13.7.11

Hanya Sepuluh 78

"Bang, derma."

Aidid renung pengemis, buka beg. "Ni kawasan aku."

Hanya Sepuluh 77

Makin dicari jalan ke hatimu, makin aku sesat. Sayang, pandulah.

12.7.11

Hanya Sepuluh 76

Lina asah pisau, siang daging. Suaminya dalam lima baldi, segar.

Kispen 76: Racun

Sheikh Nawar mundar-mandir. Tiadalah hari melainkan hari ini yang benar-benar membawa walang dalam segenap sudut hati, malah terserlah pula muram durja.

"Akan mengapakah wajah Sheikh sedemikian? Khabarkan pada hamba, andai tiada usai masyghul di dada, setidak-tidaknya sanggup hamba menadah telinga." ujar Zamin, pengikut Sheikh Nawar paling setia.

"Semakin hari, semakin kurang pengikutku di sini. Apa yang kurang? Kuajar segalanya. Silat, tarekat, malah pahala mudah andai memujaku siang malam." kerut kening Sheikh Nawar makin ketara, ibarat dua ayam bersabung hampir bertemu paruh kedua-duanya.

"Tidakkah tiba pada pengetahuan Sheikh, bahawa Tuanku Sultan sudah bertitah bahawa tiada moleknya bergurukan Sheikh di bumi Melaka ini. Segala sesat, segala bangsat."

"Biadap!" Sheikh Nawar hunus keris ke udara. "Harus kita bertindak, jangan dibiar Tuanku Sultan bermaharajalela."

Malam itu, seluruh pengikut Sheikh Nawar berjejal umpama laut manusia di laman rumahnya. Ada juga yang tak ketahuan, sengaja mengekor dek dijanji orang jamuan percuma. 

Bahkan segenap pengikutnya tiada yang diam melainkan bertempik marah. Marah pada Sultan, marah pada dunia. 

"Dengarkan wahai pengikutku. Hanyasanya yang aku ingin khabarkan, bahawa seisi istana membenci kita semua. Kononnya kita pembawa faham sesat, kononnya aku mahu menjatuhkan Tuanku Sultan. Ini semua dusta!"

Sheikh Nawar. Sheikh Nawar. Sheikh Nawar. Laungan gegak gempita.

Zamin tampil dari dalam rumah dengan dulang berisi bekas air dan pisang rebus.

"Aku mahu kalian menjamu selera dahulu. Kemudian akan kukhabarkan apa yang perlu kita lakukan. Silakan." Telunjuk Sheikh Nawar menuding ke arah jujuk meja di pinggir laman rumah. Segala makanan yang terbayang di minda, terhidang di depan mata.

Namun pengikutnya tidak berganjak. Ajaran Sheikh Nawar, biar dia menjamah hidangan dahulu, barulah yang lain menyusul.

Dia reguk air perlahan-lahan, kemudian terbatuk-batuk. Darah hitam merah pekat terpercik keluar dari rongga mulut.

"Lihat! Lihat! Ini pasti angkara panglima rahsia Tuanku Sultan. Sanggup meracuni pisang rebusku. Ayuh sekalian pengikut, amuk ke istana. Merusuh ke sana!" Sheikh Nawar meramas dada, tersandar pada tiang rumah.

Pengikut Sheikh Nawar berlari keluar. Jamung, parang, tombak, segala dijulang. 

Kecuali seorang anak kecil yang tercegat di laman rumah. Matanya terkandung seribu soal.

"Wahai Sheikh yang hamba puja, kata Sheikh, Tuanku Sultan meracuni pisang rebus. Tapi, tidak pula hamba terlihat Sheikh menjamah pisang itu, melainkan seteguk air."

Zamin terlongo. Sheikh Nawar menusuk renung bengis padanya. Helah bahlul dipercayai sekalian pengikut, kecuali cilik paling pintar.

Hanya Sepuluh 75

Batil tetap batil, walau ada lebih batil, tak menafikan kebatilan.

11.7.11

Kispen 75: Adegan

Ruang tamu mulai penuh. Di tengah-tengahnya jenazah terbujur dalam kafan. Pengunjung mengelilingi jenazah, masing-masing tekun mengalunkan bacaan Yasin. 

Atau mana-mana ayat suci yang masih terlekat di cepu kepala.

Bacaan Yasin semakin nyaring. Isteri si mati menangis sedu-sedan sendiri, sambil ditenangkan teman dan jiran.

"Cut!" Brando angkat tangan. "Bagus. Bagus. Kita wrap dulu hari ni."

Anis lap air mata. Bukannya sukar menangis di depan kamera. Dia sudah mangli, bahkan digelar Ratu Air Mata Baru dalam gelanggang filem.

Pelakon tambahan bersurai. Anis mendekati tunangannya, Azril yang masih terbujur kaku.

"Baby, dah habis la." bahu Azril digoncang. Dia masih terbaring.

"Baby, jangan main-main. Tadi kata nak dinner sama-sama, kan?" Degup jantung Anis seraya deras. "Baby, bangun! Bangun!"

Anis menangis semahu-mahunya. Brando berlari masuk semula ke rumah. Jarinya pantas mengesan nadi di pergelangan tangan dan leher Azril. Telinganya mendarat ke dada Azril.

Azril masih kejur. Brando geleng kepala.

Malam itu, ruang tamu penuh semula. Jenazah sama di tengah-tengah para pengunjung.

Bezanya, alunan Yasin bergema tanpa kamera.

10.7.11

Kispen 74: Ros

"Dapat lagi, Amrul?" Hariz ketawa besar sambil lintas kubikel teman pejabatnya.

Amrul buntu. Entah berapa kali kepala digaru. Setiap kali dia tiba di pejabat, pasti ada sekuntum ros putih di meja pejabatnya. Puas dia bertanya rakan-rakan, tiada yang mengaku.

Sudah hampir dua minggu begitu. Kalau anginnya baik, dia bawa pulang ros ke rumah. Diletakkan dalam pasu kaca berisi air. 

Kalau tidak, Amrul buang saja ros putih ke dalam bakul sampah. 

"Nah, kopi." Hariz kembali ke kubikel Amrul. Gelas merah dengan tulisan Nescafe bertukar tangan. "Kalau kau nak tau siapa yang bagi kau bunga ni, senang. Malam ni kau stay kat ofis. Tunggu sampai dia datang."

Amrul terlongo. Ada juga benarnya. Lagi pun, dia sentiasa membawa pakaian lebih di dalam kereta.

Malam itu, Amrul menahan kantuk dengan menyemak kertas kerja dan mengisi beberapa borang penting. Malam berganti pagi. Tiada tanda sesiapa berkunjung.

Amrul terlena dalam gelita, yang tinggal cuma cahaya dari skrin komputer riba.

Waktu Amrul terjaga, ros putih terlayah tepat di depan mata. Namun kali ini dengan sekeping nota. Sambil menghalau kantuk, Amrul baca nota perlahan-lahan:

TERIMA KASIH. SAYA GEMBIRA SEPANJANG MALAM BERSAMA AWAK. 

9.7.11

Hanya Sepuluh 74

Hari ini sejarah. Doa saya pasrah, agar penghujungnya bukan merah.

7.7.11

Hanya Sepuluh 73

Angkara warna, senegara gila. Tak dihirau titah baginda, kuasa maharajalela.

Hanya Sepuluh 72

Rahsia bukan isi, namun dengan siapa kata dikongsi. Hubaya hubaya.