26.3.12

Malam Pertama: Bahagian 3

(Bahagian 1 | 2)

Malam itu mata Jalil enggan lena. Telinganya masih dihurung tempur kata di ruang tamu tadi. 

Kalau diturut alun amarah yang berpuput, aku pun mahu bentak Pak macam Long. Tapi aku tak mahu sakitkan hati Pak. 

Sepatutnya Jalil paling layak melancar amuk. Salbiyah bekas kekasihnya dahulu. Hampir dua tahun mereka berpacaran, namun akhirnya Salbiyah minta dia berundur. Katanya mahu sudahkan pelajaran, dan Jalil serba sedikit melalaikan. Jalil akur; apa sahaja asalkan Salbiyah bahagia. 

Bala apa yang menimpa? Apa rasanya saat bersalaman dengan Salbiyah nanti? Terbitkah nanti ‘mak’ dari bibirku? 

Bukannya Pak Maun tak tahu kisah cinta Jalil-Salbiyah. Dia yang jumpa gambar mereka berdua-duaan, berpacaran di kota. Panjang lebar juga Pak Maun berleter tentang muhrim atau mahram, entah. Jalil pun sudah lupa yang mana.

Dan Pak mahu menikahinya?

Rosyan masih berteleku di ruang tamu. Dia tahu Jalil dan Adib pun masih berjaga. Lampu bilik Jalil masih bernyala.

Bilik Adib, sekali pun gelita, namun masih sayup terdengar selang-seli bingit kicau burung dan dengus babi. Dia tahu niat Salbiyah memikat Pak Maun. 

Semua penghuni Kampung Sekangkang Kongkang ini kenal Pak Maun. Hartawan paling rendah diri.

Entah berapa ekar ladang getah di hujung kampung. Entah berapa ekor lembu meragut di padang bekas bendang padi. Entah berapa buah rumah sewa di pekan.

Rumahnya tetap rumah usang yang itu-itu juga. Rumah kayu empat bilik peninggalan moyang. Hartanya untuk anak-anak. 

Namun itu pasti saja berubah sebaik sahaja tubuh montok Salbiyah mengelus segenap inci kejantanan Pak Maun. Selepas ini, semua akan jadi milik Salbiyah. 

Tak akan ada satu sen pun yang ditinggalkan untuk aku dan adik-adik. Sebab itu Salbiyah pikat Pak. Sebab itu dia sanggup. 

Biar gelambir, asal harta melimpah tak tertabir.

Kispen 96: Samun

Abal kawal nafas. Di sebalik dinding, dia intai wanita berblaus korporat rona hijau terang. 

Aku cuma mahu wang. Bukan tubuh.

Mangsa berjalan tenang seorang diri di kaki lima. Sekali-sekala dia meneliti skrin telefon bimbit. 

Abal seluk saku. Pisau lipat sudah cukup buat menggertak. Yang penting jegil mata dan gerak laku.

Sial.

Abal terlupa. Pisau ditinggalkan dalam perut mangsanya semalam. Terlalu dalam dirodok. 

Siapa suruh melawan.

Hanya Sepuluh 94

Si Puteh mengiau, berehat di riba empunya.

Yang tidak bernyawa.

24.3.12

Malam Pertama: Bahagian 2

(Bahagian 1)

“Memang tu pun adatnya, Pak. Adik pun sama. Sibuk dengan law firm. Jumpa klien merata-rata. Angah pun sibuk. Kita semua sibuk, mana cukup sekali-sekala balik kampung. Ada Salbiyah, sekurang-kurangnya Pak ada teman.”

Ruang tamu bungkam. Masih-masing kulum kata. Hakikatnya, empat beranak ini masih rindu pada gemulah Mak Melor.

Bulan lepas, Mak Melor rebah tiba-tiba di dapur ketika menggaul tepung dan pisang – bikin cekodok buat Pak Maun. Saat dibawa ke hospital, Mak Melor kekal kaku dalam ambulans. 

Pak Maun tahan tangis, dia genggam tangan Mak Melor kuat-kuat. Hampir 30 tahun bersama, belum pernah Mak Melor ditimpa sakit tenat. Tahu-tahu saja, dia terjelepok di lantai dapur.

Tiba di hospital, doktor geleng kepala. Nadi Mak Melor sudah berhenti. Bibirnya ada ulas senyum. 

Kata Lebai Raqib, orang yang mati senyum tanda banyak pahala. Tanda masuk syurga. Pak Maun percaya.

Bahkan setiap patah kata diiring percik liur Lebai Raqib yang terletus setiap kali berlangsung kuliah Subuh dan Maghrib, Pak Maun percaya semuanya.

Minggu kedua tahlil, Lebai Raqib acap tiba dengan kereta yang dipandu anak tunggalnya, Salbiyah. Dia terseliuh di bendang, kaki berbalut hingga ke buku lali. 

Salbiyah yang papah Lebai Raqib masuk ke ruang tamu. Saat itu juga Pak Maun tak pernah terlepas merenung wajah Salbiyah yang terlalu mulus. Mata bundar diteduhi bulu mata lentik itu memukau. Berkali-kali Pak Maun istighfar.

Syaitan apa yang merasuk nafsu agar jatuh cinta saat manusia lain bersedekah kalimah Tuhan kepada arwah isteriku?

Namun dia tumpas. Dia juga manusia.

Hanya Sepuluh 93

Tumpas sang pengemis. Di tangannya gelas kertas McDonald's sang kapitalis.

23.3.12

Kispen 95: Penyeluk

Hari ini bisnes macam biasa. Bob tenang berdiri di dalam tren walau dimpit seribu satu penumpang. Hanyir, hamis, dan pesona wangian murah berbaur dalam Komuter KTM.

Hentian KL Sentral muncul di jendela tren. Pintu terbuka. Manusia berasak masuk dan keluar seolah di medan perang. Tiada aturan, dirempuh segala yang menghalang.

Bob ekori rapat mangsanya. Dia sudah biasa. Dompet dicopet tanpa sedar. Keluar dari hentian, Bob tiba di ruang legar KL Sentral. 

Dia ke tandas.

Hampa.

Walau kelihatan mewah dengan sut hitam sepasang dan beg sandang kulit, dompet mangsa cuma ada RM50 dan beberapa keping syiling.

Bob belek bahagian kad. Ada sekeping gambar terselit, mangsa berpelukan dengan seorang gadis. Bulu romanya menegak.

Nina, bekas cinta hatiku.

Kispen 94: Mahaguru

Sang Ilham mengurut janggut putih separas dada. Tiga pemuda tegak di hadapannya, tertunduk.

"Syabas. Kalian semua telah khatam segala ilmu. Bisa ditumbang segala seteru. Pastikan pencak seiring ilmu."

"Baik, tok!" 

"Di luar sana musuh di mana-mana. Jangan dicari. Hanya dibuka langkah bersilat gagah andai nyawa kamu diacah."

"Baik, tok!"

Kali ini jawapan muridnya lebih nyaring. Dinding gua terasa seolah bergegar.

"Aku ada satu soalan. Kalian kini pendekar ulung. Sudah habis segala jurus aku perturunkan. Pasti ada seorang manusia yang kalian dendami, yang kalian mahu mati."

Bungkam. Tiada yang menjawab.

"Andai kalian diberi peluang, siapa orang yang pertama kalian akan bunu..."

Bap! Bap! Bap!

Dua penumbuk hinggap tepat di dada, disambung tikaman jari ke leher. 

Sang Ilham rebah. Kaku. 

Terlalu pantas. Tak sempat dilihat, yang mana satu muridnya yang meluru.

Hanya Sepuluh 92

Gadis kaunter tersilap baki.

Esok teruna datang lagi.

Bawa hati.

Hanya Sepuluh 91

Diajak berbincang, giat memulau. Usah pembangkang pongoh, bimbang bertukar bodoh.

Malam Pertama: Bahagian 1

“Mak baru sebulan meninggal, Pak. Dah nak nikah lain? Apa dah jadi ni, Pak? Gatal sangat?” Rosyan geleng kepala. Dia mundar-mandir di ruang tamu. Semakin lama dia tenung kernyih bapanya, Pak Maun, semakin pedih ulu hatinya disayat.

“Jangan biadap, Long.” Jalil tenung cawan berisi teh. Entah berapa kali dia cuba hirup, namun teh terlalu panas. 

Pak memang begitu, dia hanya mahu teh dengan wap berkepul. 

Usai tempik cerek, terus angkat dan tuang air menggelegak dalam teko.

“Aku cakap benda betul, Ngah. Semalam kita buat tahlil, hari ni Pak panggil kita ramai-ramai. Cakap nak nikah baru. Mana aku tak bengang.”

“Dengar sini, Rosyan.” Pak Maun mencelah. Senyumnya belum pudar. Sambil layan amarah anak-anak, sempat matanya imbas gebu pipi Salbiyah. Kulit halus kuning langsat. Mata bulat.

“Aku tak nak menyusahkan sesiapa. Aku kahwin pakai duit sendiri. Tak payah kamu semua susah payah nak cari rumah orang tua, nak campak aku sana sini. Dah kahwin nanti, ada orang jaga makan pakai aku. Faham?”

“Saya faham, Pak.” Akhirnya Adib bersuara. Dia habiskan kunyahan biskut kering terakhir. Teh dihirup sekali lagi. “Tapi Salbiyah tu muda sangat dengan Pak. Bolehkah dia jaga Pak nanti?”

“Kenapa tak boleh? Dia anak Lebai Raqib. Tahu hukum-hakam. Nak harapkan kamu semua? Buat habis duit aku hantar belajar agama, tapi semua nak sembah orang putih juga.” Suara Pak Maun bertukar lantang.

“Sudahlah Long, Adik. Pak dah buat keputusan. Biarkanlah. Kalau betul Salbiyah tu boleh jaga Pak, kita kena setuju. Long bukannya ada masa nak jenguk Pak kat kampung. Sibuk dengan menteri. Election kali ni Long nak jadi calon, kan? Mesti sibuk jilat sana, jilat sini.”

“Angah...” Pak Maun tikam pandang pada Jalil.