23.3.12

Kispen 95: Penyeluk

Hari ini bisnes macam biasa. Bob tenang berdiri di dalam tren walau dimpit seribu satu penumpang. Hanyir, hamis, dan pesona wangian murah berbaur dalam Komuter KTM.

Hentian KL Sentral muncul di jendela tren. Pintu terbuka. Manusia berasak masuk dan keluar seolah di medan perang. Tiada aturan, dirempuh segala yang menghalang.

Bob ekori rapat mangsanya. Dia sudah biasa. Dompet dicopet tanpa sedar. Keluar dari hentian, Bob tiba di ruang legar KL Sentral. 

Dia ke tandas.

Hampa.

Walau kelihatan mewah dengan sut hitam sepasang dan beg sandang kulit, dompet mangsa cuma ada RM50 dan beberapa keping syiling.

Bob belek bahagian kad. Ada sekeping gambar terselit, mangsa berpelukan dengan seorang gadis. Bulu romanya menegak.

Nina, bekas cinta hatiku.

Kispen 94: Mahaguru

Sang Ilham mengurut janggut putih separas dada. Tiga pemuda tegak di hadapannya, tertunduk.

"Syabas. Kalian semua telah khatam segala ilmu. Bisa ditumbang segala seteru. Pastikan pencak seiring ilmu."

"Baik, tok!" 

"Di luar sana musuh di mana-mana. Jangan dicari. Hanya dibuka langkah bersilat gagah andai nyawa kamu diacah."

"Baik, tok!"

Kali ini jawapan muridnya lebih nyaring. Dinding gua terasa seolah bergegar.

"Aku ada satu soalan. Kalian kini pendekar ulung. Sudah habis segala jurus aku perturunkan. Pasti ada seorang manusia yang kalian dendami, yang kalian mahu mati."

Bungkam. Tiada yang menjawab.

"Andai kalian diberi peluang, siapa orang yang pertama kalian akan bunu..."

Bap! Bap! Bap!

Dua penumbuk hinggap tepat di dada, disambung tikaman jari ke leher. 

Sang Ilham rebah. Kaku. 

Terlalu pantas. Tak sempat dilihat, yang mana satu muridnya yang meluru.

Hanya Sepuluh 92

Gadis kaunter tersilap baki.

Esok teruna datang lagi.

Bawa hati.

Hanya Sepuluh 91

Diajak berbincang, giat memulau. Usah pembangkang pongoh, bimbang bertukar bodoh.

Malam Pertama: Bahagian 1

“Mak baru sebulan meninggal, Pak. Dah nak nikah lain? Apa dah jadi ni, Pak? Gatal sangat?” Rosyan geleng kepala. Dia mundar-mandir di ruang tamu. Semakin lama dia tenung kernyih bapanya, Pak Maun, semakin pedih ulu hatinya disayat.

“Jangan biadap, Long.” Jalil tenung cawan berisi teh. Entah berapa kali dia cuba hirup, namun teh terlalu panas. 

Pak memang begitu, dia hanya mahu teh dengan wap berkepul. 

Usai tempik cerek, terus angkat dan tuang air menggelegak dalam teko.

“Aku cakap benda betul, Ngah. Semalam kita buat tahlil, hari ni Pak panggil kita ramai-ramai. Cakap nak nikah baru. Mana aku tak bengang.”

“Dengar sini, Rosyan.” Pak Maun mencelah. Senyumnya belum pudar. Sambil layan amarah anak-anak, sempat matanya imbas gebu pipi Salbiyah. Kulit halus kuning langsat. Mata bulat.

“Aku tak nak menyusahkan sesiapa. Aku kahwin pakai duit sendiri. Tak payah kamu semua susah payah nak cari rumah orang tua, nak campak aku sana sini. Dah kahwin nanti, ada orang jaga makan pakai aku. Faham?”

“Saya faham, Pak.” Akhirnya Adib bersuara. Dia habiskan kunyahan biskut kering terakhir. Teh dihirup sekali lagi. “Tapi Salbiyah tu muda sangat dengan Pak. Bolehkah dia jaga Pak nanti?”

“Kenapa tak boleh? Dia anak Lebai Raqib. Tahu hukum-hakam. Nak harapkan kamu semua? Buat habis duit aku hantar belajar agama, tapi semua nak sembah orang putih juga.” Suara Pak Maun bertukar lantang.

“Sudahlah Long, Adik. Pak dah buat keputusan. Biarkanlah. Kalau betul Salbiyah tu boleh jaga Pak, kita kena setuju. Long bukannya ada masa nak jenguk Pak kat kampung. Sibuk dengan menteri. Election kali ni Long nak jadi calon, kan? Mesti sibuk jilat sana, jilat sini.”

“Angah...” Pak Maun tikam pandang pada Jalil.

22.3.12

Kispen 93: Lewat

Cahaya lampu kamar masih belum padam. Hazri duduk di pinggir katil. Songkok baldu diriba. Dia tersenyum sambil hela nafas dalam-dalam. 

Segalanya wangi di kamar ini.

Pintu terbuka. Amalin melangkah masuk. Wajahnya lesu, namun pipi masih memerah. Atau barangkali baru saja bertukar merah saat melihat suaminya yang baru beberapa jam dinikahi.

"Penat?" Hazri angkat kening. Itu saja yang mampu terletus di bibir sesudah seharian tersenyum melayan sekalian tetamu. Matanya sudah berpinar digomol denyar lampu kamera.

Amalin melabuhkan punggung di sisi Hazri. Tanpa sedar tangan mereka saling menggenggam.

"Alin, oh Alin!"

Pintu kamar diketuk. Pengantin baru tersentak.

"Ada apa mak?" Amalin meluru ke pintu. Nafasnya mendengus, berbaur kecewa.

"Keluar kejap. Pakai baju bersanding tadi. Ni ha, Pak Ngah kau satu family baru sampai. Orang jauh, Lin. Nak ambil gambar dengan pengantin. Cepat ya."

Mata Hazri terbelalak. Songkoknya masih diriba.

21.3.12

Terima Kasih

Demi Tuhan, air mata saya semerta bergenang sesudah membaca komen ini. Siapa pun kamu, Jintan Lady, saya ucapkan terima kasih paling polos.

Terima kasih.


Kispen 92: Jiran

Mata Haiqal membundar. Tak pernah dia temukan kek hari lahir seindah itu.

Sebiji kek berbentuk kubus dengan cairan coklat menyeluruhi setiap inci. Lapan batang lilin renek megah di muka kek, setiap satu menjunjung calit api menari-nari.

Lagu selamat hari lahir berlatar belakang tepuk hilai mengisi ruang tamu. Malam diisi riuh.

"Haiqal suka tak?" Raihani bersimpuh di sisi Haiqal. Pipi anak kecil itu dikucup.

Mata Haiqal membundar. Dia mengangguk. 

"Nanti esok kita pergi sekolah, awak cerita tau awak punya birthday hari ni." Gadis genit seusia Haiqal, Umaira, tercegat menghadap Haiqal. Yang memisahkan mereka, meja kopi dengan kemasan logam dan kaca.

"Bukan main anak papa ni." Edham gosok kepala Umaira. 

Raihani potong kek. Sehiris, sepiring.

Telefon berdering. Edham beredar. Gagang telefon diangkat. Angguk berselang bual. Wajah Edham serta-merta keruh. Kepalanya digeleng.

"Kenapa bang?" Raihani mendekati sang suami. Suaranya separuh berbisik.

"Jiran kita baru balik meeting."

"So?"

"Dia tanya anak dia ada tak kat sini."

Bibir Edham dimuncung, dituju tepat ke arah Haiqal yang sedang memalit cairan coklat ke muka Umaira.

Tawa gembira yang ditumpang. Air mata Raihani bergenang.

20.3.12

Kispen 91: Sungkur

Senik panjangkan leher. Rokok yang terapit di bibir dirampas jari. Kepul nikotin rusuh keluar.

"Ada apa tu?" Senik masih belum mahu bangkit. Pelanggan lain mula beredar dari meja masing-masing ke tepi jalan.

"Ada apa?" Senik ulang soal sesudah sedar sekitarnya seolah tuli. Kopi Jantan dihirup.

Jantan, namun masih malas.

"Budak ni terbabas. Laju sangat agaknya." Tempik Itam, sepupu Senik, dari luar kedai kopi.

Senik bingkas dan menyertai pesta mati. Jasad bergelimpangan, wajib dirai.

Anak muda, barangkali 17 tahun, terbaring kaku di pinggir jalan. Rona merah membalut kepala dan mewarna muka tar jalan. Honda EX5 tunggangannya tercampak ke tengah jalan. Herot.

"Tak pakai helmet pula tu." Suara dari kerumun.

Senik teliti tunggangan si mati.

Ada topi keledar terkacip kemas pada bakul motosikal.

Kispen 90: Payung

"Eh? Abang tak basah? Kan hujan tadi." Salina sambut plastik berisi lada hijau dari suaminya.

"Ada payung ni." Umar melangkah masuk ke rumah. Kopiah ditanggalkan. Baju gombangnya kering, kecuali dua tiga titis tikaman hujan di bahu.

Salina kerut dahi. Payung yang disandar di anjung rumah ditenung lama-lama.

"Abang tak bawa payung ke masjid tadi." Ujar Salina.

Umar terkedu. Entah siapa yang kini mundar-mandir di masjid mencari payung hilang.

Atau sudah pulang kebasahan.

Umar sambung istighfar yang dimula dalam sila sesudah salam tadi.