27.3.13

Nota London #1

Ini tanda orang pemalas. Sudah lebih seminggu program tamat, barulah terhegeh-hegeh mahu mengarang entri blog. Tapi tak mengapalah. Bukankah lewat itu lebih baik berbanding tiada?

Saya diberi peluang oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) untuk menyertai Kembara Penulis Muda ke United Kingdom (KEMBARA).

Muda? Ya, saya tahu saya sudah tidak tergolong dalam kategori itu. Tak mengapalah. Yang penting, peserta program itu muda-muda belaka, kecuali saya. Ada yang baru saja menerima keputusan SPM tempoh hari. Elavarasan dan Hanif, kalau tak silap saya.

Kami berkampung di London 10 hari. Ya, lamalah juga. Jadi saya pun mahu rakam sesuatu dalam Salah Taip, sebagai tanda ingatan saya kepada semua yang terlibat dalam KEMBARA, terutama sekali Encik Wan Hulaimi dan Puan Zaharah yang menjadi tulang belakang kami sepanjang tempoh berada di sana.

Sepasang suami isteri yang sudah lebih 30 tahun mendiami bumi Inggeris. Mereka kaya pengalaman. Mewah hilai tawa.

Mahu tulis travelog di sini, tapi saya kurang arif. Lagi pun, apa yang saya tahu tentang London dalam masa sepuluh hari? Setakat berkisah tentang kawanan merpati di Marble Arch atau sup panas Pret A Manger, tanya Google pun boleh.

Jadi, saya siapkan Nota London di Salah Taip. Ini catatan rawak saja. Tentang kisah dan sudut pandang yang masih bersisa dalam memori, buku catatan, dan contengan yang dahsyat benar kehodohannya di aplikasi S Note.

Juga gambar, dari tujuh kamera. Ya, lebih 36GB semua sekali dalam simpanan cakera keras saya. Kami memang berahi berfoto.

Semoga siri ini mengekalkan rindu dan kenangan kami semua di sana.

(Dari kiri) Baris atas: Encik Anuar, Faiz, Azri, Syukri, Syamsul, Eja, Puan Nasriah. Baris bawah: Ela, Dian, Encik Jefri, Encik Hulaimi, Nizam, Hanif, Gina. 

Kembali

Februari (dan Mac juga sebenarnya), Salah Taip tak tersentuh. Selepas menghadiri Kembara Penulis Muda ke London anjuran Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), saya kembali menemui semangat untuk mengisi blog ini.

Encik Hulaimi dan Puan Zaharah benar-benar menggilai perkongsian pengalaman dan uja penulisan melalui blog. Saya terkesan.

Malah Encik Hulaimi berkali-kali mengulang ayat ini:

Facebook kills all the talents.

Saya setuju juga. Well, partially.

Jangan risau, semangat ini bukannya lama. Roh malas akan kembali merasuk bila-bila masa dan Salah Taip akan kembali sunyi. Itu memang tabiat saya. Malangnya.


14.1.13

Hanya Sepuluh 143

Harus akur, bahawa pada #KL112 ada sejarah terlakur.
Walau kabur.

Hanya Sepuluh 142

Dosa paling celaka?
Yang sengaja.
Walau tahu, buat kali kedua.

Hanya Sepuluh 141

Soal tergoda, yang memilih bukan kita - Dia tahu kita haloba.

1.1.13

Selamat Datang 2013

2012 seperti tahun sebelumnya jua.

Aku dan ketidaktahuan.

Bezanya, kutemukan teman yang setia, sarat cinta dan budi mulia. Semoga Tuhan mengarang kisah yang panjang untuk kami.

Bahkan kuharap selamanya.

Semoga keluarga terus panjang usia. Semoga kudrat tak putus untuk berkongsi cerita.

Semoga Salah Taip lebih meriah tahun hadapan.

Lihat? Hampir tamat 2012 pun aku masih sempat menabur janji palsu.

24.12.12

Instagram

Saya temukan cinta baru di Instagram. Kasihan Salah Taip, dianaktiri buat kesekian kali.

7.12.12

Hanya Sepuluh 140

Masa itu kemewahan. Hanya dimilik Yang Maha Esa. Bukan kita.

6.12.12

Hanya Sepuluh 139

Terasa sukar dipercaya, menulis di atas kaca persis kertas biasa.

5.12.12

Kispen 126: Ganggu

"Oi, jauh termenung." Adib petik jari di depan mata Raden.

"Eh, mana ada." Radin terkulat-kulat. Senyum palsu mula dilukis.

"Mana ada konon. Dari tadi aku tengok kau terlopong sambil tongkat dagu."

Raden segera bangkit dan menikam Adib berkali-kali dengan gunting yang ditemukan di hujung meja. Semakin Adib mengerang, semakin dalam rodok diulang-ulang.

Terasa puas, walau cuma dalam khayal. Siapa suruh kacau. Dia sudah begitu hampir menyentuh gadis idaman saat Adib petik jari tadi.