar masuk, kami ke balai berlepas. Tidak seperti lapangan terbang antarabangsa lain, KLIA pada hemat saya tidaklah terlalu intrusive dalam pemeriksaan keselamatan. Yang sedang-sedang saja.

Saya ditempatkan di kerusi 59G, sebaris dengan Eja, Hanif, dan Gina. Nombor penerbangan EK347. Menjelang panggilan terakhir untuk penumpang masuk, kami semua sudah berada di dalam perut Airbus A380-800, pesawat penumpang terbesar di dunia. 

A380 mula digunakan dalam operasi komersil oleh Singapore Airlines, jiran kita. Namun Emirates - syarikat penerbangan Emiriah Arab Bersatu - menempah bilangan A380 tertinggi di dunia setakat ini iaitu 90 buah.

Dian sudah memeluk bantal walau kapal terbang belum berlepas.
Pada awalnya saya terlena, bahkan tak tersedar saat tayar kapal terbang bergeser meninggalkan landasan. Entah beberapa lama, saya terjaga dan menonton filem melalui ICE (Information, Communication, Entertainment) - saluran interaktif yang disediakan Emirates.

Sepanjang penerbangan dari Kuala Lumpur ke Dubai, saya sempat menonton dua filem. Hitchcock lakonan Anthony Hopkins dan Helen Mirren; dan Argo lakonan (serta arahan) Ben Affleck. 

Kedua-duanya menakjubkan walaupun saya tak sempat menghabiskan Argo kerana mata saya tumpas selepas menikmati makan malam di udara: nasi dengan ayam masak merah (yang sedikit hambar), salad tuna, ban dengan keju dan coklat gelap, biskut kering, jus oren, dan air mineral.

Eja dan Hanif saya lihat ralit juga berhibur dengan ICE. Cuma Gina yang lebih kerap memejam mata.

Kami tiba di Dubai lebih kurang enam jam kemudian.

Itu cerita lain pula. Kita sambung lain kali.

29.3.13

Temple Run 2 dan Nyawa

Semalam saya berbuka puasa dengan Shahrul Nizam a.k.a Bonat. Teman segila saya dalam debat dan pengucapan awam. 

Kami pilih Sri Hainan Kopitiam di Seksyen 9, Shah Alam. Bonat pesan nasi ayam. Saya mahu cuba mi wantan. Sambil tunggu azan, Bonat pinjam telefon bimbit saya dan mula tenggelam dengan permainan Temple Run 2.

Saya biarkan saja. Tumpuan saya lebih terarah kepada sekumpulan pelajar MSU yang meriah menyambut hari lahir salah seorang daripada mereka. Tujuh meja dicantum panjang. Sebutir kek jadi tumpuan acara, bersama gadis hari lahir yang manis tersenyum dalam kerudung ungu.

Kembali pada Temple Run 2. Saya pesan pada Bonat, permainan itu - di telefon saya - sudah digodam. Ada lebih 2 juta keping emas dan 2 juta keping zamrud. Saya tahu, ada pembaca yang sudah kepeningan.

Dalam Temple Run 2, pemain dikehendaki mengawal karakter yang berlari tanpa henti menyusuri pelbagai rintangan (jurang, tanah runtuh, hambur api, sungai deras, landasan kereta api lama) sambil mengutip emas. Andai kecundang, "nyawa" karakter boleh disambung dengan zamrud dalam simpanan.

Jadi saya pesan pada Bonat, menekuni permainan itu di telefon bimbit saya sudah hilang ujanya. Tiada thrill sebab setiap kali mati pun, pasti boleh disambung dengan bekal lebih 2 juta zamrud.

Ketika itulah Bonat mengangkat wajahnya seraya berkata:

"Patutlah Tuhan beri kita satu nyawa saja ya?"

Saya tergamam.

Nota London #2

Okey. Kita sambung.

KEMBARA dimulakan dengan taklimat dan majlis pelancaran di Hotel Sama-Sama. Orang marhaen macam saya, terlongolah saat tiba di lobi hotel itu. Maklum saja, hotel lima bintang. 

Hotel Sama-Sama betul-betul bersebelahan dengan KLIA. Kalau berjalan menerusi jejambat udara yang menyambung kedua-dua bangunan agam itu, cuma lima minit.

Oh, kembali kepada lobi. Memang mewah. Marmar dengan corak geometri jadi lantai. Paling ketara, gabungan motif bulatan dan segitiga yang menguasai ruangan tengah lobi. 

Yang megah menunjang siling, tiang-tiang gergasi rona hijau dengan kemasan di hujung bermotif daun palma, barangkali sempena tanah Sepang yang dijajah sawit.

Saya tiba awal. Lebih kurang sejam sebelum majlis bermula. Jadi saya bermalasan di ruang kiri lobi yang menempatkan jujuk sofa empuk. Semak laman sosial dan balas e-mel.

(Dari kiri) Faiz, Syukri, dan Azri menunggu taklimat. Mereka ini macam The Three Musketeers. Setia segandingan.

Sebelum taklimat bermula, saya berkenalan dengan peserta lain di ruang menunggu. Itulah kali pertama saya bertemu dengan Faiz, Syukri, Eja, Ela, Hanif, Shamsul, dan Azri. Dua orang lagi peserta, saya sudah kenal sebelum ini. Dian pernah bergelar pendebat universiti.

Seorang lagi, Gina. Rakan penulis saya di rumah penerbitan Buku Fixi. Yang saya cemburui juga sebab dia pantas betul menulis dan kerana saat saya menaip entri ini, dia sedang bercuti di Melbourne. Amboi.

Taklimat diadakan di Bilik Boeing 1 dan 2. Ya, bilik taklimat di hotel ini dinamakan sempena model kapal terbang. Bilik Airbus pun ada. Pengarah Urusan ITBM, Encik Khair Ngadiron dan Presiden PENA, Dr Saleeh Rahamad - kedua-duanya memberi ucapan.

Pengarah Urusan ITBM, En Khair, memberi ucapan.
Presiden PENA, Dr Saleeh Rahamad, khusyuk mendengar ucapan. Saya berharap benar dapat ketemu dia lagi. 

Saya terkesan sekali dengan kata-kata Dr Saleeh tentang amanah berkarya. Tentang para sasterawan dan karyawan masyhur yang sudah pun menghasilkan adikarya atau masterpiece pada usia muda. Salina, misalnya, dihasilkan oleh A. Samad Said dalam usia 20-an.

Sungguh, saya berasa amat kerdil dan sarat kekurangan. Betapa papanya kantung karya saya. Perlu lebih banyak belajar dan terus belajar untuk menulis dengan lebih hemah dan ilmu.

Usai ucapan, kami diperkenalkan seorang demi seorang kepada pihak media. Saya sukar memberi tumpuan ketika sesi bergambar kerana hidangan minum petang di hujung dewan sudah mula merembes aroma tak terelakkan.

Kemudian kami menjamu selera. Saya rasa sungguh bertuah kerana sempat bergebang dengan Dr Saleeh sambil menggomol skon yang dibalut krim putar. 

Ketika itulah saya sedar bahawa hanya tinggal beberapa jam lagi sebelum penerbangan ke London bermula. Saya sedar, barangkali inilah peluang untuk saya memenuhkan kantung karya yang papa. Dengan KEMBARA.

Supaya saya - sekali pun tidak bisa ke langit seperti bintang yang saya puja - mampu berdiri di tangga malam tertinggi, bernyanyi di bawah cahaya mereka.

Kita jumpa lagi di entri seterusnya. Ciao!