23.7.12

Hanya Sepuluh 114

Kuih mahal dibeli juga, berbungkus akhbar tercetak slogan:

Rakyat didahulukan.

22.7.12

Nota Ramadan #45

Terlena beberapa minit sebelum berbuka dan terjaga. Denyut mamai seolah bergendang di dalam kepala. Mujur saya masih punya selera berbuka. 

Demi Tuhan, saat garis sedar mula dipadam sang lena, pedihnya bertimpa-timpa.

Nota Ramadan #44

Sambil berlegar di bazar Ramadan, saya (bahkan kita semua) sedar tentang perbezaan yang wujud dalam kalangan peniaga.

Sekali jeling, kita sudah tahu peniaga ini baru berniaga tahun ini atau penjajah bazar Ramadan yang berpengalaman.

Walau pertama kali ke bazar itu, perbezaan masih dapat dihidu.

Pun begitu, saya lebih tersentuh sesudah menyedari tiada beza antara yang baru dan lama. Pengunjung akan tetap singgah memburu juadah pilihan hati.

Betapa luas gelanggang rezeki Tuhan buka untuk mereka, berkat menyediakan kudapan untuk yang berpuasa.

Semalam saya pilih roti john dan air tebu. Menyelerakan.

20.7.12

Nota Ramadan #43

Ramadan tiba lagi.

Detik ini, selalunya sesudah Tarawih, saya akan cebik bibir pada diri sendiri.

Kau awal puasa, memanglah azam itu ini. Tapi tiap-tiap tahun tak terbuat.

Tahun ini pun saya tetap mahu berbalah dengan hati.

Semoga tahun ini saya berjaya buktikan bahawa hati saya salah. Ah, dia selalu saja tahu jalan untuk menang. Kurang ajar.

Kispen 105: Derma

"Abang,"

Kasyful tersentak. Lena ternoktah saat suara isteri kedengaran.

"Sayang, sayang dah sedar. Syukur," Kasyful genggam tangan isterinya, Adawiyah. 

"Saya selamat, bang?" Adawiyah masih lesu. Tekaknya perit, kontang.

"Semua okey. Kejap lagi doktor datang," Kasyful alih helaian rambut yang terjuntai di wajah Adawiyah.

Pintu kamar diketuk. Seorang lelaki lewat 40-an berkemeja biru tua masuk diiringi dua jururawat. Pemeriksaan rutin pasca pembedahan dilakukan sebelum doktor semak fail maklumat pesakit.

"Puan berehat dulu. Kalau ada apa-apa, boleh panggil nurse. So far semua okey. You're doing well. Lagi pun cik abang awak ada kan?"

Doktor dan Kasyful berjabat tangan.

"Sayang, saya balik kejap. Sayang rehat. You'll let me know if anything, okay?"

Belum sempat Kasyful berdiri tegak, Adawiyah ragut lengannya.

"Abang,"

"Ya?"

"Abang tak bagitau doktor tu macam mana kita dapat buah pinggang ni kan?"

Kasyful geleng kepala. Dia yakinkan Adawiyah bahawa segala yang dirancang tak terhalang. Pihak hospital diberitahu buah pinggang didermakan ahli keluarga yang mahu identiti dirahsiakan. Ujian darah menunjukkan penderma dan Adawiyah sepadan.

"Ingat saya nak balik ni kenapa?" Kasyful rapatkan bibir ke telinga Adawiyah. "Mayat dia ada lagi dalam tab mandi."


Irama: Bahagian Akhir

Bahagian ( 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 )

“Sorry lambat,”

Klien sudah tiba.

“Semua dah settle?”

Jon angguk. Dia buka mulut beg dan keluarkan iPhone. Lima gambar bergilir-gilir ditayang pada skrin telefon. 

Kesemuanya hampir sama. Kamar mandi dengan lampu suram. Ada tubuh kaku separa tenggelam dalam tab mandi. Mata terkatup. Mulut terlopong. Telanjang.

“Video?”

Jon keluarkan kamera video Legria. Dia sumbat fon telinga pada kamera video dan dihulur pada klien. Simbol play pada skrin kecil ditekan. 

Kliennya kagum dengan sudut kamera. Tubuh Jon langsung tak kelihatan. Lensa kamera cuma tertumpu pada kepala mangsa yang ditekan dan diselam dalam tab mandi. Jerit dan sedak cuma bertahan seketika sebelum mangsa longlai. 

Jon sudah mangli dengan rencam ragam klien. Ada yang cerewet, mahu bukti itu ini sebelum harga dilunas. 

Ada yang tak banyak berkira.

“Bagus,”

Sampul surat sendat dilungsur di muka meja. 

“Separuh lagi aku bagi lepas tengok mayat,”

Jon angguk. Dia angkat tangan pada Fandi. Selang seminit, Fandi tiba dengan dulang kecil berisi sebotol vodka dan dua gelas kecil. 

Klien Jon tuang isi botol perlahan-lahan. Jon cuma geleng kepala apabila dipelawa minum. Jon periksa semula beg galasnya.

Semua ada.

Lagu adunan semula Rain On Me gandingan Marc Anthony dan Pitbull bergema. Seolah segenap inci dinding kelab bergetar. Lantai tari mula diisi kinja dan dansa. 

Jon bingkas. Dia mahu beredar. Kliennya masih ingin meraikan maut musuh. 

Jon merapatkan tubuh pada klien seolah ingin membisikkan sesuatu. Pistol pantas diambil dari dalam jaket. Dua das tembakan di dada tenggelam dalam muncung penyenyap dan dentam irama yang menyumbat telinga segenap pengunjung bar.

“Don’t worry. Aku settle. Jangan lupa cut aku.” Fandi melangkah tenang di sisi Jon.

Jon angguk. Dia sudah lewat untuk ketemu klien seterusnya.

Hanya Sepuluh 113

Seolah hanya pada Ramadan kita bertuhan.

Belum puas diri didusta.

18.7.12

Irama: Bahagian 6

(Bahagian 1 | 2 | 3 | 4 | 5 )

Suaranya menjalar bagai racun paling berbisa ke segenap pembuluh darah. Tidak seperti vokalis Runutbunyi yang mengalun indah penawar jiwa. 

Kata mereka cinta dan perang saksama
Namun deminya usah sengketa
Biar bersama biar kita sekata

Jon ambil skaf hitam di bahu si rambut perang. Dia berdiri di belakang Nadaraj yang masih berusaha mengejar bait lirik yang bertukar warna di skrin. 

Hujung skaf digenggam kemas. Tangannya disilang. Jalur skaf membentuk bulatan. Hanya sedetik pandangan Nadaraj berbalam dilintasi skaf sebelum lehernya dijerut. 

Jon tarik hujung skaf kuat-kuat sambil mengelak gapai tangan Nadaraj yang cuba mencakar wajah. 

Sehingga Nadaraj terkulai.

Sehingga sang ajal sampai.

Jon bersalaman dengan teman bisnes Nadaraj. Sekeping sampul surat sarat isi bertukar tangan. Jon keluar dengan dulang kosong. Pelanggannya keluar 15 minit kemudian sambil papah Nadaraj. 

Tidak ada sesiapa yang menjeling curiga. Manusia yang sedarnya sudah binasa dilumatkan minuman keras memang sering dipapah begitu. 

Sambil reguk Coke dan renung rantai perak di leher vokalis Runutbunyi, Jon tersenyum. 

15 minit. Maksudnya mereka sempat bernyanyi dua atau tiga buah lagu bersama mayat Nadaraj. 

Gila. Terkadang harta memadam sinar jiwa. Tapi Jon enggan cakna. Dia cuma buat kerja.

***

Runutbunyi masih menghiburkan pengunjung Fana Beat. Lagu rancak dan perlahan berselang-seli. Jon periksa semula beg galasnya.

Semua ada.

“This is our last song tonight,” ujar vokalis Runutbunyi.

Jon keluh berat dalam hati. Dia masih belum puas. Namun begitulah rutin di bar ini. Persembahan kugiran hanya pembuka selera. 

Saat malam menghampiri garis siang, pengunjung perlu degup dan dentum disko. DJ akan ambil alih tampuk kuasa irama. Tidak perlu kata penuh makna. Hanya gegar pembesar suara dengan rentak yang menjadi simpul mengikat kaki dan tangan pengunjung di lantai tari. 

DJ jadi pawang baca serapah menukar manusia jadi boneka. Sekali nada berdentang, sekilas tubuh digoyang. 

10:48 malam. Suara vokalis Runutbunyi bersipongang. Tanpa iringan gitar.

Jari memetik derita
Kisahku didendang kata
Perlahan dibunuh irama
Ku dibunuh iramanya
Seluruh hidupku disabda
Ku dibunuh iramanya

Tidak akan ada sesiapa yang mampu menzahirkan sisi gelap Killing Me Softly With His Song selain Roberta Flack. Itu Jon pasti. Namun dia tetap kagum dengan serak vokalis Runutbunyi yang punya rencah sendiri untuk lagu itu.

Meremang juga roma.

Jon sedikit tersentak saat bahunya dicuit dari belakang.

Hanya Sepuluh 112

Yang berpesan dipersenda. Apakah tanda Dia makin luput di minda?

Terima Kasih

Sudah lima ratus ibu jari tegak, menyatakan like pada Salah Taip.

Terima kasih.

Sepatutnya blog ini lebih kerap terisi. Cuma saya yang culas.